Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo 22 June 2020

Bersama Norsarahana Zaki.

* Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli menegaskan tidak mempunyai rancangan untuk keluar daripada Parti Warisan Sabah untuk menjadi wakil rakyat Bebas.

Pendirian itu sekali gus menolak sebarang dakwaan kononnya beliau akan meninggalkan Warisan.

Tegasnya laporan media sebelum ini tidak menggambarkan perkara sebenar secara keseluruhan.

Dalam satu kenyataan hari ini Rozman berkata secara umum beliau memberitahu dalam laporan itu tiada masalah jika Labuan dipimpin oleh mana-mana wakil rakyat sekali pun termasuklah Bebas kerana pembangunan pulau bebas cukai itu perlu tetap diteruskan.

* Wirawati Parti Warisan Sabah Sepanggar, menafikan kenyataan bekas ketuanya, Raisa Abd Ghaffur yang mendakwa kira-kira 600 ahli daripada sembilan cawangan di bahagian Sepanggar meninggalkan parti.

Timbalan Ketua Bahagian Warisan Sepanggar, Ahmad Jais Otong berkata, sebenarnya hanya dua cawangan – Telipok Ria Blok 18 dan Telipok Ria Blok 15 – menutup cabang itu dan bukannya sembilan seperti yang dilaporkan.

* Parti Keadilan Rakyat, PKR Sabah meminta ahli yang membuat pengisytiharan keluar parti menghantar senarai nama mereka bagi membolehkan dikeluarkan dari rekod PKR Pusat.

Pengerusi PKR negeri merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata, sehingga kini, pihaknya masih belum menerima senarai nama ahli yang mengisytiharkan keluar parti termasuk terbaharu membabitkan PKR Kalabakan yang mendakwa 2,000 ahli keluar parti.

* Pendirian Adun Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai dan Parti Bersatu Sabah, PBS berhubung isu IMM13 membuktikan bahawa selama ini mereka mengelirukan rakyat Sabah, kata Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah Jo-Anna Sue Henley Rampas.

Jika sebelum ini Joniston dan PBS menggesa kerajaan negeri diterajui Warisan untuk menghantar pulang pendatang asing tanpa izin PATI, namun hari ini mereka sebaliknya bersetuju dengan cadangan Kerajaan Persekutuan untuk mengeluarkan dokumen IMM13 kepada rakyat asing di Sabah.

Selama ini PBS mengelirukan rakyat Sabah dengan membuat rakyat berfikir bahawa kuasa itu ada dalam tangan kerajaan negeri katanya dalam satu kenyataan.

Jo-Anna menambah bahawa Kerajaan Sabah yang dipimpin Warisan sentiasa konsisten dengan isu pendatang tanpa izin dan kekal dengan niat untuk mengambil kuasa itu daripada tangan Putrajaya agar isu itu boleh diselesaikan tanpa bergantung kepada Putrajaya.

Atas sebab itulah cadangan Pas Sementara Sabah PSS dipersetujui.

Ini kerana Kerajaan Persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan ketika itu bersetuju untuk mengembalikan kuasa mengawal operasi ini kembali kepada Imigresen Sabah, tetapi dengan syarat lebih banyak rundingan dan pertemuan diadakan untuk menyelesaikannya secara teknikal.

Jo-Anna mencabar pemimpin PBS untuk menjalankan amanah yang diberi rakyat Sabah supaya dapat menyelesaikan masalah berkenaan PTI dengan sendiri dan bukannya bercakap di kedai kopi sahaja.

* Kerajaan Sabah membenarkan penganjuran persidangan, seminar dan kursus dengan kapasiti tidak lebih 150 orang bergantung kepada saiz ruang dan penjarakan sosial di lokasi penganjuran.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata, dengan kebenaran itu, pelaksanaan majlis-majlis anjuran kerajaan dan swasta boleh dilakukan dengan mematuhi tatacara prosedur operasi standard, SOP Am Pelaksanaan Majlis Kerajaan dan Swasta yang ditetapkan.

SOP Am itu wajib dipatuhi setiap agensi kerajaan dan swasta yang ingin menganjurkan mesyuarat, seminar, bengkel, kursus, latihan, persidangan, ceramah dan majlis sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan PKPP.

Menerusi tatacara SOP Am, penganjuran program sedemikian di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, PKPD tidak dibenarkan.

Pesakit dibawah siasatan PUI juga tidak dibenarkan hadir di mana-mana majlis yang diadakan.

* Bilangan kes aktif Covid-19 di Sabah kekal tujuh susulan tiada sebarang kes baharu dilaporkan hari ini
.
Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon berkata, Penampang mencatatkan bilangan kes aktif tertinggi dengan tiga kes, diikuti Tuaran dua kes dan masing-masing satu kes di Tawau dan Papar.

Jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Sabah kekal 364 kes, manakala seramai 350 orang telah sembuh daripada virus itu sejak Mac lalu.

Kes kematian di Sabah kekal tujuh kes.

Sementara itu, satu kes baharu yang dilaporkan di negeri ini semalam dikesan menerusi saringan di Pusat Tahanan Sementara Tawau kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

* Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, Felda membelanjakan sehingga RM200,000 dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini bagi memindahkan enam gajah liar dari Felda Umas, Kalabakan ke Hutan Simpan Gunung Rara, melalui Operasi Translokasi.

Kerosakan tanaman akibat serangan gajah Borneo di Felda Umas, Kalabakan menyebabkan kerugian melebihi RM430,000.

* Dua beradik antara empat individu didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu atas kesalahan memalsukan penyata bank bagi mendapatkan tender Perkhidmatan Membekal Makanan Bermasak ke asrama sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

* Aspek keselamatan di sepanjang Jalan Papar Lama Kota Kinabalu yang sedang dalam pembinaan bagi projek Lebuh Raya Pan Borneo, akan dipertingkatkan bagi mengelak lebih banyak nyawa terkorban.

Pengarah Jabatan Kerja Raya, JKR Sabah, Datuk Richard Jomiji berkata sistem pengurusan trafik di sepanjang laluan berhampiran Kawang yang kini telah meragut lima nyawa pengguna jalan raya, akan diperbaiki.

* Selain Jalan Papar Lama – Kota Kinabalu, satu lagi lokasi dikenal pasti menjadi laluan maut di Sabah kerana sudah kerap kali berlaku kemalangan termasuk kemalangan maut.

Yang dimaksudkan kilometer 4, Jalan Tambunan-Kota Kinabalu yang meragut nyawa 2 wanita, manakala 2 lagi cedera parah, malam Sabtu lalu.

Kemalangan ngeri itu menyebabkan majlis pendaftaran perkahwinan yang sepatutnya berlangsung hari ini bertukar menjadi majlis pengebumian apabila sepasang tunangan terbabit dalam kemalangan jalan raya yang menyebabkan salah seorang daripada mereka maut.