Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 24 Februari 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Politik tanah air bergolak selepas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan peletakan jawatan melalui surat yang diserahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong tengah hari tadi.

Dr. Mahathir turut melepaskan jawatan sebagai Pengerusi parti Pribumi Bersatu Malaysia, Bersatu dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan.

Bagaimanapun, enam jam selepas itu, Pejabat Ketua Setiausaha Negara dalam satu kenyataan memaklumkan  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah menerima peletakan jawatan itu kemudiannya berkenan melantik semula Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri interim.

* Parti Warisan Sabah menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Pada masa sama, Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata pemimpin Sabah akan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat negeri ini, dalam suasana politik negara sekarang.

* Pelan Strategik Pembangunan Luar Bandar Sabah (2021-2025) dan Sistem Aplikasi Profail Kampung dilancarkan oleh Ketua Menteri sempena Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah ke-24, di Kota Kinabalu, siang tadi.

Pelan strategik itu menggariskan inisiaitif-inisiaiti baharu dan memantapkan program sedia ada di Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah ke arah mencapai sasaran penurunan kadar kemiskinan komuniti luar bandar dengan penglibatan aktif pelbagai pihak.

Manakala Sistem Aplikasi Profail Kampung pula adalah satu aplikasi digital bertujuan untuk mengurus data-data pembangunan setiap kampung di seluruh Sabah.

  

* Hanya terdapat kira kira 1,000 pelancong China yang masih berada di Sabah setakat semalam.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin berkata hampir 250 daripadanya diberikan pas khas untuk melanjutkan tempoh lawatan mereka ke Sabah selama seminggu lagi.