Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 24 Mei 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Tragedi 1 Syawal.

Kegembiraan menyambut Aidilfitri bertukar menjadi tragedi bagi sebuah keluarga selepas seorang ibu rentung bersama empat anak lelakinya dalam kebakaran di rumah mereka di Kampung Binsulok, Membakut, awal pagi tadi.

Mangsa rentung ialah Aishah Jumat, 58, bersama empat anak lelakinya, Dzulkarnain Othman, 34, Dzulnisham, 27, Rozaini, 26 dan Rosdi, 24.

Suami Aishah, Othman Ali, 64, bagaimanapun terselamat manakala dua lagi anaknya yang berusia 25 dan 29 tahun melecur dan sedang menerima rawatan di Hospital Beaufort.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian terbabit kira-kira 2.54 pagi tadi.

* Di Telupid, sederet lima buah kedai di Kampung Gambaron 1, musnah dalam kebakaran yang bermula kira-kira 4.30 petang tadi.

Ketika api mula marak, semua premis tersebut ditutup sempena Aidilfitri.

Kelima-lima kedai yang musnah terdiri daripada restoran, bengkel motosikal, kedai runcit, kedai menjual tayar dan stor penyimpanan barangan runcit.

Menurut orang awam, pihak bomba telah dihubungi, namun hanya tiba kira kira 5.46 petang  memandangkan balai bomba terdekat terletak di Beluran, lebih 100 kilometer dari Telupid.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan anggota polis dari Telupid bagaimanapun telah berada di lokasi kejadian sebaik sahaja kebakaran bermula untuk mengawal keadaan.

Difahamkan, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dalam insiden berkenaan.

* Di Semporna, dua rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Buaya, pagi semalam.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Semporna berjaya mengawal kebakaran 9.45 pagi.

* Di Kalabakan, sebuah keluarga menempuh dugaan perit pada 1 Syawal apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Kebun Sapi, Kampung Kalabakan, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengahari itu, rumah yang didiami Lili Fatrah Jafri, 23, bersama kedua ibu bapa dan tiga adiknya musnah sepenuhnya bersama pakaian raya yang hendak dipakai hari ini.

Ketika kejadian mereka sekeluarga berada di rumah nenek di Felda Umas dan hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan oleh jiran menerusi panggilan telefon kira-kira 2 petang, semalam.

Sebelum ini, keluarga malang itu sudah lebih dua bulan tidak pulang ke rumah mereka kerana berada di Felda Umas sejak Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac lalu.

Bagaimanapun, Lili sekeluarga reda dengan kejadian itu dan menganggap ia sebagai takdir.

* Dua kes positif Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 343 kes.

Satu kes dilaporkan di daerah Lahad Datu manakala 1 kes lagi di Ranau.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata masih terdapat 33 kes aktif di Sabah dengan 10 kes di Kota Kinabalu dan 5 kes di Lahad Datu.

305 pesakit telah pulih.

* Meskipun penganjuran Pesta Kaamatan tahun ini dibatalkan berikutan pandemik Covid-19, namun pertandingan Unduk Ngadau dan Sugandoi Kaamatan 2020 tetap dilangsungkan pada penghujung bulan ini di KDCA dengan sedikit kelainan iaitu secara online, sejajar dengan prosedur operasi standard, SOP ditetapkan pihak berkuasa.

Menteri Pembangunan Infrastruktur merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan, Datuk Peter Anthony berkata keputusan itu dibuat demi menyemarakkan semangat Kaamatan di Sabah.

Pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan yang diteruskan pada tahun ini bakal menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM150,000.

Johan Unduk Ngadau akan menerima hadiah wang tunai RM18,000,  RM13,000 untuk naib johan dan RM10,000 bagi pemenang tempat ketiga.

Manakala hadiah wang tunai keseluruhan RM44,500 disediakan bagi pertandingan akhir Sugandoi.

Johan Sugandoi akan menerima hadiah wang tunai RM6,000 , RM4,000 bagi naib johan dan  RM3,000  untuk tempat ketiga.

Bagaimanapun acara lain yang lazimnya diadakan semasa perayaan Pesta Kaamatan, tidak diadakan tahun ini.

* Selamat Hari Raya Aidilfitri mulia, ampun maaf dipinta mensuci hening dosa.

Setahun menghilang, sekarang menjelang, hari yang bahagia, selamat Hari Raya.

Sempena hari baik, bulan yang baik ini, kami di BTtv ingin mengucapkan selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin. Patuhilah garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB.