Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 23 June 2020

Bersama Reetasha Joanes Mijol.

* Sabah merekodkan dua kes positif baharu Covid-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif 366 kes.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata kedua dua kes itu dikesan di daerah Tuaran.

Tuaran kini mencatatkan kes aktif yang tertinggi di Sabah  sebanyak empat kes.

* Persediaan untuk pembukaan semula sesi persekolahan setelah ditutup akibat pandemik Covid-19 sejak Mac lalu, berjalan lancar.

Pengarah Pendidikan Sabah, Dr Mistirine Radin berkata, pemantauan di 11 buah sekolah termasuk sekolah rendah dan swasta di Kota Kinabalu dan Penampang menunjukkan persiapan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard SOP berjalan dengan baik.

* Lorong dua hala sepanjang 10 kilometer antara Kampung Limauan sehingga Kampung Gana di Jalan Papar Lama dijangka dibuka dua minggu lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Manis, Datuk Aidi Moktar berkata, dengan pembukaan lorong dua hala serta penambahbaikan yang akan dilakukan di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo itu, beliau berharap kekerapan insiden kemalangan di kawasan tersebut, dapat dikurangkan.

Menurut Aidi, keseluruhan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Jalan Papar Lama sepanjang 15.8 kilometer itu dijadualkan siap sepenuhnya Februari tahun hadapan.

* Tiga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia, TLDM maut manakala seorang lagi cedera parah selepas lori 3 tan yang dinaiki hilang kawalan sebelum terbabas di Jalan Ranau – Tamparuli berhampiran simpang ke Bundu Tuhan, tengahari tadi.

Tiga mangsa yang maut dikenali Laskar Kanan, Maslim Abdul Rahim, Laskar Kelas Satu, Mohamad Firdaus Mat Izan dan Laskar Kelas Satu, Muhammad Arif Idris.

Sementara itu, mangsa yang cedera parah Laskar Kelas II, Vincent M Orel, menerima rawatan lanjut di Hospital Ranau.

Dalam kejadian kira kira 12.50 tengah hari itu,  mangsa dilaporkan dalam perjalanan dari Pangkalan TLDM Sandakan ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Teluk Sepanggar untuk melaksanakan tugas rasmi.

* Ketua Bahagian Warisan Keningau, Datuk Jake Nointin membidas pemimpin-pemimpin politik Kadazan Dusun Murut, KDM yang terlalu ghairah menyokong cadangan pemberian dokumen IMM13 kepada pelarian Filipina, pemegang Kad Burung-burung dan Sijil Banci.

Katanya, Presiden Parti Bersatu Sabah, PBS dan Presiden Solidariti Tanah Airku Sabah STAR dilihat terlalu cepat menyokong cadangan pemberian dokumen berkenaan yang sepatutnya hanya diberikan kepada mereka yang layak sahaja iaitu pelarian perang kerana dokumen itu diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Kad Burung-burung dan Kad Banci pula hanya dianggap sebagai rekod dan tidak pernah diiktiraf sebagai dokumen perjalanan yang sah.

Malah pemegang Kad Burung-burung dan Kad Banci boleh dikategorikan sebagai pendatang haram yang boleh ditangkap sekiranya didapati memasuki Sabah tanpa kebenaran.

Beliau berkata, jika pemberian dokumen IMM13 itu dilakukan seperti yang dirancang oleh Kerajaan Persekutuan, status pendatang tanpa izin, PATI akan ditukar kepada  pelarian perang.

Menurut Jake, cadangan Kerajaan Persekutuan itu umpama langkah pintu belakang untuk mengiktiraf dan menghalalkan keberadaan PATI di Sabah.

Tambahnya, pemimpin-pemimpin Sabah khususnya pemimpin KDM harus menyatakan bantahan sebelum terlambat dan bukannya menjadi Pak Turut semata mata.

* Kerajaan Negeri akan memastikan kelestarian industri kayu-kayan di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata ia termasuk memastikan sumber bahan mentah mencukupi bagi menghasilkan produk-produk hiliran yang berasaskan kayu.

* 50 hingga 60 ekor gajah Borneo yang dilaporkan mati dalam tempoh 10 tahun lalu di Sabah berpunca akibat keracunan sama ada daripada tumbuh-tumbuhan, alam sekitar mahupun kawasan perladangan.

Sehubungan itu, Timbalan Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Dr Sen Nathan berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan Pusat Racun Negara dalam aspek penyelidikan dan penyiasatan keracunan gajah di Sabah sehingga menyebabkan kematian spesies dilindungi itu.

Siasatan untuk mengenal pasti punca keracunan gajah sama ada disengajakan atau tidak.