Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 21st March 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Kes kematian akibat wabak Covid-19 di Malaysia  meningkat kepada lapan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi laman Facebooknya menyatakan  lima kes kematian dilaporkan hari ini termasuk dua kematian dari kluster perhimpunan tabligh serta kematian  dua beranak di Sarawak.

17 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 136 kes.

Menteri Kesihatan dan Kejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon di laman Facebook miliknya memaklumkan daerah Tawau yang mencatatkan satu kematian semalam menjadi daerah tertinggi merekodkan kes Covid-19 di Sabah dengan 37 kes berbanding 32 kes semalam.

* Hanya seorang wakil atau ketua keluarga dibenarkan keluar dari rumah sekiranya ada keperluan termasuk  mendapatkan bekalan seharian dan ubat-ubatan. Menteri Kanan yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kebenaran untuk membawa ahli keluarga lain pula bergantung kepada budi bicara pihak polis.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan polis boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang membuat saringan COVID-19 di hospital dan klinik kerajaan atau swasta tetapi gagal mengisytiharkan bahawa mereka adalah kontak rapat kepada pesakit yang sudah disahkan positif.

Langkah itu bagi mengelakkan risiko jangkitan pekerja barisan hadapan seperti doktor dan jururawat kerana ia boleh menjejaskan perkhidmatan kesihatan yang amat diperlukan dalam situasi sekarang.

* Polis Kontinjen Sabah akan mengatur gerak 109 pasukan untuk bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula tengah malam ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata biarpun ada penglibatan tentera namun tahap kekerasan yang digunakan agar orang ramai mematuhi perintah itu, masih secara minima. Katanya, pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan di Sabah baru mencapai tahap 90 peratus.

* Polis Kontinjen Sabah melalui Cawangan Khas sedang mengesan 300 orang lagi ahli tabligh di negeri ini yang masih belum tampil menjalani pemeriksaan kesihatan berkaitan Covid-19 selepas menghadiri

Perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur, hujung bulan lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, 700 ahli tabligh berjaya dikesan namun keberadaan 300 orang lagi belum dapat dipastikan kerana mereka tidak dapat dihubungi selepas madrasah ditutup.

* Jenazah seorang lelaki berusia 58 tahun yang meninggal dunia akibat dijangkiti virus Covid-19 di Hospital Tawau semalam, telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Putih, 10.20 malam tadi. Urusan pengkebumian disempurnakan pasukan perubatan Hospital Tawau yang lengkap dengan peralatan perlindungan diri, PPE.

* Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, DBKK mengambil pendekatan memendekkan waktu operasi beberapa premis perniagaan dan pasar awam di bandar raya Kota Kinabalu bagi memastikan Perintah Kawalan Pergerakan dipatuhi. DBKK akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pemilik premis perniagaan yang gagal mematuhi arahan ini.

Sementara itu, tinjauan BTtv siang tadi di hari keempat Perintah Kawalan Pergerakan di bandar raya Kota Kinabalu mendapati aktiviti orang ramai kian berkurangan berbanding hari sebelumnya.

* Ketika ini terdapat 3,260 pelajar tajaan Kerajaan Sabah yang menuntut di Semenanjung Malaysia dan di luar negara. Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob berkata daripada jumlah itu seramai 2,136 adalah tajaan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah dan 1,124 pelajar di bawah tajaan Yayasan Sabah termasuk 276 pelajar sekolah menengah.

Pelajar dari Sabah yang menuntut di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Semenanjung Malaysia dinasihatkan supaya kekal berada di tempat penginapan kampus masing-masing sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa.

Untuk memastikan, kesihatan, kebajikan dan keselamatan pelajar Sabah di Semenanjung Malaysia sentiasa terjaga, Kerajaan Sabah memberikan bantuan termasuk makanan yang disalurkan menerusi Kementerian Pendidikan dan Inovasi. Bantuan itu amat dihargai pelajar dan ibu bapa mereka di Sabah.

* Tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching mendapati lebih

daripada 80% penerbangan yang dijadualkan berlepas semalam, dibatalkan. Rata-rata penumpang yang ditemui meluahkan perasaan

kecewa namun mereka akur dengan perintah itu.

*  Selaras dengan saranan Jabatan Agama Islam Sarawak, 17 Mac lalu, kerja pembersihan masjid giat dilakukan di Bintulu. Masjid Darul Hidayah Kidurong antara yang telah melakukan kerja – kerja berkenaan.