Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 23 November 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mahu lebih banyak syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan, NGO memberi sumbangan untuk bersama-sama membantu memerangi pandemik Covid-19 di Sabah.

Beliau berkata penglibatan pihak berkenaan yang tampil membantu dengan memberikan pelbagai sumbangan dapat meringankan bebanan rakyat yang terkesan dan terjejas teruk akibat pandemik ini.

* Ketua Menteri berkata, Pemimpin Pembangunan Masyarakat, PPM di bawah kerajaan Gabungan Rakyat Sabah, GRS yang gagal melaksana tugas dengan baik akan dikenakan tindakan.

Sehubungan itu, PPM diingatkan agar melaksana tugas dan tanggungjawab dengan penuh ingeriti bagi membantu memenuhi aspirasi rakyat di peringkat akar umbi.

Katanya, PPM yang efisien akan membantu mewujudkan sebuah kerajaan yang kukuh.

* Malaysia mencatatkan kes tertinggi hari ini dengan 1884 kes.

Kes positif baharu Covid-19 di Sabah menurun kepada 289 hari ini berbanding 311 kes yang dilaporkan semalam, iaitu penurunan selama tiga hari berturut-turut.

Dengan pertambahan 289 kes hari ini, jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah kini 26,387 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 2 kes kematian dilaporkan di Sabah hari ini.

Kes kematian itu membabitkan seorang lelaki berusia 80 tahun yang meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Satu lagi kes kematian dilaporkan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah membabitkan wanita berusia 58 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kronik.

Jumlah kumulatif kes kematian di Sabah kini 194.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi memaklumkan, daripada 26,098 kes yang dilaporkan di Sabah setakat semalam, 6,818 kes dilaporkan di Kota Kinabalu, yang tertinggi berbanding daerah lain di Sabah.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, PKPD di Taman Mesra, Sandakan yang dilaksanakan sejak 28 Oktober lalu, ditamatkan esok sebagaimana dijadualkan.

Manakala PKPD di Kampung Sabah Baru, Lahad Datu sejak 10 November lalu, dilanjutkan 14 hari lagi sehingga 7 Disember.

* 416 kes sembuh dilaporkan di Sabah hari ini, manakala 2,250 pesakit sedang menerima rawatan. Peratus pengunaan katil pesakit adalah 34.22 %.

Sehingga hari ini, 216,150 bakul makanan telah diagihkan.

Kadar pematuhan penduduk Sabah ke atas prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB, kekal 97.88 peratus, sama seperti semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata penurunan kes Covid-19 di Sabah menunjukkan strategi kawalan jangkitan yang pantas, diambil Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, adalah berkesan.

Namun usaha memerangi pandemik ini memerlukan kerjasama penduduk.

Nabawan, satu-satunya daerah zon hijau di Sabah, berjaya mengekalkan status sihat itu kerana kedudukannya yang agak terpencil selain pematuhan penduduk kepada SOP yang ditetapkan.

* Kesatuan Perkhidmatan Perubatan Sabah, SMSU memohon kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan memperkemas langkah dan strategi menjaga kesihatan mental petugas kesihatan di Sabah yang kini berdepan cabaran getir susulan pandemik Covid-19.

Antaranya memberikan perkhidmatan kaunseling agar mereka mampu melaksanakan tugas dengan berkesan.

Presiden SMSU Ajulahin Japin berkata pihaknya ada menerima laporan petugas kesihatan di negeri ini terpaksa bertugas syif 12 jam bagi mengekang pandemik itu, justeru tekanan dihadapi mereka perlu diurus baik melalui sesi kaunseling dan mengimbangi beban kerja petugas tersebut.

* Bermula 6 Disember, Sabah Electricity Sdn Bhd, SESB akan melaksanakan pemotongan bekalan elektrik kepada pengguna yang mempunyai jumlah bil tertunggak melebihi sembilan bulan.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir. Norhizami Abu Hasan berkata pengguna perlu menjelaskan bil elektrik masing-masing setiap bulan walaupun SESB tidak melaksanakan pemotongan sejak Mac lalu berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP.

Rekod SESB menunjukkan terdapat kumpulan pengguna yang tidak membayar bil elektrik selama lebih sembilan bulan dan secara tidak langsung keadaan ini akan memberikan impak besar kepada SESB.

23rd November 2020.