Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 22 March 2021

 

Bersama Beverly Anastacia Lim.

* Pembangunan projek mega, Lok Kawi Resort City yang bernilai RM 7 bilion adalah satu lagi mercu tanda yang membuktikan Sabah mempunyai potensi besar dalam pembangunan sektor pelancongan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, projek Lok Kawi Resort City yang dikendalikan Syarikat Tegas Bangsa Sdn Bhd pastinya akan membuka ruang yang luas untuk kemasukan pelabur, pembeli hartanah serta pelancong dari dalam dan luar negara.

* Dalam sidang medianya selepas itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata lawatan dua harinya ke Sabah tidak menyentuh secara spesifik mengenai pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum akan datang.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU berkata tumpuan ketika ini adalah untuk melaksanakan manifesto semasa kempen Pilihan Raya Negeri, PRN Sabah, September tahun lalu.

* Sabah berpotensi membangun dalam industri aeroangkasa selari dengan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, National Aerospace Industry Coordinating Office, NAICO Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, MITI juga mencadangkan Kota Kinabalu dijadikan kluster aeroangkasa dalam Rancangan Malaysia Ke-12, RMK-12.

Beliau berkata, pelaburan dalam industri ini dijangka mampu mewujudkan lebih 1,500 peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah selain memberi impak positif terhadap sektor-sektor lain susulan peningkatan rantaian pelaburan.

Katanya Sabah diberikan layanan adil dalam pembentukan dan perancangan RMK-12 menerusi peruntukan kewangan yang saksama untuk pembangunan negeri ini.

* Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan Perikatan Nasional akan terus memberi fokus kepada usaha menstabilkan keadaan politik bagi memastikan agenda pembangunan dan pemulihan ekonomi di negara ini dapat dilakukan.

* Ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gabungan Rakyat Sabah GRS di Kota Kinabalu semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perjuangan GRS belum selesai dengan memenangi Pilihan Raya Negeri, PRN Sabah tahun lalu, sebaliknya baru bermula dengan membela nasib rakyat negeri ini.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional berkata Sabah akan terus diberikan keutamaan dan perhatian dalam usaha memulihkan ekonomi negeri ini sejak dilanda pandemik Covid-19.

* Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, Kota Kinabalu.

Perdana Menteri tiba di Istana Negeri pada pukul 11.40 pagi diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bersama-sama dua Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam dengan disambut pegawai istana.

* Sempena lawatannya ke Sabah, Perdana Menteri turut meluangkan masa kira-kira 20 minit bagi meninjau Pusat Vaksinasi Covid-19 daerah Kota Kinabalu di Dewan Serbaguna, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, pagi tadi.

Beliau turut diberi talimat mengenai perkembangan terkini Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat negeri Sabah yang disampaikan oleh Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi.

* Sebelum berlepas pulang ke ibu negara, Perdana Menteri berkesempatan meluangkan masa menziarahi keluarga warga emas Dayang Amit Budi, 82 di Kampung Sembulan Tengah dan keluarga Wong On Mui di flat Tanjung Aru.

Sempena program ziarah kasih itu, Tan Sri Muhyiddin menyampaikan sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat selain beramah mesra dengan keluarga berkenaan.

* Kes positif baharu Covid-19 di Sabah menurun dengan 36 kes dilaporkan hari ini berbanding 50 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 54, 295 kes.

Pitas menjadi daerah keempat di Sabah yang dikategorikan zon hijau.

Satu kes kematian dilaporkan di Sabah hari ini iaitu di Kota Kinabalu. Tiada kluster baharu dilaporkan di Sabah, hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata kes positif baharu tertinggi dilaporkan di Kota Belud dengan 11 kes direkodkan hari ini.

* Selepas tiga kekalahan berturut-turut sebelum ini, Sabah FC akhirnya mencatat kemenangan pertama mereka musim ini apabila membenam Terengganu FC 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam semalam.

Lebih manis, skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto itu turut meleburkan rekod tanpa kalah Terengganu FC dalam saingan Liga Super musim ini.

22nd March 2021.