Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 23 September 2020

Bersama Aza Mini Liashin.

* Presiden Parti Warisan Sabah, Warisan, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal menyeru semua ahli Warisan memberikan undi kepada calon UPKO di kerusi DUN Telupid, Labuk dan Kuamut.

Katanya, kemenangan kepada UPKO adalah kejayaan bersama Warisan Plus untuk terus memerintah negeri ini dan menolak sepenuhnya parti-parti Semenanjung.

Tambahnya, kemenangan mutlak Warisan Plus dan UPKO juga perlu untuk mengajar pemimpin-pemimpin sebelum ini yang melompat dan mengkhianati mandat diberikan rakyat.

* Masalah ketiadaan Pejabat Tanah dan Ukur serta masalah air yang membelenggu masyarakat Telupid akan diselesaikan selepas PRN berakhir dan Warisan Plus kembali mendapat mandat.

Itu janji diberikan Datuk Seri Mohd. Shafie kepada rakyat di Dewan Undangan Negeri DUN tersebut yang bertekad untuk memberi kemenangan kepada UPKO.

Datuk Seri Mohd. Shafie berkata, calon UPKO, Felix Sitin Saang adalah yang selayaknya di situ kerana beliau setia kepada parti dan akan membawa masalah rakyat untuk diselesaikan, justeru sokongan padu perlu diberikan kepadanya.

* Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru rakyat Sabah agar menyokong Parti Warisan Sabah dan menolak parti yang cuba memusnahkan kerajaan pilihan rakyat.

Dalam satu klip video, beliau menegaskan rakyat Sabah perlu menolak parti yang cuba mengambil alih kuasa melalui pintu belakang.

Rakyat Sabah seharusnya menyokong Warisan kerana ia kerajaan yang dipilih oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum lalu.

* Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Bernard Dompok menggesa rakyat Sabah bersepadu bagi menahan serangan Kerajaan Persekutuan yang tidak habis-habis mengugut Sabah bahawa dana pembangunan akan dikurangkan.

* Bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum berkata Pilihan Raya Negeri, PRN, Sabah 26 September ini adalah untuk memilih parti yang betul-betul ikhlas mempertahankan hak-hak Sabah.

Kuasa memilih adalah di tangan rakyat Sabah dan mereka perlu memilih dengan bijak untuk masa depan negeri ini.

* Hanya kemenangan besar Warisan Plus pada PRN Sabah, Sabtu ini yang mampu mendesak Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan cadangan bagi mengatasi isu pengangguran dan ekonomi yang dibimbangi rakyat.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata kebimbangan telah diluahkan pengundi khususnya di daerah ini mengenai aspek berkenaan, pasca Covid-19.

* 300 ahli Parti Solidariti Tanah Airku, STAR dari mukim Lanas dan Tulid termasuk Naib Ketua Bahagian STAR Tulid, Mius Alim bertindak keluar parti dan
menyerahkan borang permohonan menyertai Warisan kepada Naib Presiden parti, Datuk Peter Anthony pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di Kampung Tulid, Keningau, semalam.

* Komuniti India Sabah menerusi Borneo India United memberi sepenuh sokongan kepada Parti Warisan Sabah untuk kekal memerintah di Sabah.

Ketua Borneo India United, James Silva berkata mereka mempunyai keyakinan yang tinggi dengan kepimpinan Datuk Seri Mohd Shafie yang memperjuangkan slogan perpaduan amat bersesuaian dengan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

* Pihak berkuasa tempatan, PBT berhak merobohkan tembok yang menghalang laluan orang awam di Lido Plaza.

Tembok itu dipercayai dibina di kawasan rumah Presiden Parti Liberal Demokratik, LDP Datuk Chin Su Phin.

Penyandang kerusi DUN Tanjung Aru, Datuk Junz Wong berkata, berdasarkan semakan yang dibuat di Majlis Daerah Penampang, MDP, pembinaan tembok yang menghalang laluan orang awam itu tidak mendapat kelulusan MDP.

* Di Kiulu, Penduduk Kampung Ranap bakal menarik nafas lega apabila masalah banjir yang dihadapi setiap kali hujan lebat, akan berakhir.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, sistem perparitan sepanjang 180 meter sedang giat dibina membabitkan peruntukan sebanyak RM400,000.

Butirannya bersama Salbinous Saribun.

* Calon Parti Warisan Sabah, DUN Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob mengesahkan beliau sedang menjalani kuarantin di rumahnya kerana pernah mempunyai kontak dengan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Razlan Rafii yang disyaki positif Covid-19.

Yusof berkata, beliau telah melakukan ujian Isnin lalu dan sedang menunggu keputusan daripada Jabatan Kesihatan.

Katanya, berikutan itu, sebagai langkah berjaga-jaga, beliau mengkuarantinkan diri di rumah sehingga keputusan ujian dikeluarkan.

* 2 kes kematian akibat covid-19 dengan 134 kes positif baharu direkodkan di Sabah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 1323. 105 kes adalah daripada kluster Benteng LD melibatkan 90 warga tempatan dan 15 warga asing.

* Kastam Sabah merampas lebih 15 kilogram dadah bernilai RM609,326 susulan penahanan seorang lelaki tempatan di Lapangan Terbang Lahad Datu.

23 September 2020.