Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 24 June 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Selepas bercuti panjang, pembukaan semula sekolah di Sabah hari ini yang melibatkan pelajar Tingkatan Lima dan Enam berjalan lancar.

Secara keseluruhan, 45,056 pelajar dan 16,703 guru kembali ke sekolah hari ini di seluruh negeri.

Pengarah Pendidikan Sabah, Dr. Mistirine Radin berkata pembukaan 236 sekolah di setiap daerah termasuk sekolah swasta  adalah berpandukan prosedur operasi standard, SOP yang telah ditetapkan.

Sekolah berkenaan telah melakukan persiapan sebulan lebih awal selaras dengan norma baharu untuk membendung penularan Covid-19.

* Sementara itu, tinjauan wartawan Borneo Today TV di Sekolah Tinggi Kota Kinabalu hari ini mendapati, kebanyakan pelajar masih menyesuaikan diri dengan norma baharu di sekolah mereka.

Menurut mereka,  pembukaan semula sekolah kali ini amat berbeza kerana terdapat prosedur operasi standard, SOP yang perlu dipatuhi oleh semua pelajar.

Ada juga yang merasa khuatir kerana sudah hampir empat bulan tidak menjejakkan kaki ke sekolah berikutan penularan wabak Covid-19.

Apapun, pelajar yakin untuk datang ke sekolah kerana persediaan telah dilakukan lebih awal.

* Bermula hari ini juga, anggota polis akan ditempatkan di 19 sekolah menengah di Kota Kinabalu sebagai pegawai perhubungan sekolah bagi memantau kepatuhan terhadap prosedur operasi standard, SOP ditetapkan untuk membendung penularan Covid-19.

Ketua Polis Kota KInabalu, ACP  Habibi Majinji berkata 2 anggota polis akan ditempatkan di setiap sekolah di waktu pagi ketika pelajar tiba di sekolah dan juga di akhir sesi persekolahan.

                                                                                                                                                                           

Pelajar yang didapati melanggar SOP ditetapkan akan diberikan nasihat dan juga amaran.

* Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah, Tan Sri Simon Sipaun berkata, kepimpinan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku, STAR, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan serta Presiden Bersatu Sabah, P-B-S, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili umpama jurujual yang mahu melariskan produk jualan.

Beliau berkata, walaupun Jeffrey dan Maximus tidak yakin dengan pemberian dokumen IMM13,  namun mereka sanggup menyokong langkah Kerajaan Perikatan Nasional kerana mahu memastikan karier politik masing-masing terus laku dan mampu bertahan.

Beliau mengulas kenyataan Jeffrey dan Maximus yang menyokong cadangan Kementerian Dalam Negeri  untuk memberikan IMM13 kepada semua warga asing yang memegang Kad Burung-Burung dan Sijil Banci di negeri ini.

Sedangkan ketika masih di dalam pembangkang, kedua-dua pemimpin berkenaan lantang menentang pemberian dokumen itu.

* Seramai 5,300 pendatang asing tanpa izin, PATI Filipina yang terkandas di Sabah akan mula dihantar pulang ke negara asal penghujung bulan ini.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara, MKN Negeri Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof, berkata kerajaan Filipina menerusi kedutaannya di Kuala Lumpur memberikan respon positif dalam urusan pengusiran tahanan PATI Filipina di Pusat Tahanan Sementara.

Hasil kerjasama baik antara kedua-dua negara, pengusiran PATI Filipina akan dilaksanakan dalam waktu terdekat.

Sementara itu, 134 PATI Indonesia dihantar pulang ke negara asal menerusi pelabuhan Tawau ke Nunukan, Indonesia, hari ini.

Ia disusuli pengusiran 133 orang lagi PATI indonesia, dijangka Jumaat ini.

* Dua persatuan wanita, Pertubuhan Paradigma Wanita Sabah, AWAS dan Persatuan Mondopiton membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Penampang, meminta pihak berkuasa menyiasat pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama akaun Haniff Yunos yang menghina wanita Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus, KDMR.

Presiden AWAS, Winis Juani dan Penasihat Mondopiton Stephanie Lazarus, membuat laporan itu di dengan disertai oleh kira-kira 15 ahli persatuan, hari ini.

Winis berkata, mereka mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan lelaki itu yang penuh dengan penghinaan bertujuan untuk menjatuhkan maruah wanita KDMR.

Kenyataan berniat jahat itu dikhuatiri boleh mencetuskan ketegangan di antara kaum.