Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 24 Januari 2021

Bersama Hikma Juni.

* Kerajaan Negeri Sabah memerlukan peruntukan sekurang-kurangnya RM150 juta bagi membaik pulih lebih 100 jalan rosak termasuk jambatan runtuh akibat banjir di seluruh negeri ini kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

* Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, pihaknya telah meminta agensi berkaitan untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden pembunuhan seekor gajah pygmy di sebuah ladang sawit dekat Tongod, Rabu lalu.

Katanya, mereka yang terlibat akan dibawa ke muka pengadilan kerana melakukan penganiayaan terhadap spesies hidupan liar terlindung.

* Banjir di Sabah telah pulih apabila kesemua mangsa di pusat pemindahan sementara, PPS dibenarkan pulang semalam.

Namun, misi menghantar bantuan kepada mangsa yang terputus bekalan makanan di Pitas tidak semudah menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan pinggir bandar.

Kedudukan kampung yang terletak jauh di pedalaman, jalan yang berlumpur, jalan dan jambatan putus serta jalan yang masih ditenggelami air antara kesukaran yang terpaksa ditempuh sepasukan sukarelawan dari pertubuhan bukan kerajaan, Reach Out.

* Selepas mencatatkan peningkatan selama dua hari berturut-turut, kes positif baharu Covid-19 di Sabah kembali menurun dengan 431 kes dilaporkan hari ini berbanding 498 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 46, 791 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata 2 kes kematian dilaporkan di Sabah hari ini iaitu di Kalabakan dan Beluran.

Dua kluster baharu turut dilaporkan hari ini iaitu Kluster Ladang Segama dan Kluster Jalan Segama, kedua duanya di Lahad Datu.

Kluster Ladang Segama mencatatkan 22 kes kumulatif setakat ini. Manakala Kluster Jalan Segama merekodkan 20 kes kumulatif membabitkan kakitangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWSP Lahad Datu.

* Usaha meringankan beban penduduk terjejas Perintah Kawalan Pergerakan, PKP, terus dilakukan.

Di Sarawak, pengagihan bantuan makanan kepada lebih 8000 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri, DUN Nangka, Sibu, bermula hari ini.

* Kadar pematuhan penduduk Sibu ke atas Perintah Kawalan Pergerakan, PKP yang masuk hari ketujuh hari ini adalah memuaskan.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata setakat ini hanya dua orang telah dikenakan kompaun atas kesalahan ingkar arahan duduk di rumah.

* Kapal Misi Pesisir, Littoral Mission Ship, LMS kedua Tentera Laut Diraja Malaysia TLDM, SUNDANG tiba di Kota Kinabalu, hari ini.

Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali berkata SUNDANG akan menjalani upacara pentauliahan, bulan hadapan.

SUNDANG telah diserahkan kepada Malaysia pada 14 Januari lalu di Shanghai, China.

Kapal ini adalah satu daripada 4 buah LMS yang dibeli oleh Kerajaan Malaysia sebagai sebahagian daripada Pelan 15-to-5 TLDM.

LMS ketiga dan keempat dijangka akan diserahkan kepada Malaysia tahun ini.

24th January 2021.