Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 23 Mei 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal mewakili Kerajaan Sabah memohon ampun dan maaf kepada seluruh rakyat negeri ini sekiranya ada kelemahan pentadbiran terutama ketika menangani wabak Covid-19.

Ketua Menteri berkata, wabak tersebut telah melumpuhkan ekonomi dan memberi kesan kepada rakyat, justeru setiap langkah yang diambil pihak berkuasa mungkin agak menyukarkan, namun terpaksa dibuat demi memastikan keselamatan rakyat Sabah sentiasa terjamin.

Katanya, Aidilfitri boleh disambut tetapi rakyat perlu mematuhi arahan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara agar risiko jangkitan wabak Covid-19 dapat dielakkan.

* Kes terbaharu Covid-19 dan pertama yang dilaporkan di Kota Marudu semalam adalah seorang pesakit yang dirujuk oleh Hospital Kota Marudu ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi berkata pesakit berkenaan dimasukkan ke wad Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut, setelah dia disahkan positif Covid-19.

Manakala kes terbaharu di daerah Tawau adalah seorang penumpang yang tiba di Tawau melalui pesawat komersil dari Kuala Lumpur.

Kes berkenaan ditempatkan di pusat kuarantin dan telah dimasukkan ke wad Hospital Tawau pada 21 Mei lalu.

Punca jangkitan untuk kedua-dua kes baharu ini masih dalam siasatan pihaknya.

* Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Kapor, Ben Chong menafikan khabar angin yang mengaitkan nama beliau antara 18 ADUN di Sabah yang berpaling tadah menyertai pembangkang.

Ben yang juga Pembantu Menteri Perdagangan dan Industri berkata akan terus setia bersama parti Warisan Sabah dan menyokong kepimpinan Ketua Menteri.

Tegasnya tiada istilah ada ADUN Blok Kerajaan Sabah yang akan berpaling tadah dan membiarkan pembangkang merampas mandat rakyat.

Katanya, ini semua adalah taktik kotor pembangkang  yang tidak pernah berhenti menabur fitnah tanpa menghormati bulan Ramadan dan Hari Raya yang disambut oleh rakan-rakan yang beragama Islam.

Menurut Ben, pihak pembangkang sepatutnya memperbanyakkan kerja untuk membantu rakyat Sabah yang terkesan akibat impak Covid-19, bukannya terlalu bermain politik.

* Pemimpin agama di Tuaran terus diberi perhatian tanpa mengira denominasi.

Semalam, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, UPKO menyumbangkan 170 pek beras kepada Paroki Kristian Katolik Saint John Tuaran dan Saint Joseph Kiulu serta kepada Gereja Anglican dan Gereja Basel Malaysia, BCCM Bahasa Cina.

Majlis penyampaiannya disempurnakan Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

* Jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan memerangi pandemik Covid-19 tidak dilupakan pelbagai pihak yang prihatin.

Raia Hotel, sebelum ini dikenali TH Hotel mengagihkan juadah berbuka puasa iaitu nasi mandi ayam kepada petugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di Karamunsing dan Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Program murni ini dijayakan seluruh warga kerja Raia Hotel dan keluarga mereka.

* Lazimnya suasana di premis perniagaan dan pusat membeli belah, meriah dengan kehadiran orang ramai  untuk mendapatkan barangan keperluan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri pada saat saat akhir, namun tahun ini, suasananya berbeza.

Tinjauan BTtv di Putatan siang tadi, sehari sebelum 1 Syawal mendapati kehadiran pengunjung tidak seperti sebelumnya kerana ramai yang memilih untuk duduk di rumah bagi mengurangkan  pergerakan.

* Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah Sabah memperuntukkan RM150,000 untuk membina tiga Bengkel Keusahawanan Desa di Matunggong bagi meningkatkan sumber pendapatan penduduk setempat khususnya golongan wanita.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, pembinaan bengkel di bawah Program Satu Daerah Satu Produk siap sepenuhnya Disember tahun lalu.

Bengkel keusahawanan itu ialah Bengkel Kraftangan Ribu-Ribu Kampung Timug, Bengkel Menjahit Pakaian Tradisional-Moden Kg. Tinangol dan Bengkel Gubahan Manik di Kg.Tuid.

* Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas 110,720 karton rokok seludup dianggarkan bernilai RM1.65 juta termasuk cukai dalam Ops Supply Raya 2020 di beberapa lokasi sekitar Tawau, sejak 24 April sehingga semalam.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Datuk Abdullah Jaapar berkata, sebanyak empat rampasan dibuat sepanjang operasi berkenaan dilancarkan pada 24 April  sehingga semalam.