Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 24th March 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal akan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Sabah esok dalam usaha membantu setiap lapisan masyarakat di negeri ini berdepan dengan pelbagai kesukaran yang dihadapi sepanjang tempoh menangani penularan wabak Covid-19.

Ketua Menteri berkata, pakej yang berorientasikan kepentingan rakyat itu merangkumi keseluruhan masyarakat dalam usaha memastikan kehidupan rakyat terjaga termasuk bekalan makanan yang mencukupi.

* Kerajaan Sabah akan mengenakan sekatan pergerakan antara daerah di negeri ini berkuatkuasa esok. Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata, langkah itu diambil bagi mengelakkan pergerakan penduduk antara daerah kecuali mereka yang terlibat dalam perkhidmatan penting  atau essential services.

Menurutnya, kerajaan negeri juga memutuskan untuk menghentikan serta-merta pergerakan penduduk dari Pulau Gaya ke tanah besar Kota Kinabalu dan sebaliknya, kecuali untuk perkhidmatan penting.

Sementara itu perniagaan tukar barang atau barter trade dan operasi beberapa ladang kelapa sawit di Kinabatangan dan Felda Sahabat, Lahad Datu  termasuk mengutip buah, dihentikan sementara, bermula hari ini sehingga ke satu tempoh yang akan diberitahu kemudian dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19.

* Ketua Menteri  juga memberitahu, semua pelajar Sabah di Semenanjung telah mendapat bekalan makanan harian yang disediakan kerajaan negeri, justeru mereka tidak perlu keluar selalu untuk membeli makanan.

Semua institusi pengajian di Sabah yang mempunyai asrama seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan politeknik, juga telah mendapat bekalan makanan yang secukupnya untuk diagihkan kepada para penghuninya.

* Dalam sidang media itu, Ketua Menteri merayu agar golongan tabligh yang menyertai perhimpunan di Kuala Lumpur baru-baru ini dan belum melakukan pemeriksaan kesihatan agar tampil secara sukarela berbuat demikian.

Datuk Seri Mohd Shafie berkata, kerajaan tidak pernah berniat mahu menghukum atau mengambil tindakan ke atas golongan berkenaan, sebaliknya hanya mahu memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dikawal. Beliau berkata, sebahagian besar daripada 171 kes positif Covid-19 di Sabah berpunca daripada peserta perhimpunan   tabligh berkenaan  dan kontak rapat mereka, justeru mereka perlu bertanggungjawab dengan  tampil ke hadapan.

* Kerajaan negeri telah mengedarkan sebanyak 88,500 keping penutup hidung dan mulut dan 1,174 botol cecair pembasmi kuman (sanitizer) kepada jabatan-jabatan Kerajaan Persekutuan dan negeri yang berada di barisan hadapan  mengekang penularan Covid-19.

Ketua Menteri berkata, lebih banyak lagi barangan keperluan kesihatan itu akan diedarkan termasuk kepada semua pihak berkuasa tempatan selepas stok baharu tiba esok.

* Akibat gagal mematuhi arahan menjalani kuarantin di rumah, tiga individu yang merupakan kontak rapat kepada pesakit yang dijangkiti Covid-19 di Papar telah dikenakan tindakan undang-undang.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi dalam satu kenyataan berkata, tiga individu itu dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 15 (1), Akta  Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

* Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dalam satu kenyataan berkata Majlis Fatwa Negeri Sabah memutuskan semua aktiviti masjid dan surau di negeri ini akan ditangguhkan sehingga 31 Mac susulan Perintah Kawalan Pergerakan dan peningkatan kes positif Covid-19 di Sabah.

Keputusan ini akan melibatkan penangguhan solat jumaat pada 27 Mac.

* Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman, akan menyumbangkan gajinya sebagai Ahli Parlimen pada bulan ini dan bulan seterusnya, selagi Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, bagi membantu rakyat di kawasannya yang terjejas sepanjang tempoh itu. Dalam kenyataannya semalam beliau mengambil keputusan tersebut setelah mendapat maklumat, tentang kesukaran sebahagian masyarakat untuk membeli barangan dapur serta keperluan susu anak-anak, kerana terjejas sumber pendapatan ekoran perintah kawalan pergerakan berkenaan.

* Usaha membantu golongan yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan terus digerakkan termasuk di kawasan pedalaman, antaranya di Nabawan dan Tenom oleh pemimpin dan ahli Parti Warisan Sabah yang ditugaskan untuk mengagih-agihkan barangan keperluan harian termasuk beras ke rumah individu-individu yang kurang berkemampuan.

Menteri Pembangunan Infrastruktur merangkap Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony berkata, usaha membantu golongan kurang berkemampuan itu dilakukan sejak semalam.

Katanya ramai penduduk di kawasan pedalaman bekerja sebagai petani dan tidak berpendapatan tetap dan ada di antara  mereka ibarat  ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Golongan inilah yang harus dibantu.

* Memasuki hari ketujuh Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa, suasana sekitar pusat bandaraya Kota Kinabalu terus lengang.

Sejak perintah itu dilaksanakan 18 Mac lalu, tiada lagi kesesakan lalu lintas atau kelibat orang ramai berpusu-pusu di pasar raya mahupun pasar awam serta tidak ramai orang lalu lalang seperti kebiasaannya, menerusi tinjauan di sekitar Pasar Besar Kota Kinabalu, Pasar Ikan SAFMA serta  pusat membeli-belah.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, yang kedua tersibuk di negara ini, juga sunyi sepi tanpa kehadiran ramai pengunjung, selepas Kerajaan Negeri mengeluarkan sekatan penerbangan dari luar negara, Semenanjung Malaysia mahupun penerbangan domestik.

* Hilang punca pendapatan, itu antara situasi yang dialami kebanyakan peniaga kecil dan penjaja di Bintulu. Ini menyebabkan ada peniaga kecil yang terdesak dan terpaksa memohon bantuan makanan dan kewangan dari Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Bintulu.

* Semua operasi bot ekspress dan bot laju di Sarawak ditangguhkan buat sementara bermula semalam sehingga diberitahu kelak, kata  Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin.