Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 22 Mei 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Polis Diraja Malaysia, PDRM akan terus memantau kumpulan individu yang diarah untuk menjalani kuarantin di rumah masing-masing bagi memastikan golongan tersebut kekal berada di rumah di sepanjang Aidilfitri.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, PDRM dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia sudah mewujudkan pasukan untuk melakukan pemeriksaan rumah ke rumah sepanjang musim perayaan bagi tujuan tersebut.

Selain pemantauan individu dikuarantin, pasukan berkenaan juga akan memastikan tiada rumah yang mempunyai bilangan individu melebihi jumlah dibenarkan selaras dengan keputusan kerajaan.

Bagi tujuan ini, polis mengerahkan 4,469 pegawai dan anggota untuk memantau rumah-rumah serta pengangkutan awam di Sabah.

* Sebanyak 1,050 masjid di Sabah hari ini dibenarkan mengadakan solat Jumaat mengikut prosedur operasi standard, SOP ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB, kata Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Saifulzaman Sangul.

Sementara itu, Imam Besar Masjid Negeri, Suhaidi Kuanting, berkata sepanjang tempoh PKPB, hanya azan solat lima waktu dilaungkan di masjid berkenaan dan bersyukur dapat mengimarahkan masjid, meskipun tidak membabitkan ramai jemaah.

Selasa lalu, Majlis Fatwa Negeri Sabah membenarkan aktiviti solat berjemaah termasuk solat Jumaat dan tarawih di masjid yang terpilih, selepas dihentikan sementara sejak 18 Mac lalu berikutan penguatkuasaan PKP.

Bagaimanapun, Mufti negeri, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata kebenaran solat Jumaat hanya diberikan kepada ahli jawatankuasa masjid  sahaja dengan bilangan ahli jemaah tidak melebihi 12 orang termasuk imam dan khatib.

* DI Tawau, semua 139 masjid di daerah itu dibenarkan mendirikan solat Jumaat hari ini, selepas 64 hari larangan pelaksanaannya ekoran pandemik Covid-19.

Kebenaran mendirikan solat Jumaat, hari ini, selepas lebih dua bulan, disifatkan sebagai rahmat buat penduduk Islam di negara ini.

* Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari di kediamannya bermula petang ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya, memaklumkan tindakan itu diambil selepas seorang pegawai yang hadir pada mesyuarat pasca-Kabinet di Pejabat Perdana Menteri, Rabu lalu, disahkan positif COVID- 19.

Perdana Menteri telah menjalani ujian saringan COVID-19 pagi tadi dan disahkan negatif.

.

Mengikut Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak COVID-19 (Seksyen 15(1) Akta 342), Perdana Menteri perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari mulai petang ini kata kenyataan itu.

Semua ahli mesyuarat tersebut juga telah diarahkan agar menjalani ujian saringan dan kuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari bermula hari ini.

* Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB Sabah membina 20 unit Rumah Sejahtera Rakyat, RSR untuk peserta Mini Estate Sejahtera, MESEJ Tukar Pitas dengan kos RM1.2 juta.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata kerja-kerja pembinaan rumah itu dimulakan pada hujung tahun lalu dan kini sudah 90 peratus siap.

Ia adalah perumahan Mesej yang pertama menggunakan konsep RSR yang diperkenalkan dan direkabentuk oleh KPLB Sabah.

Setiap rumah mempunyai tiga bilik tidur, sebuah bilik air, tandas, dapur dan beranda serta warna cat yang tersendiri bagi mewujudkan identiti tersendiri rumah di bawah Program RSR.

Selain Mesej Tukar Pitas, pembinaan rumah dengan konsep RSR juga akan dilaksanakan di Mesej Abai Kinabatangan, Mesej Timpangoh Laut Penampang, Mesej Kotud Kota Marudu dan Mesej Mansalu Ranau.

Secara keseluruhannya KPLB Sabah memperuntukkan RM4.8 juta untuk melaksanakan Program RSR tahun ini di kawasan Ladang Mesej dan Program Kampung Sejahtera.

* Sebanyak 400 bungkus bubur lambuk dan kurma diagihkan kepada petugas barisan hadapan serta penduduk di sekitar daerah Beluran menerusi program Sentuhan Kasih Wirawati anjuran Wirawati Beluran dan Pejabat Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri  Labuk.

Sumbangan itu diagihkan kepada kakitangan Hospital Beluran, balai polis, balai bomba serta anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia, Rela yang bertugas dalam sekatan jalan raya, selain turut diagihkan kepada cawangan di Kampung Keniogan dan Pulau Tetabuan.

Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan) Beluran, Norsabrina Japar, berkata ahli jawatankuasa Wirawati Beluran bertungkus lumus memasak bubur lambuk sebelum ia diedarkan.

Selain sempena Ramadan, sumbangan ini adalah untuk menghargai jasa petugas barisan hadapan.

* 80 golongan asnaf di Tamparuli menerima pakej bantuan raya berupa makanan kering yang disumbangkan Perbadanan Pinjaman Negeri Sabah dan disampaikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, untuk meringankan beban golongan kurang bernasib baik menjelang 1 Syawal.

Menurut Datuk Seri Madius, kerajaan negeri sentiasa perihatin untuk membantu meringankan bebanan rakyat khususnya golongan yang benar-benar memerlukan.

* Kadar indeks jenayah di Kota Kinabalu menurun 52 peratus sejak Perintah Kawalan Pergerakan PKP dikuatkuasakan mulai 18 Mac lalu sehingga 15 Mei.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata hanya 96 kes jenayah dilaporkan sepanjang tempoh itu berbanding 198 kes yang dilaporkan dalam tempoh sama, tahun lalu.

Dalam tempoh PKP juga, polis Kota Kinabalu turut menangkap seramai 166 individu atas pelbagai kesalahan jenayah termasuk penyalahgunaan dadah dengan jumlah rampasan pelbagai jenis dadah seperti syabu dan ganja yang dianggarkan bernilai RM137,393.60.

Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu menugaskan seramai 1,272 pegawai dan anggota untuk memantau aktiviti sambutan Aidilfitri, bagi memastikan penduduk sentiasa mematuhi SOP ditetapkan kerajaan Sabah.

Kesemua anggota akan digerakkan mulai esok dengan hampir 30 pasukan pemantau ditempatkan di seluruh bandar raya ini termasuk di Inanam, Manggatal dan Pulau Gaya.