Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 22 October 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Empat kes kematian, 578 kes positif baharu dan dua kluster baharu Covid-19, Kluster Sauh di Kota Kinabalu dan Kluster Tinusa di Sandakan, dilaporkan di Sabah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua kes kematian dilaporkan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan dan satu kes kematian masing-masing di Hospital Tuaran dan Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Keempat-empat pesakit berusia antara 60 tahun hingga 88 tahun dan kebanyakannya mempunyai sejarah penyakit kronik.

Tambahan kes kematian terbaru ini menjadikan kes kematian akibat Covid-19 di Sabah meningkat kepada 76 kes.

Seorang wanita berusia 63 tahun yang sebelum ini disahkan positif Covid – 19 ditemui mati, dipercayai terjun dari tingkat lapan Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu, malam tadi.

Anjung Teduh, Felda Sahabat, Lahad Datu kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, PKPD berkuat kuasa 24 Oktober sehingga 6 November, melibatkan 4,629 penduduk.

Penduduk tidak dibenarkan keluar dari kawasan terbabit kecuali kes kecemasan.

PKPD di 6 lokaliti di Semporna termasuk Kg Bangau Bangau, Simunul, Pinggir Bakau dan Kampung Pengkalan di Kunak dilanjutkan sehingga 6 November, ekoran masih terdapat penularan Covid-19 di kawasan berkenaan.

* Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata daripada 233 kes yang dilaporkan di Kota Kinabalu hari ini, 156 kes adalah dari Kluster Penjara Kepayan terdiri 145 banduan, 9 kakitangan penjara dan seorang bekas banduan serta 1 kontak rapat kepada kakitangan penjara.

Secara kumulatifnya, 9,868 kes direkodkan di Sabah sehingga hari ini.

4,168 pesakit telah sembuh dan 5,624 pesakit sedang dirawat di hospital di seluruh Sabah.

8 daerah tidak mencatatkan sebarang kes positif baharu hari ini.

Kluster Sauh merekodkan 31 kes di PETRONAS PFLNG manakala Kluster Tinusa di Kampung Tinusa 2, Sandakan mencatatkan 33 kes.

13 guru, 27 murid dan 2 kakitangan Jabatan Pendidikan Sabah dilaporkan dijangkiti Covid-19 setakat hari ini.

Ketika ini keputusan ujian ke atas 6653 sampel tertunggak masih belum diperoleh.

* Semua laluan haram, masuk dan keluar dari dua kampung setinggan atas air Saguking Laut dan Sebor Baru, Labuan yang kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, PKPD telah dikenal pasti dan ditutup dengan kawat berduri.

Ketua Polis Daerah Labuan, Supt Muhamad Farid Ahmad berkata laluan haram itu termasuk kawasan perairan ke arah laut terbuka dan di darat.

* Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, ESSCOM dengan kerjasama beberapa agensi mengagihkan bekalan makanan kepada penduduk Kampung Bangau-Bangau, Semporna yang kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, PKPD sejak 14 Oktober lalu.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, agihan bantuan itu melibatkan sebanyak 100 bakul makanan yang mula diserahkan pada 8.30 pagi tadi di Jeti Pelancongan Semporna.

* Menteri Kerja Raya Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi jaminan Jambatan Kampung Piasau di Kota Belud, selamat untuk digunakan oleh semua jenis kenderaan, walaupun terdapat kesan tanah runtuh di kawasan itu.

Katanya, keadaan jambatan ini masih baik dan kukuh hanya memerlukan sedikit pembaikan bagi menghalang hakisan berlanjutan.

Beliau, yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata demikian bagi mengulas kebimbangan orang ramai mengenai hakisan di kawasan tebing Jambatan Kg Piasau .

Bung berkata, bagi menangani masalah hakisan berkenaan, kerja-kerja pembaikan sepatutnya mula dilaksanakan Selasa lalu namun terpaksa ditangguhkan akibat faktor cuaca dan akan dilakukan apabila keadaan cuaca mengizinkan.

* Cubaan enam pendatang asing tanpa izin, PATI menyeludup masuk rokok bernilai RM3.98 juta berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Sandakan semasa rondaan Op Benteng di Pulau Tetabuan, Sandakan, semalam.

22nd October 2020.