Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 22 November 2020

Bersama Hikma Juni.

* Kes positif baharu Covid-19 di Sabah menurun kepada 311 hari ini berbanding 346 kes yang dilaporkan semalam.

Dengan pertambahan 311 kes hari ini, jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah kini 26,098 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 3 kes kematian termasuk membabitkan seorang rakyat asing dilaporkan di Sabah hari ini.

Kes kematian itu membabitkan seorang lelaki berusia 90 tahun yang meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Dua lagi kes kematian dilaporkan di Hospital Tawau membabitkan seorang lelaki berusia 68 tahun dan wanita berusia 80 tahun yang meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Kesemua pesakit mempunyai sejarah penyakit kronik.

Jumlah kumulatif kes kematian di Sabah kini 192.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata Pitas bertukar dari zon kuning ke zon jingga ekoran pertambahan 11 kes positif baharu Covid-19 di daerah itu.

Zon Jingga adalah kawasan yang merekodkan antara 21 hingga 40 kes aktif Covid-19.

398 kes sembuh dilaporkan di Sabah hari ini, manakala 2,385 pesakit sedang menerima rawatan.

Peratus pengunaan katil pesakit adalah 36.27 %.

Sehingga hari ini, 208, 341 bakul makanan telah diagihkan.

Kadar pematuhan penduduk Sabah ke atas prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB, menurun sedikit kepada 97.88 peratus berbanding 97.93 peratus semalam.

* Kompleks Ujana Kewangan Labuan ditutup sementara bermula hari ini selepas beberapa pekerja disahkan positif COVID-19.

Menurut Pengarah Kesihatan Labluan Dr Ismuni Bohari, penutupan itu bagi membolehkan proses sanitasi dijalankan di setiap premis di aras satu dan dua kompleks tersebut.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengenal pasti kluster baharu Sky Coklat berpunca dari kompleks berkenaan, selepas enam pekerja di sebuah kedai di situ disahkan positif COVID-19.

Sehingga semalam, Labuan merekodkan 1,227 kes dengan empat kluster aktif iaitu Saguking, Titian,Tenaga dan yang terbaharu Sky Coklat.

* Sukarelawan Semporna Heroes menampilkan usaha serampang dua mata iaitu membantu dan memberi kesedaran kepada penduduk melalui ‘Trash Hero Project’ yang dijalankan di Pulau Mabul baru-baru ini.

Projek itu memberi faedah serentak dengan menjamin kebersihan pulau tersebut dan pada masa sama, penduduk menerima bantuan berupa pek makanan.

Menerusi projek itu, penduduk Pulau Mabul bergotong royong membersihkan sampah dan bagi setiap lima beg plastik sampah yang berjaya dikutip, mereka akan menerima pek makanan.

Pengasas Semporna Heroes Samuel Lee berkata hasil kerjasama penduduk, sebanyak 15,375 kilogram sampah berjaya dikutip dalam tempoh lima hari untuk ditukar dengan 619 pek makanan berupa beras, minyak masak, tepung gandum, gula, kopi, kicap dan mi kuning.

* Mayat seorang lelaki tempatan ditemukan di landasan keretapi antara Stesen Halogilat menuju ke Beaufort, semalam.

Mangsa dikenali Sabiri Idong, 56, ditemui dalam keadaan terbaring di landasan kereta api dengan beberapa kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superitendan Azmir Abdul Razak berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat itu pada 5.20 petang semalam daripada seorang pemandu keretapi.

Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian leher dan dada dipercayai digilis keretapi.

* Seorang lelaki yang hilang selepas keluar ke laut untuk melihat bagang majikannya di perairan Bengkoka, berhampiran Kampung Rosob, Pitas malam Khamis lalu, ditemukan lemas, pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata mayat mangsa ditemui terapung oleh pekerja bagang di sekitar perairan Kampung Rosob, Pitas, kira kira 7.30 pagi tadi.

Identiti mangsa, Hamlee Sinabil, 50 disahkan adiknya. Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

22nd November 2020.