Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 21 November 2020

Bersama Hikma Juni.

* Setelah mencatatkan lebih 500 kes selama dua hari berturut-turut,
kes positif baharu Covid-19 di Sabah menurun kepada 346 hari ini.

Dengan pertambahan 346 kes hari ini, jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah kini 25,787 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 3 kes kematian dilaporkan di Sabah hari ini termasuk seorang pesakit rakyat asing.

Kes kematian itu membabitkan seorang lelaki berusia 62 tahun yang meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Dua lagi kes kematian dilaporkan di Hospital Lahad Datu membabitkan seorang lelaki berusia 78 tahun dan seorang wanita berusia 55 tahun yang meninggal dunia di Hospital Keningau.

Jumlah kumulatif kes kematian di Sabah kini 189.

Bilangan pesakit yang telah sembuh di seluruh negara hari ini adalah yang tertinggi pernah dicatatkan dengan 1,405 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata 369 kes sembuh dilaporkan di Sabah hari ini, manakala 2,373 pesakit sedang menerima rawatan.

Katanya, saringan Covid-19 yang masih dijalankan di Penempatan Telipok dan Kampung Numbak yang mempunyai sekitar 21,000 penduduk dijangka menyumbang kepada peningkatan kes di daerah Kota Kinabalu dalam masa terdekat.

* Kerajaan Sabah berharap kapasiti makmal di negeri ini dapat ditingkatkan tahun depan sehingga mampu memproses 4,000 ujian sampel COVID-19 sehari, berbanding hanya 2,700 ujian sehari, ketika ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata sehingga Khamis lalu, 4,496 sampel COVID-19 di Sabah belum diproses.

Beliau berkata sehingga Khamis, 3,030 bayi dan kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun dilaporkan dijangkiti COVID-19 di Sabah, dengan 1,241 daripadanya adalah kanak-kanak berusia kurang dari lima tahun dan 191 adalah bayi berumur di bawah setahun.

* Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB Sabah akan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan liputan rangkaian internet di Perkampungan Mini Estet Sejahtera, MESEJ.

Menterinya, Datuk Jahid Jahim berkata, kerajaan telah menyediakan keperluan asas kepada peserta MESEJ seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air.

Bagaimanapun pada masa ini, liputan internet menjadi satu keperluan dan perlu ditambah baik agar Sabah tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

* Cubaan dua pendatang asing tanpa izin, PATI warga Indonesia untuk masuk ke Sabah melalui jalan tikus di sempadan Malaysia-Indonesia, berjaya digagalkan oleh pasukan Tentera Darat Malaysia yang sedang melaksanakan Op Benteng di Serudong, Tawau, awal pagi semalam.

2 PATI berkenaan ditangkap ketika sedang menaiki motosikal dari arah Indonesia, memasuki sempadan Malaysia, dipercayai bertujuan mencari pekerjaan.

* Seorang lelaki hilang selepas keluar ke laut untuk melihat bagang majikannya yang terletak di perairan Bengkoka, berhampiran Kampung Rosob, Pitas malam Khamis lalu.

Mangsa, Hamlee Sinabill, 50, dikatakan keluar ke laut menaiki sampan tanpa memakai jaket keselamatan pada jam 7.30 malam dan disedari hilang oleh ahli keluarganya kira-kira sejam kemudian apabila panggilan telefon tidak dijawab.

21st November 2020.