Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 23 March 2021

Bersama Reetasha Joanes Mijol.

* Komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memberi kerjasama padu kepada kerajaan negeri Sabah akan memacu pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik negeri ini.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional menyedari akan jurang perbezaan dalam aspek pembangunan di Sabah berbanding negeri lain.

* Kawalan keselamatan di negeri ini khususnya di Zon Selamat Timur Sabah, ESSZONE akan dimantapkan lagi dengan penggunaan aset dan teknologi baharu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata aspek keselamatan dalam negara perlu diperkukuhkan serta diperhebat bagi meningkatkan kawalan sempadan dan perairan negara bagi menangani pencerobohan anasir luar yang menjadi masalah yang besar di Sabah.

* Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di kediaman rasminya di Sri Gaya, Kota Kinabalu, hari ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah turut menerima kunjungan hormat daripada Pemuda Perikatan Nasional yang diketuai oleh Senator Ir.Ts Khairil Nizam Khirudin.

* Kerajaan negeri akan terus memberi fokus kepada usaha melahirkan modal insan berkemahiran dan berpengetahuan bagi berdepan dengan cabaran dunia tanpa sempadan.

Dalam konteks ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Yakub Khan berkata, tenaga pengajar perlu memastikan pelatih di Jabatan Pembangunan Sumber Manusia, mempersiapkan diri untuk berdepan cabaran global.

Katanya penekanan harus diberikan kepada ilmu berasaskan digital agar mampu melahirkan modal insan yang berkualiti dan berkemahiran.

* Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata kerajaan negeri mengekalkan keperluan kepada pengembara untuk menjalani ujian RTK-Antigen bagi kemasukan ke Sabah.

Bagaimanapun pengecualian menjalani kuarantin, diberikan.

Kes positif baharu Covid-19 di Sabah meningkat dengan 60 kes dilaporkan hari ini berbanding 36 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 54, 355 kes.

Tiada kes kematian dan kluster baharu dilaporkan di Sabah, hari ini.

Daerah Keningau merekodkan kes positif baharu tertinggi dengan 26 kes hari ini.

Setakat hari ini, secara kumulatif 41, 957 orang telah menerima suntikan vaksin dos pertama di Sabah.

Manakala bagi vaksin dos kedua, secara kumulatif 1080 orang telah menerima suntikan hari ini.

* Penduduk Kampung Titiku, Pamalan, Keningau gempar apabila menyedari kehadiran seekor buaya di tepi kolam berhampiran kawasan rumah penduduk.

Tindakan pantas Angkatan Pertahanan Awam, APM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, berjaya ‘menjinakkan’ buaya seberat 100 kilogram dan sepanjang 2 meter itu.

23rd March 2021.