Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 21 Mei 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Satu kes baharu Covid-19 yang dilaporkan di Sabah semalam melibatkan seorang kanak-kanak yang menaiki pesawat komersial bersama keluarganya untuk pulang ke Sabah dari Kuala Lumpur.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata kes terbaharu itu adalah kes import  iaitu kes yang dibawa masuk dari luar negeri Sabah.

Kes itu dikesan melalui sampel yang diambil di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Kes berkenaan telah ditempatkan di pusat kuarantin setibanya mereka sekeluarga di Kota Kinabalu.

Semalam kanak-kanak itu dimasukkan ke wad Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas untuk rawatan selanjutnya.

* Beberapa kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan pelajar insitut pengajian tinggi, IPT yang sedang menunggu giliran untuk pulang ke Sabah.

Sehubungan itu, Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sabah akan memastikan kontak rapat kes-kes positif itu yang telah balik ke Sabah akan diuruskan dengan teratur.

* Isu kakitangan Hospital Tuaran yang dikuarantin, tidak perlu diperbesarkan dan ditokok tambah kerana dikhuatiri akan mengundang panik dalam kalangan masyarakat setempat.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata semua kakitangan yang terlibat dalam pengurusan pesakit telah menjalani ujian saringan dan perlu dikuarantin.

Itu adalah prosedur operasi standard, SOP yang dilakukan apabila berlaku kontak dengan pesakit yang didapati positif Covid-19.

* Kerajaan Sabah melalui Pusat Arahan Sabah COVID-19 menasihatkan

semua rakyat di negeri ini untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard, SOP

sambutan perayaan yang telah dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara

semasa Hari Raya Aidilfitri dan perayaan kebudayaan etnik.

Sehubungan itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dalam satu kenyataan hari ini memberi ingatan bahawa sepanjang tempoh perayaan, sambutan hanyalah dibenarkan di kalangan keluarga yang tinggal serumah sahaja dan hendaklah tidak melebihi 20 orang bergantung kepada keluasan rumah.

Datuk Safar mengingatkan

aktiviti-aktiviti yang tidak dibenarkan semasa perayaan iaitu :

Kunjung-mengunjung ke rumah saudara mara atau sahabat handai,  balik kampung, mengadakan rumah terbuka, berjemaah di masjid atau rumah Ibadat, mengadakan kenduri-kendara, menziarahi kubur dan mengadakan majlis tahlil,  program marhaban dari rumah ke rumah dan berpesta.

Kerajaan Sabah berharap dengan pematuhan SOP ini dapat membantu mengurangkan penularan jangkitan COVID-19 di kalangan orang ramai.

Orang ramai adalah dimohon untuk memastikan penjagaan kesihatan dan

kebersihan diri sentiasa diutamakan dan mengamalkan penjarakan sosial.

* Kerajaan Sabah memberi jaminan bekalan barang keperluan terutama ayam dan daging sempena Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan adalah mencukupi dan harganya juga dikawal mengikut Skim Harga Maksimum Musim Perayaan.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berharap orang ramai tidak melakukan pembelian panik.

Untuk perayaan Hari Raya Aidilfitri, sebanyak 10 jenis barangan disenaraikan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2020 bagi tempoh 20 Mei hingga 3 Jun.

Manakala, bagi perayaan Pesta Kaamatan sebanyak 11 jenis barangan disenaraikan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Kaamatan bagi tempoh 28 Mei hingga 3 Jun.

Katanya, usaha mengawal harga maksimum itu tetap dilaksana meskipun perayaan kali ini disambut dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB bagi menstabilkan harga dan bekalannya di pasaran agar kepentingan pengguna dan peniaga tidak terjejas.

Ini kerana permintaan terhadap barang keperluan harian tertentu semasa sambutan perayaan masih tinggi.

* Walaupun hanya tinggal satu kerusi di dalam Dewan Undangan Negeri Sabah, UMNO yang telah ditewaskan dalam Pilihan Raya Umum 2018, masih menyimpan hajat besar untuk membentuk kerajaan pintu belakang di Sabah melalui usaha membeli wakil rakyat agar berpaling tadah.

Nafsu besar parti itu jelas apabila dua pemimpinnya iaitu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin dan Ketua Pemudanya, Abdul Aziz Julkarnain, masing-masing menyatakan Kerajaan Sabah akan tumbang, seperti dilaporkan hari ini.

Ketua Wira Warisan Sabah, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, Warisan amat menyedari tingkah laku para pemimpin UMNO yang kini membeli wakil rakyat agar parti itu dapat membentuk sebuah kerajaan yang tidak demokratik.