Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 22nd March 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Sabah mencatatkan 22 kes baharu positif Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri ini meningkat kepada 158 berbanding 136 kes semalam.

Daerah Tawau yang mencatatkan satu kematian Jumaat lalu, menjadi daerah tertinggi merekodkan kes Covid-19 di Sabah dengan 40 kes berbanding 37 kes semalam.

Sementara Lahad Datu kedua tertinggi dengan 33 kes, pertambahan 1 kes diikuti Kota Kinabalu, 22 kes, pertambahan 5 kes. Ranau yang sebelum ini tidak merekodkan  sebarang kes, mencatatkan 2 kes baharu hari ini.

Dua lagi kes kematian dilaporkan  hari ini menjadikan keseluruhan 10 kes kematian akibat Covid-19 di negara ini setakat 7 petang tadi.

Dua kes kematian terbaharu hari ini melibatkan seorang doktor lelaki di Kementerian Kesihatan yang meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis dan seorang lelaki dari kluster tabligh berusia 74 tahun yang meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang.

* Walaupun tiada sebarang dokumen, pendatang asing terutama dari Rohingya yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling tidak akan ditangkap ketika tampil membuat saringan kesihatan Covid-19 kerana keutamaan ketika ini adalah untuk membendung penularan virus itu kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

* Di Tawau, tinjauan Ardyhansah Amat mendapati pihak berkuasa bertindak tegas mengarahkan beberapa individu untuk berpatah semula ke kediaman masing-masing selepas gagal mengemukakan alasan munasabah untuk keluar, hari ini.

Tinjauan di Jalan Kuhara-Jambatan Putih, mendapati beberapa kenderaan dari arah Merotai menuju ke pusat bandar, dilihat membuat pusingan U, selepas diarahkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Am dan Angkatan Tentera Malaysia.

* Sekumpulan 12 jemaah tabligh tempatan diiring memasuki perairan Tawau, 3.20 petang semalam sambil diiringi tujuh bot pihak berkuasa terdiri daripada Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Angkatan Tugas Bersama II.

Difahamkan, jemaah tabligh itu sepatutnya menyertai Acara Ijtima of Asia 2020 di Sulawesi, Indonesia, yang dijadualkan berlangsung kelmarin. Jemaah tabligh itu kemudiannya diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara untuk tindakan lanjut. Difahamkan kumpulan berkenaan kini ditempatkan di Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau bagi tujuan kuarantin dan pemantauan.

* Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Ketua Kampung dan penduduk di beberapa kampung di Sabah dilihat mula meletakkan notis dan papan tanda menghadkan kemasukan orang luar ke kampung mereka jika tiada keperluan atau urusan penting.

Antaranya di Kampung Dua Ria Nabawan, Kampung Napong 2 dan Tampios Ranau, Kg Tungkang, Kudat dan Kg Tambatuon, Kota Belud.

* Akibat covid-19 juga, bekas penjaga gol Sabah, Hanafiah @ Han Sang Kuang, 67, dikatakan dalam keadaan tenat. Belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung keadaannya, namun Hanafiah antara peserta perhimpunan tabligh di Sri Petaling awal bulan ini. Difahamkan, Hanafiah masih menerima rawatan di sebuah hospital di ibu negara. Anak lelaki Hanafiah turut menghantar pesanan ke dalam group Whatsapp, Persatuan Bekas Pemain Sabah, yang meminta supaya mendoakan kesihatan bapanya yang kini dalam keadaan kritikal.

* Berkuatkuasa serta-merta sehingga 31 Mac, semua pasar awam dan stesen  minyak di setiap daerah di Sabah hanya akan beroperasi bermula 6 pagi sehingga 2 petang. Manakala, restoran, pasaraya, kedai runcit dan kedai serbaneka pula akan beroperasi bermula 6 pagi hingga 6 petang. Semua operasi jeti penumpang awam antara daerah, ditutup bermula 22 Mac sehingga 31 Mac, kecuali Jeti Penumpang Menumbok.

* Kerajaan Sabah menghadkan waktu operasi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan, CIQS Sindumin-Merapok, di sempadan Sabah dan Sarawak bermula dari 6 pagi hingga 8 malam berkuat kuasa serta-merta. Setiausaha Kerajaan Negeri, SKN, Datuk Safar Untong memaklumkan, langkah itu diputuskan dalam mesyuarat Pusat Arahan Covid-19 negeri Sabah, hari ini, selaras dengan persetujuan yang dibuat antara SKN Sabah dan Sarawak.

Susulan Perintah Kawalan Pergerakan, kekerapan perkhidmatan keretapi negeri Sabah turut dikurangkan.

* Ketika Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan di seluruh negara bermula 18 Mac lalu, ada penduduk yang tersepit kerana berdepan masalah tidak dijangka sehingga mereka terpaksa mengingkari perintah itu.                                                                 

Di Tawau, hampir 1,000 penduduk ibarat ‘terperangkap’ antara perintah itu dan desakan untuk keperluan asas selepas bekalan air terputus di lebih 10 kawasan perumahan, baru baru ini. Antara kawasan yang terjejas Taman Milenium, Megah Jaya, Melur, Rose, Milan, Hong Yee, Lily dan Kongsi 10.

* Menghadkan jumlah pelanggan kepada 20 orang pada satu-satu masa antara langkah keselamatan yang diambil oleh pengurusan Pasar Kampung Sibiew, Bintulu sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan. Pasar Kampung Sibiew adalah tumpuan masyarakat Bintulu bagi mendapatkan bekalan segar terutama hasil laut seperti ikan, udang dan sotong.

Bagi memastikan keselamatan pelanggan, hanya mereka yang memakai penutup hidung dan mulut dibenarkan masuk. Selain menghadkan pelanggan kepada 20 orang, jarak diantara pelanggan juga dipastikan sekurang kurangnya satu meter.

* Perintah Kawalan Pergerakan bukan sahaja melindungi kita dari wabak Covid-19, malah dari risiko lain termasuk menjadi mangsa  sang bedal.

Di Kinabatangan, seorang lelaki yang dikhuatiri hilang dipercayai dibaham buaya ketika menangkap ikan di sungai Tanjung Bulat Jungle Camp, ditemukan pagi semalam.

Mangsa, Zulkifli Azmi, 23, yang juga pekerja pusat pelancongan ditemui penduduk kira-kira pukul 9 pagi.