Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 20 October 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* 3 kes kematian, 673 kes positif dan 1 kluster baharu Covid-19 iaitu Kluster Kertang di Kota Belud, dilaporkan di Sabah hari ini.

3 kes kematian itu termasuk seorang wanita warga emas berusia 90 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik, di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua lagi kematian dilaporkan di Hospital Tawau melibatkan lelaki berusia 78 tahun dan wanita berusia 59 tahun.

Kedua-dua kes ini mempunyai latar belakang penyakit kronik seperti darah tinggi, penyakit jantung dan kencing manis.

Tambahan kes terbaru ini menjadikan kes kematian yang dilaporkan di Sabah meningkat kepada 67 kes.

Kluster Kertang di Kota Belud mencatatkan 19 kes positif baharu, hari ini. Kes indeks kluster ini dikesan pada 14 Oktober dan setakat ini 21 kes positif telah dikesan dan 216 individu telah disaring.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, PKPD di Kampung Saguking Laut dan Kampung Sebur Baru di Labuan mulai 21 Oktober sehingga 3 November, membabitkan 8,062 penduduk.

Penduduk diarahkan menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah, HSO dan memakai gelang pengawasan.

Pergerakan keluar masuk juga tidak dibenarkan kecuali bagi kes kecemasan.

* Daerah Kota Kinabalu kekal mencatatkan kes tertinggi selama dua hari berturut-turut dengan 289 kes positif baharu hari ini.

Daripada jumlah itu, 231 kes merupakan kes daripada kluster Penjara Kepayan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, bagi membendung penularan wabak Covid-19 di Penjara Kepayan itu, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan PKPD telah dilaksanakan bermula hari ini.

Hari ini, 21 daerah melaporkan kes positif baharu manakala, lima daerah lain tidak mencatatkan sebarang kes baharu.

Sementara itu, bilangan kes Covid-19 yang dilaporkan di Sabah setakat ini adalah sebanyak 8,755 kes, dengan 5,466 kes aktif yang sedang menjalani rawatan di hospital seluruh Sabah.

Manakala, 3,223 pesakit telah pulih.

Ketika ini masih terdapat kira kira 10,400 sampel yang masih belum diperoleh keputusannya.

Kerajaan Sabah turut menggalakkan kakitangan awam dan swasta yang bertugas di bahagian pengurusan supaya bekerja dari rumah, selaras dengan keputusan dibuat Majlis Keselamatan Negara, MKN, hari ini.

* Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia di Tawau mula beroperasi hari ini untuk merawat pesakit bukan Covid-19.

Hospital Medan ini terletak di Dewan Kompleks Sukan Tawau mempunyai kapasiti 100 katil yang menyediakan rawatan perubatan am, pembedahan am, obstretik dan ginekologi, ortopedik dan perubatan kanak-kanak.

Menerusi inisiatif ini, Hospital Tawau boleh memberi tumpuan kepada rawatan pesakit Covid-19, sekaligus mengurangkan kesesakan.

Hospital Medan itu menerima 4 pesakit hari ini.

* Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk parti politik dan badan bukan kerajaan, NGO untuk menyelaraskan penyampaian bantuan makanan kepada rakyat Sabah kata Menterinya, Ir Shahelmey Yahya.

Katanya, apa yang dilakukan NGO, malah parti poltiik yang lain adalah atas dasar keprihatinan mereka kepada rakyat Sabah dan kerjasama ini dialu-alukan.

* Kerajaan Sabah melalui Jabatan Kerja Raya JKR akan membaiki segera jalan raya yang terjejas akibat tanah runtuh di Kampung Panapuan berhampiran Bukit Kelawat, Kota Belud kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Katanya, jurutera daerah memaklumkan sekiranya banjir pulih dan keadaan cuaca mengizinkan, kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan hari ini.

20 October 2020.