Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 21 March 2021

 

Bersama Hikma Juni.

* Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Kota Kinabalu petang tadi untuk lawatan rasmi dua hari ke Sabah.

Lawatan itu dijangka mengukuhkan lagi kerjasama sedia ada antara kerajaan negeri dan Persekutuan selain memudahkan perancangan pembangunan menyeluruh untuk Sabah.

Ini lawatan sulung Perdana Menteri ke negeri ini selepas Gabungan Rakyat Sabah , GRS yang terdiri daripada Perikatan Nasional, PN, Barisan Nasional, BN dan Parti Bersatu Sabah, PBS membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri Sabah, September tahun lalu.

* Lebih 5,000 peluang pekerjaan bakal dibuka kepada rakyat Sabah dengan kemasukan pelabur Korea Selatan, SK Nexilis yang dijangka memulakan operasi di Taman Perindustrian Kota Kinabalu, KKIP dalam tempoh dua tahun dari sekarang.

Syarikat pembuatan kerajang tembaga itu membuat pelaburan RM2.3 bilion yang turut menyediakan 400 peluang pekerjaan tenaga mahir di negeri ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelaburan terbesar bagi Sabah itu memberi kesan positif kepada Malaysia dan membuktikan keyakinan pelabur asing.

* Depoh Simpanan Keperluan Bencana yang dijadikan pusat transit penyimpanan barang keperluan, memudahkan pengurusan mangsa bencana di negeri ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, depoh bernilai 8.9 juta ringgit itu telah siap, Disember tahun lalu dan mampu menampung keperluan 10,000 mangsa bencana.

Menerusinya, keperluan seperti lampin pakai buang dan makanan kering sudah tersedia di depoh berkenaan untuk diagihkan kepada mangsa bencana secepat mungkin.

* Perintah Kawalan Pergerakan, PKP akan dilaksanakan di Keningau selama 14 hari bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan itu susulan peningkatan secara mendadak kes positif harian di daerah itu dengan 42 kes dilaporkan hasil saringan bersasar di Kampung Lingkudau yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, PKPD.

PKPD di Kampung Tanah Merah, Kota Marudu ditamatkan esok mengikut jadual.

Kes positif baharu Covid-19 di Sabah menurun dengan 50 kes dilaporkan hari ini berbanding 102 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 54, 259 kes.

Tiada kes kematian dilaporkan di Sabah hari ini manakala satu kluster baharu dilaporkan iaitu Kluster D Gana di Keningau.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata Kluster D Gana, Keningau merekodkan 20 kes kumulatif.

Keningau mencatatkan 23 kes hari ini selepas merekodkan peningkatan mendadak 71 kes, semalam.

Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menerima suntikan vaksin dos pertama Pfizer BioNTech di Istana Negeri, Kota Kinabalu, hari ini.

* Perancang utama kegiatan kumpulan penculikan untuk wang tebusan, KFR di Sabah, Apo Mike, mati ditembak polis Filipina di Pulau Kalupag, Tawi-Tawi, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

* Tiga rakyat Indonesia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf pada Januari tahun lalu ketika menangkap ikan di perairan Sabah, berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa Filipina di perairan Tawi-Tawi, Khamis lalu.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Indonesia, ketiga-tiga mereka yang berasal dari Kabupaten Wakatobi, Sulawesi Tenggara, dilaporkan sihat dan dalam proses untuk dihantar pulang ke Indonesia.

Tiga yang diselamatkan itu dikenali sebagai Arizal Kasta Miran, 30; Arsad Dahlan, 41 dan Andi Riswanto Hayano, 26.

Mereka antara lima nelayan warga Indonesia yang diculik oleh kumpulan Abu Sayyaf di perairan Tambisan, Tungku, Lahad Datu pada 16 Januari tahun lalu.

* Mangsa culik terakhir di perairan Tambisan, Lahad Datu, lebih setahun lalu, berjaya diselamatkan pasukan keselamatan Filipina di Pulau Kalupag, Languyan, Tawi-Tawi, 6.30 pagi tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Khairuldin berusia 15 tahun antara lima nelayan Indonesia yang menjadi tahanan kumpulan Abu Sayyaf dan menjadi tahanan terakhir yang diselamatkan.

Mohd Khairuldin diselamatkan selepas tiga lagi tebusan nelayan warga Indonesia, diselamatkan, Khamis lalu.

* 74 orang daripada 15 keluarga di Kampung Gersik, Labuan hilang tempat tinggal selepas empat buah rumah mereka yang diperbuat daripada kayu, musnah dalam kebakaran, semalam.

* Pegawai yang disyaki meminta rasuah berbentuk seks di Keningau akan ditukarkan serta-merta sementara menunggu prosiding selanjutnya oleh pihak berkuasa.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong dalam satu kenyataan berkata, kerajaan negeri sangat menitikberatkan integriti dan tatalaku penjawat awam negeri, seperti yang dijelaskan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Sabah 2008.

Beliau menegaskan, pegawai yang melanggar sebarang peraturan atau terbabit dengan sebarang aktiviti yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang akan diambil tindakan serta merta.

21st March 2021.