Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 22 September 2020

Bersama Reetasha Joanes Mijol.

* Presiden Parti Warisan Sabah, Warisan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal memohon maaf kepada seluruh anggota keselamatan berhubung kenyataan seorang pemimpin parti itu, Datuk Mohamaddin Ketapi, mengenai insiden pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu pada 2013.

Dalam satu kenyataan, hari ini, Datuk Seri Mohd Shafie berkata, calon Dewan Undangan Negeri, DUN Segama itu tidak berniat menghina pasukan keselamatan negara.

Kenyataan yang dikeluarkan secara spontan itu disalah erti dan tidak berniat menghina perjuangan perajurit dan anggota keselamatan yang berkorban nyawa mempertahankan rakyat serta negara ini.

Sebagai bekas Timbalan Menteri Pertahanan, beliau amat memahami keperitan terpaksa ditempuh anggota keselamatan dalam menjaga sempadan negara, terutama di pos kawalan Sabah yang terpencil dan serba kekurangan.

* Ketika berceramah di Sukau pagi tadi, Datuk Seri Mohd Shafie berkata Sabah adalah satu-satunya kerajaan negeri yang menyalurkan bantuan kewangan kepada anggota barisan hadapan ketika pandemik Covid-19 mula melanda negara, Mac lalu.

Sebanyak RM10 juta disediakan Kerajaan Sabah kepada 10 agensi keselamatan yang terlibat dalam menangani Covid-19 termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan pelbagai lagi.

Datuk Seri Mohd. Shafie berkata, itu adalah bukti Kerajaan Sabah prihatin kepada pasukan keselamatan yang bertugas demi keselamatan rakyat.

* Datuk Seri Mohd Shafie menafikan dakwaan kononnya pemilihan Datuk Armani Mahiruddin sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri, DUN Sungai Sibuga kerana ada kaitan dengan Yang Dipertua Negeri Sabah.

Sebaliknya, pemilihan Datuk Armani dibuat kerana bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara itu mempunyai keupayaan untuk menjadi wakil rakyat dan bekerja untuk rakyat di kawasan itu.

* 76 peratus daripada 16,877 pengundi awal menunaikan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Negeri, PRN Sabah ke-16, hari ini, sehingga tamat tempoh pengundian 5 petang tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR memaklumkan daripada 16,877 orang pengundi awal itu, 7,487 orang adalah anggota tentera dan 9,390 orang anggota polis serta pasangan masing-masing

Sebanyak 55 pusat mengundi bagi PRN Sabah ke-16 dibuka hari ini bermula 8 pagi sehingga 5 petang.

Proses pengundian awal turut menekankan pematuhan kepada garis panduan pencegahan atau SOP yang ditetapkan SPR dan Kementerian Kesihatan.

* Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, UPKO Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menyifatkan Gabungan Rakyat Sabah, GRS sebagai satu gabungan yang hanya menjalankan kerja secara bersyarat.

Madius merujuk kepada kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika berkempen di Kiulu baru-baru ini.

Hamzah dalam ucapannya berkata Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa menghantar balik Pendatang Asing Tanpa Izin, PATI, namun PATI dihantar balik dengan syarat calon Parti Bersatu Sabah di DUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, menang dalam PRN Sabah, 26 September ini.

* “Cukuplah jadikan Sabah dapur UMNO untuk tempat mereka cari makan,”.

Itu peringatan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mengenai kerakusan UMNO dan Barisan Nasional merampas hak Sabah.

Beliau berkata, jika ada RM100, hanya 30 peratus diberikan kepada Sabah sementara 70 peratus lagi mereka punya.

* Belumpun menjadi kerajaan, tindakan empat calon termasuk dua dari Parti Bersatu Sabah, PBS menarik diri daripada bertanding
dalam PRN Sabah ke 16 jelas membuktikan mereka tunduk kepada Perikatan Nasional PN.

Sementara itu, Timbalan Ketua Wirawati Warisan, Joanna Rampas berkata ketidak-stabilan politik dalam PN dan BN di peringkat Persekutuan patut dijadikan iktibar mengenai keperluan untuk rakyat Sabah bersatu di bawah Warisan Plus.

* Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menempelak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mempersoalkan tindakan Ketua Menteri menuntut Kerajaan Persekutuan memberikan peruntukan kepada Sabah demi pembangunan negeri ini.

Katanya, sudah menjadi tanggungjawab Persekutuan untuk memberikan peruntukan kepada Sabah kerana cukai yang dikutip daripada rakyat Sabah, masuk  ke dalam tabung Putrajaya.

* Calon Parti Warisan Sabah DUN N31 Membakut, Dr Mohd Kamaruddin Abd Hamid berkata ramai anak Sabah telah menimba pengalaman berharga berkhidmat di sektor minyak dan gas di syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa di Labuan, Johor, Terengganu, Sarawak serta di luar negara seperti Dubai dan Kuwait.

Namun, tidak ramai anak Sabah berpeluang terlibat secara langsung sebagai pekerja mahir atau dalam pengurusan tertinggi di syarikat-syarikat multinasional yang beroperasi di Sabah.

Tegasnya, minyak dan gas Sabah adalah milik rakyat Sabah dan sebaiknya ditadbir urus oleh anak Sabah dan ini boleh direalisasikan dengan tuntutan dan suara rakyat Sabah melalui parti Parti Warisan Sabah.

* Calon Warisan Plus DUN Kuamut, Benson Inggam mahu mewujudkan platform khusus di kawasan DUN berkenaan dikenali peluangkuamut.com bagi membantu ramai graduan dan belia di kawasan itu yang masih menganggur dan sukar mendapatkan pekerjaan.

22 September 2020.