Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 24 September 2020

Bersama Beverly Anastacia Lim.

* Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal dalam amanat khas kepada seluruh rakyat Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri, PRN Sabah, Sabtu ini, menyeru rakyat negeri ini untuk mempertahankan maruah dan hak negeri ini, bersama.

Datuk Seri Mohd Shafie meminta rakyat Sabah menggunakan kuasa yang ada pada diri masing-masing dan jangan sesekali mengadaikan masa depan generasi akan datang.

* Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal menyelar pemimpin Kerajaan Persekutuan yang mengugut rakyat Sabah untuk seiring dengan mereka jika mahu pembangunan negeri ini dapat diteruskan.

Ketua Menteri berkata, hakikatnya bukan Sabah yang memerlukan pemimpin Persekutuan sebaliknya pemimpin Persekutuan sebenarnya yang dahagakan sokongan rakyat Sabah agar mereka boleh terus menikmati kekayaan hasil bumi negeri ini.

Katanya, tanpa Sabah, Kuala Lumpur tidak akan mengecapi nikmat pembangunan yang ada pada hari ini tetapi pemimpin-pemimpinnya lupa tentang tanggungjawab terhadap Sabah walaupun sudah 57 tahun Malaysia dibentuk.

* Datuk Seri Mohd Shafie mahu Warisan Plus terus fokus bekerja keras untuk mendekati rakyat sehingga hari mengundi, Sabtu ini.

Beliau memberi gambaran Warisan Plus mempunyai peluang kemenangan yang lebih tinggi berdasarkan sokongan rakyat di peringkat akar umbi sepanjang tempoh berkempen.

* ‘Saya hanya mahu fokus kepada pilihan raya. Hanya ada satu atau dua hari sahaja lagi. Saya di sini mahu menang pilihan raya di Sabah’.

Itu respon Datuk Seri Mohd Shafie apabila ditanya mengenai pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan mempunyai majoriti mencukupi bagi membentuk kerajaan.

* Lihat kepada fakta dan bukannya mereka-reka cerita’.

Itu jawapan Ketua Menteri ketika menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kononnya beliau hanya melantik orang-orang Semporna dalam jawatan tertinggi kerajaan.

Datuk Seri Mohd Shafie berkata, jawatan Setiausaha Tetap di tujuh kementerian adalah orang berbangsa Dusun dan bukannya orang Semporna.

* Dalam kesibukan berkempen PRN Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie sempat meluangkan masa mendengar suara hati dan kehendak anak muda dalam program ‘Sabah Unity Movement’.

Program santai bersama belia yang berlangsung hampir sejam itu memberi ruang kepada Ketua Menteri untuk mendengar persoalan yang dibangkitkan oleh anak-anak muda.

* Siri jelajah Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal di Pantai Barat, Pedalaman dan Utara Sabah berakhir semalam, iaitu dua hari sebelum tempoh berkempen tamat.

Semalam merupakan hari ke-12 kempen Pilihan Raya Negeri, PRN Sabah ke-16.
Jelajah Presiden Warisan ini diadakan hampir setiap pelusuk daerah di Sabah bagi mendekati pengundi yang berada jauh di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Siri jelajah Mohd Shafie bermula di kubu Warisan di Semporna dan dijangka berakhir di daerah yang sama. Berpegang kepada slogan ‘Unity’ atau perpaduan, Presiden Warisan melakukan siri jelajah ke setiap kawasan bagi memastikan masalah dan keluhan rakyat didengari.

* Bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum berkata, rakyat Sabah tidak harus membenarkan rejim yang memerintah Malaysia selama lebih 55 tahun ini kembali ke Sabah.

Tegasnya, jangan mudah percaya pemimpin yang hanya menjadi boneka kepada ahli politik Malaya.

* Sehari selepas kompromi calon dicapai antara Parti Bersatu Sabah, PBS dan STAR Sabah, 10 daripada 17 Pusat Daerah Mengundi, PDM PBS di Tambunan mengisytiharkan sokongan kepada calon UPKO, Datuk Dr Laurentius Nayan Ambu di DUN Tambunan.

Mereka berbuat demikian kerana kecewa dengan tindakan kepimpinan parti.

Sebelum ini, Perikatan Nasional, PN, Barisan Nasional dan PBS, rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah, GRS, memutuskan calon PBS di DUN Tambunan dan DUN Bingkor menarik diri untuk memberi laluan kepada calon-calon STAR, yang merupakan ahli PN.

* Munafik dan Palui. Itu dua perkataan yang diungkapkan pemimpin Perikatan Nasional dan Barisan Nasional ketika berkempen di Sabah.

Bagi Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Jaujan Sambakong, tindakan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melabel Mohd Shafie sebagai munafik adalah keterlaluan.

Ketua Penerangan UPKO, Albert Bingkasan yang merasa sangat marah, geram dan terluka kerana kepimpinan UMNO tergamak memanggil rakyat Sabah sebagai “palui” menggesa seluruh rakyat Sabah agar jangan mengundi mereka, sebaliknya marilah mengundi Warisan Plus.

* Calon Warisan Plus DUN Paginatan, Georgina George mahu menunaikan impian bekas Adun di kawasan itu, mendiang Datuk Siringan Gubat untuk mewujudkan pekan kecil di Kampung Paginatan sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada 26 September ini.

Sekiranya pekan kecil itu diwujudkan, ia membolehkan penduduk Paginatan mendapat kemudahan kerajaan terutama dari aspek kesihatan dan keselamatan serta juga kemudahan lain termasuk sektor perbankan.

* Seramai 30,000 individu di Tawau dan Lahad Datu dijangka menjalani ujian saringan Covid-19 dalam usaha mengekang penyebaran virus berkenaan kata
Menteri Kesihatan Datuk Dr Adham Baba.

24 September 2020.