Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 21 Februari 2020

Bersama Beverly Anastacia Lim.

* Tragedi menyayat hati di Sandakan. Tiga beranak termasuk seorang bayi, rentung dalam kebakaran melibatkan 20 buah rumah atas air di kampung Shing Kee, Tanah Merah, Sandakan, awal pagi tadi.

* Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri Kota Kinabalu.

Keberangkatan tiba baginda pada jam 12.20 tengah hari diiringi Mufti Negeri Sabah, Datuk Aziz Bungsu Jaafar, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong, Menteri Undang-Undang Dan hal Ehwal Anak Negeri,  Datuk  Aidi Moktar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dan Pengarah JHEAINS, Datuk  Saifulzaman Sangul.

* Kerajaan Sabah memandang serius isu pencerobohan perairan negara, terutama membabitkan eksploitasi sumber marin. Sehubungan itu, kapal nelayan asing yang dirampas, dilupuskan dengan menggunakan kaedah musnah dan tenggelam untuk dijadikan tukun tiruan agar komuniti nelayan mendapat manfaatnya. Langkah itu dilaksanakan sebagai amaran kepada nelayan asing agar tidak menceroboh dan mengaut hasil laut negara secara haram. Hari ini, sebuah kapal nelayan asing dari Vietnam yang dirampas, dilupuskan secara musnah dan tenggelam di perairan Tompok Nosong, Kuala Penyu.

* Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman menyifatkan tindakan menularkan gambar kanak-kanak Palauh yang digari ketika ditahan semasa meminta sedekah menggunakan pistol mainan di bandar Lahad Datu sebagai tidak wajar.

* Selepas kilang minyak masak di Tawau,  janji Parti Warisan Sabah untuk membina kilang sarung tangan berasaskan getah di Kimanis atau Beaufort dijangka turut terlaksana tahun ini. Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Junz Wong berkata, kerajaan sedang berbincang dengan tiga syarikat  dari Jerman, China dan Semenanjung Malaysia yang berminat dengan pelaburan itu.

Kilang berkenaan dapat menyumbang kepada pembangunan aktiviti hiliran dalam industri getah, sekaligus membantu menstabilkan harga komoditi itu dan meningkatkan pendapatan pekebun kecil. Usaha membangunkan kilang sarung tangan berasaskan getah  itu adalah  satu daripada  janji Parti Warisan Sabah  semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

* Di majlis sama, Datuk Junz berkata pendekatan holistik  menangani masalah sosioekonomi komuniti nelayan, peŕlu diambil dalam membanteras kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan atau bom ikan di Sabah. Kajian mengenai aspek sosioekonomi golongan nelayan di Sabah  dengan kerjasama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB, akan cuba disiapkan tahun ini. Menurutnya, usaha mendapatkan kerjasama PBB dibuat kerana badan dunia itu mempunyai program berkaitan kesedaran ekosistem marin yang meliputi masalah pengeboman ikan.

* Lembaga Industri Getah Sabah, LIGS mengambil langkah setapak ke hadapan untuk tampil dengan portal berwajah baharu yang lebih kompeten dalam merekodkan segala maklumat pembayaran berkaitan pekebun kecil.

* 228, 767 isi rumah berpendapatan rendah, B40 dan orang kurang upaya di Sabah menerima manfaat dekoder percuma myFreeview yang diberikan kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan diuruskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, SKMM.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, inisiatif rakyat itu dilaksanakan bagi memastikan golongan tersebut mendapat bantuan sewajarnya dan tidak ketinggalan dalam meniti arus perkembangan global.

Melalui myFreeview, rakyat dapat menonton sebanyak 14 saluran televisyen digital dan enam saluran radio milik Radio Televisyen Malaysia, RTM tanpa yuran bulanan seperti yang dikenakan syarikat penyiaran swasta.

* Pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, Esscom sudah mengenal pasti pendatang asing tanpa izin, PATI yang menjadi tali barut kepada sindiket tertentu untuk melakukan jenayah di timur Sabah. Komander Esscom, Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya giat melakukan pemantauan terhadap kumpulan yang dikenal pasti dan akan mengambil tindakan lanjut.

Katanya Malaysia, Filpina dan Indonesia bekerjasama sepenuhnya untuk berkongsi maklumat risikan.

Ini kerana, Esscom juga mendapat maklumat yang mendedahkan senjata api turut diseludup masuk ke pantai timur negeri ini. Sabah juga dikatakan transit untuk pejuang asing atau  ‘foreign fighter’ yang bergerak antara Filipina, Indonesia dan Malaysia.

* Maklumat mengenai wanita dan ibu, keganasan rumah tangga serta nutrisi kesihatan boleh didapati dengan lebih mudah menerusi aplikasi ‘Jiwa Ibu’ yang bakal disiapkan dalam tempoh dua minggu lagi.

Dalam pada itu, Sabah menduduki tempat keempat tertinggi pendaftaran Caruman Sukarela Insentif Suri atau i-Suri yang dilaksana di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, daripada sejumlah 145,245 orang wanita yang telah berdaftar dengan i-Suri di seluruh Malaysia, 17,330 orang adalah wanita dari Sabah.