Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 23 Februari 2021

Bersama Salbinous Saribun.

* Sempadan daerah yang diguna pakai ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP dan PKP Bersyarat, PKPB, merujuk kepada daerah dalam pentadbiran pegawai daerah, bukannya sempadan pentabiran Polis Diraja Malaysia, PDRM.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ramai mengadu mereka ditahan dan dikompaun oleh polis ketika melalui sekatan jalan raya, SJR dalam daerah, sedangkan pergerakan dalam daerah yang sama adalah dibenarkan.

Katanya, individu yang dikompaun akibat kekeliruan mengenai pergerakan rentas daerah, boleh membuat rayuan di pejabat kesihatan daerah.

Sementara itu, kes positif baharu COVID-19 di Sabah menurun dengan 94 kes dilaporkan hari ini, berbanding 110 kes semalam menjadikan jumlah kumulatif kini 52, 268 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata satu kes kematian dilaporkan hari ini iaitu di Hospital Duchess of Kent, Sandakan, membabitkan seorang lelaki berusia 55 tahun.

Satu kluster baharu turut dilaporkan hari ini iaitu Kluster Taman Mawar, Sandakan dengan 15 kes kumulatif.

Kluster ini berkaitan dengan satu majlis makan malam sempena Tahun Baru Cina yang berlangsung di kediaman di Taman Mawar, Sandakan.

Kerajaan negeri turut memberi kelonggaran bagi pergerakan keluar masuk individu berasal dari Sabah bersama pasangan dan tanggungan ke negeri ini sepanjang PKPB.

* Kes COVID-19 di Labuan terus menunjukkan trend menurun dan berkemungkinan beralih ke zon hijau, kata pengarah kesihatan Labuan,
Dr Ismuni Bohari.

Katanya langkah ketat yang dilaksanakan seperti sekatan sempadan bagi membendung penularan COVID-19 dalam komuniti terbukti berkesan dan sebahagian besarnya telah bergerak ke arah normal.

Beliau berkata kelima-lima sub zon di Labuan telah diisytihar sebagai zon kuning.

* Kerajaan Sarawak melarang pengimportan babi dan semua produk haiwan itu dari Sabah susulan laporan lapan daripada 13 babi di Pitas dijangkiti virus demam babi Afrika, ASF.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata larangan berkuat kuasa serta-merta itu dibuat mengikut Seksyen 8 Ordinan Kesihatan Awam Veterinar Sarawak 1999.

* Tentera Darat Malaysia, TDM menggerakkan satu pertiga daripada kekuatannya merangkumi aspek sumber manusia, penstrukturan serta aset bagi meningkatkan lagi keupayaan pertahanan di Sabah dan Sarawak.

Panglima TDM, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, berkata perkara itu terkandung dalam Pelan Strategik TDM 2021-2025 bagi menyeimbangkan kekuatan pasukan itu di Semenanjung Malaysia dengan wilayah Sabah dan Sarawak.

* Seorang ibu merayu orang ramai tampil menderma darah jenis ‘O positif R1R1 JKA’ bagi anaknya yang menghidap Talasemia major sejak berusia empat tahun.

Talasemia major adalah penyakit kelainan darah akibat faktor genetik menyebabkan sel darah merah (hemoglobin) tidak berfungsi dengan normal dan memerlukan pemindahan darah setiap tiga atau empat minggu.

Selly Onong berkata, sejak pandemik Covid-19, proses pemindahan darah untuk anaknya, Neowell Van Houttan, 20, sedikit sebanyak terganggu hingga menyebabkan keadaan anaknya bertambah lemah.

* Kisah benar perjalanan hidup seni seorang ayah yang dilakonkan semula dalam sebuah filem pendek, membawa tuah kepada Siti Nursyahirah Mohd Anwar, 24, apabila dinobatkan sebagai pemenang anugerah Bestscreen Play pada Limkokwing Youth International Film Festival, 15 Februari lalu.

Membawa tajuk Penjara Seni, filem berdurasi 14 minit 19 saat itu berjaya menyingkirkan lebih 50 peserta lain sekali gus menerima hadiah berupa trofi dan sijil.

Nursyahirah, graduan Program Teknologi Visual, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian, Universiti Malaysia Sabah, UMS menyifatkan pencapaian itu di luar jangkaannya kerana dia berhadapan saingan hebat daripada peserta-peserta antarabangsa.

23rd February 2021.