Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 23 October 2020

Bersama Hikma Juni.

* Lapan kes kematian, 528 kes positif baharu dan satu kluster baharu Covid-19, Kluster Samudera di Sandakan, dilaporkan di Sabah hari ini.

Ini merupakan kes kematian tertinggi direkodkan di Sabah sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada lapan kes itu, lima kematian dilaporkan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan, dua kematian di Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Kota Kinabalu serta satu kematian di Hospital Tuaran.

Statistik itu menjadikan kes kematian di Sabah meningkat kepada 82 kes.

Sementara itu, satu kes kematian dilaporkan di Wilayah Persekutuan Labuan, dengan 19 kes positif baharu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan media petang tadi memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, PKPD di Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan, Tawau, ditamatkan pada 25 Oktober ini, sebagaimana yang dijadualkan.

* Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara, MKN untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB di Sabah.

Sebarang cadangan memperkenalkan prosedur operasi standard, SOP yang lebih ketat, bergantung kepada perkembangan semasa pandemik ini.

PKPB yang dilaksana di seluruh Sabah berkuat kuasa bermula 13 Oktober dan akan tamat pada 26 Oktober ini.

Katanya setakat ini jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah adalah 10,396 kes dimana 4,482 pesakit telah sembuh dan 5,830 pesakit masih menerima rawatan di hospital di seluruh Sabah.

Daripada 528 kes positif baharu hari ini, kes tertinggi sebanyak 228 kes dilaporkan di Kota Kinabalu dengan 140 kes adalah daripada kluster Penjara Kepayan.

6 daerah tidak mencatatkan sebarang kes baharu hari ini.

Kerajaan Sabah telah membelanjakan RM26.7 juta untuk mengagihkan bakul makanan ke 25 daerah yang terjejas akibat pandemik ini.

* Jawatankuasa pemulihan industri pelancongan negeri akan ditubuhkan bagi merangka strategi pemulihan industri pelancongan yang terjejas akibat Covid-19.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai semua wakil penggiat industri pelancongan bagi membincangkan serta merangka strategi pemulihan industri pelancongan Sabah.

* Angkatan Tentera Malaysia, ATM akan menghantar bantuan dua platun tentera dan 18 bot bagi memantapkan kawalan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah ESSZONE.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata perkara itu dimaklumkan Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang dalam satu sidang video kelmarin.

Katanya apabila ada tambahan anggota bertugas serta aset keselamatan, operasi akan dilaksanakan mengikut kesesuaian, berdasarkan ancaman militan serta kumpulan penculik untuk wang tebusan selain menangani kemasukan pendatang asingtanpa izin yang terdedah COVID-19.

* Gudang perabot Chan Furniture di Jalan Lintas Kepayan musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Kerugian dianggarkan RM5 juta dan kebakaran dipercayai berpunca litar pintas.

23rd October 2020.