Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 24 November 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Malaysia mencatatkan kes tertinggi hari ini dengan 2,188 kes positif baharu Covid-19.

Buat hari keempat berturut-turut, kes positif baharu di Sabah menurun.

Hari ini, 232 kes dilaporkan berbanding 289 kes semalam.

Dengan pertambahan 232 kes positif baharu hari ini, jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah kini 26,619 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 3 kes kematian dilaporkan di Sabah hari ini.

2 Kes kematian dilaporkan di Hospital Lahad Datu membabitkan seorang lelaki berusia 74 tahun dan seorang wanita berusia 41 tahun.

Satu lagi kes kematian membabitkan seorang lelaki rakyat asing berusia 45 tahun yang meninggal dunia di Hospital Tawau.

Jumlah kumulatif kes kematian di Sabah kini 197.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata bermula esok, pengembara dari Sabah hanya perlu menjalani ujian swab pengesanan Covid-19, tiga hari sebelum berlepas dari Sabah ke negeri lain di Malaysia.

Sekiranya pengembara berkenaan didapati positif Covid-19, mereka tidak dibenarkan keluar dari Sabah dan akan dirujuk ke hospital untuk isolasi, rawatan dan pemantauan. Manakala bagi individu yang bergejala, akan dirujuk untuk menjalani pemeriksaan.

Pengembara yang dibenar meneruskan perjalanan keluar dari Sabah, perlu menjalani saringan demam dan gejala, pemeriksaan laporan ujian swab pengesanan Covid-19 serta diwajibkan menggunakan aplikasi MySejahtera setibanya di pintu masuk negara di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Labuan.

Sekiranya mereka tidak bergejala dan laporan ujian makmal Covid-19 disahkan negatif, pengembara tidak lagi perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebagaimana dikuat kuasakan sebelum ini.

833 kes sembuh dilaporkan di Sabah hari ini sementara 2,266 pesakit sedang menerima rawatan.

Daerah Beluran bertukar dari zon jingga ke zon merah. Sementara daerah Ranau bertukar dari zon jingga ke zon kuning.

Sementara itu, Universiti Malaysia Sabah UMS, kini menyediakan perkhidmatan saringan Covid-19 secara pandu-lalu kepada orang ramai.

Perkhidmatan itu dibuka setiap hari di Pusat Rawatan Warga yang terletak berhampiran dengan Pusat Sukan UMS.

* Kerajaan akan mempertimbangkan keperluan untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah untuk mengisytiharkan darurat di Dewan Undangan Negeri, DUN Bugaya dan Parlimen Gerik seperti di Parlimen Batu Sapi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ia akan dibuat berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, KKM dan Majlis Keselamatan Negara, MKN, sebelum membentangkan hasil penelitian kepada Jemaah Menteri.

* Lebih RM18 juta daripada RM21 juta peruntukan Bantuan Prihatin Covid-19 Sabah untuk warga emas, Orang Kelainan Upaya, OKU dan ibu tunggal telah mula diagihkan kepada penerima melalui akaun bank masing-masing.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Shahelmey Yahya berkata bantuan secara one-off RM300 itu sudah mula dikreditkan ke akaun bank setiap penerima yang berdaftar di bawah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am.

Peruntukan itu adalah sebahagian daripada RM160 juta di bawah Bantuan Prihatin Covid-19 Sabah yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebelum ini.

* Trup tentera darat menahan 24 pendatang asing tanpa izin, PATI warga Indonesia dalam Op Benteng di kawasan Serudong dekat Kalabakan, ketika cuba menyusup keluar untuk pulang ke negara asal mereka, Ahad lalu.

Markas Divisyen Kelima Infrantri dalam satu kenyataan memaklumkan dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, seorang lelaki yang juga pemegang kad pemastautin tetap dan bekerja sebagai pemandu lori di sebuah ladang sawit dekat Kalabakan, turut ditahan.

24th November 2020.