Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 21 June 2020

Bersama Hikma Juni.

* Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal berkata, semua perkara yang dilakukan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman terhadap harta Yayasan Sabah akan didedahkan di mahkamah untuk pengetahuan rakyat.

Ketua Menteri berkata terdapat banyak maklumat tentang apa yang telah berlaku terhadap sejuta hektar tanah milik Yayasan Sabah.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bersedia bersemuka dengan Ahli Dewan Undangan Negeri,  ADUN Sungai Sibuga itu di mahkamah demi kepentingan rakyat Sabah.

* Semua mangsa kebakaran di Kampung Sri Aman, Semporna yang tinggal sehelai sepinggang, menarik nafas lega selepas diberikan tempat tinggal di Projek Perumahan Rakyat, PPR Bubul Ria secara sewa beli.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal berkata, langkah tersebut diambil kerajaan setelah mengambil kira keadaan semua mangsa terlibat yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda dalam tragedi pada 4 Jun lalu itu.

Beliau berkata, perancangan awal pembinaan PPR Bubul Ria adalah untuk penduduk Kampung Simunul.

Namun demi kebajikan mangsa kebakaran, kerajaan segera memindahkan mereka di situ.

* Buat pertama kali dalam tempoh 100 tahun selepas Spanish Flu (1918-1919), dunia ‘berhenti seketika’ akibat kemunculan pandemik koronavirus, Covid-19.

Semalam, genap 100 hari Sabah berjuang membendung penularan Covid-19 yang menyaksikan sebanyak 45 petugas kesihatan disahkan positif Covid-19 manakala 700 lagi menjalani kuarantin di seluruh negeri.

Perjuangan sepanjang tempoh 100 hari itu memberi banyak cabaran dan pengalaman kepada semua

pihak terutama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, JKNS.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata minggu-minggu awal penularan Covid-19 adalah tempoh yang sangat mencabar keupayaan fasiliti, makmal dan tenaga kerja JKNS.

Covid-19 menguji kesiapsiagaan semua agensi dan sektor dalam menghadapi pandemik.

* Tiga bulan tidak beroperasi memberi tamparan hebat kepada penggiat industri pelancongan tempatan namun, itulah senario yang terpaksa dihadapi ketika dunia berdepan pandemik Covid-19.

Ketika ini, sempadan negara masih ditutup kepada pelancong asing.

Sehubungan itu, penggiat industri pelancongan harus tampil lebih kreatif dengan pakej pelancongan yang boleh memenuhi citarasa pelancong tempatan.

Bagi Pengarah Urusan Traverse Tours Sdn Bhd, Octavius @ Dares Salam Asaad, pakej sedia ada perlu disesuaikan untuk merangsang semula sektor pelancongan domestik.

Sebagai contoh, pihaknya akan menyediakan pakej memancing dan candat sotong pada kadar harga yang berpatutan.

Kepelbagaian aktiviti itu pasti boleh menarik pengunjung tempatan ke Mari Mari Sepanggar Island Lodge yang lebih dikenali sebagai destinasi aktiviti snorkeling dan selaman skuba.

* Pengguna jalan raya Papar Lama Kota Kinabalu mendakwa kurang ciri keselamatan termasuk papan tanda jalan yang mengelirukan di laluan itu menjadi punca kepada beberapa kemalangan termasuk kemalangan maut.

Sejak Februari lalu, 8 nyawa sudah melayang khususnya di kilometer 16 sehingga 22, laluan berkenaan.

* Di Tambunan, dua wanita maut manakala dua lelaki cedera parah dalam kemalangan yang menyebabkan kenderaan dinaiki mangsa terputus dua di satu selekoh di Kilometer 4, Jalan Tambunan-Kota Kinabalu, kira kira jam 11 malam tadi.