Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo 23rd March 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Sabah mencatatkan 11 kes baharu positif Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri ini sebanyak 169 kes, berbanding 158 kes semalam.

Empat lagi kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes kematian di Malaysia meningkat kepada 14 orang.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon memaklumkan daerah Tawau kekal mencatatkan pertambahan kes tertinggi dengan lapan kes baharu, dengan keseluruhan 48 kes di daerah itu.

Sementara Lahad Datu 34 kes, pertambahan 1 kes, diikuti Kota Kinabalu dengan 24 kes, pertambahan 2 kes.Hanya tiga daerah berkenaan sahaja melaporkan pertambahan kes.

Manakala, daerah-daerah lain di Sabah kekal tiada kes baharu dilaporkan untuk hari ini.

* Sementara itu, bekalan baru penutup hidung dan mulut serta cecair pembunuh kuman dari China tiba di Sabah dan akan diagihkan kepada petugas barisan hadapan, bermula hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal meninjau proses pengagihan bekalan terbabit di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, PPNS petang tadi.

Beliau turut meninjau Pusat Arahan Covid-19 negeri Sabah di tingkat 28, PPNS.

Datuk Seri Mohd Shafie turut mengadakan mesyuarat dengan Persatuan Perubatan Malaysia, MMA Sabah untuk membincangkan keperluan mendesak petugas barisan hadapan Covid 19 di Sabah.

Beliau juga mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkaitan pakej bantuan untuk Sabah dalam menghadapi impak Covid-19.

* Kerajaan Sabah menyekat perjalanan di sempadan Malaysia-Indoensia bagi laluan Pulau Sebatik-Tawau; Serudong-Simanggaris dan Bantul Labang-Pagalungan berkuatkuasa serta-merta susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata, langkah itu diputuskan dalam mesyuarat Pusat Arahan Covid-19 Sabah.

Pada masa sama, kerajaan juga memutuskan untuk menghadkan penerbangan domestik dari Kota Kinabalu ke Tawau, Sandakan dan Lahad Datu dan sebaliknya. Semua penumpang juga dikehendaki menjalani saringan kesihatan Covid-19 di setiap lapangan terbang.

Untuk memastikan Pusat Kuarantin sedia ada dapat menampung keperluan dan mengelakkan kesesakan, Kerajaan Negeri memutuskan untuk mewartakan tiga lokasi baharu sebagai Pusat Kuarantin Sementara COVID-19 di Masjid Jamek, Kota Belud, Plasma MPOB, Lahad Datu; dan
Felda Resident Sahabat, Lahad Datu.

* Kerajaan memutuskan semua pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur 55 tahun ke bawah boleh mengeluarkan wang daripada akaun kedua sebanyak RM500 sebulan dalam tempoh 12 bulan. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, permohonan itu boleh dibuat bermula 1 April depan. Inisiatif ini akan memanfaatkan sebanyak 12 juta ahli KWSP dengan jumlah dana RM40 bilion.

Kementerian Kesihatan juga akan mengambil dengan kadar segera seramai 2,000 kakitangan baharu secara kontrak dalam usaha menangani wabak Covid-19, tumpuan utama adalah pengambilan jururawat.

Dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini, Tan Sri Muhyiddin mengumumkan RM130 juta akan diagihkan kepada semua negeri secara sama rata dalam usaha melancarkan langkah menangani wabak Covid-19 di seluruh negara. Dana itu akan diserahkan kepada semua kerajaan negeri tanpa mengira daripada parti politik mana.

Tan Sri Muhyiddin berkata Majlis Keselamatan Negara, MKN akan bersidang sebelum tamat Perintah Kawalan Pergerakan pada 31 Mac ini bagi menentukan samada ia perlu dilanjutkan atau tidak.

* Sabah Softwood Berhad mengambil langkah drastik menutup sepenuhnya Ladang Bukit Batu di Kalabakan sejak 19 Mac lalu, selepas tujuh kakitangan termasuk keluarga mereka disahkan positif Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Softwood Berhad, Hattah Jaafar berkata pihak pengurusan membuat keputusan untuk menutup sepenuhnya operasi ladang termasuk melarang aktiviti keluar masuk membabitkan 367 orang pekerja dan keluarga mereka.

* Pemeriksaan kesihatan ke atas dua pegawai dan tiga anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau yang disyaki mempunyai kontak dengan individu yang dijangkiti Covid-19, disahkan negatif jangkitan virus berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, kelima-lima mereka diarahkan menjalani kuarantin di rumah masing-masing selama14 hari bermula Sabtu. Mengulas lanjut, beliau berkata, tiada keperluan untuk menutup IPD Ranau bagi menjalankan proses pembasmian kuman susulan kejadian itu.

* Datuk Zaini turut menolak dakwaan jemaah tabligh yang tiba di Tawau dari Sulawesi, Indonesia, Sabtu lalu, memasuki negara ini melalui jalan tikus. Beliau berkata, kesemua 12 individu yang sepatutnya menyertai Himpunan Ijtima of Asia 2020 itu memang pergi dan balik dari Sulawesi melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan kuarantin, CIQ Tawau.

* Tahap pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan di Penampang semakin baik dan mencecah 95% pada hari ke lima pelaksanaannya.

Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Mohd Haris Ibrahim berkata terdapat penurunan ketara pergerakan kenderaan dan orang ramai dan ini adalah sesuatu yang positif untuk membendung penularan wabak Covid-19.

* Seramai 56 anggota tentera dari ketiga tiga cabang, laut, darat dan udara
membantu polis menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan di Labuan bermula semalam.

* Di Sarawak, tinjauan ke beberapa rumah panjang di kampung Padawan mendapati suasana sunyi sepi dan tiada kelibat seorang pun penghuninya. Kebanyakkan penduduk rumah panjang yang kami temui akur dengan arahan untuk tinggal di rumah atau stay at home.

* Tinjauan di Bintulu mendapati pasaraya telah mengambil langkah keselamatan tertentu termasuk menghadkan kemasukan pengunjung. Operasi polis dan tentera untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan, terus dipergiatkan di seluruh Sarawak.

* Sudahlah mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan, mereka memburu secara haram pula.

Itu tindakan sekumpulan lelaki yang dikesan membawa empat ekor bangkai haiwan dilindungi yang sudah dilapah, dipercayai hasil pemburuan haram di Hutan Simpan Ulu Segama, Lahad Datu, awal pagi semalam. Seorang daripadanya telah menyerah diri, manakala 3 lagi rakan suspek, sedang diburu.