Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 20 November 2020

Bersama Hikma Juni.

* Sabah mencatatkan 3 kes kematian, 512 kes positif baharu dan 1 kluster baharu Covid-19, hari ini.

Dengan pertambahan 512 kes hari ini, jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah kini 25, 441 kes.

Kluster Sabaru, Lahad Datu menyumbang kepada 37.89 peratus kes positif yang dilaporkan di Sabah hari ini, bersamaan 194 kes.

1 kluster baharu dikesan iaitu Kluster Kasir di Tawau dengan 8 kes positif baharu dilaporkan.

Kes kematian di Sabah hari ini membabitkan seorang pesakit wanita berusia 32 tahun yang meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Dua lagi kes kematian dilaporkan di Hospital Tawau membabitkan seorang lelaki berusia 39 tahun dan lelaki rakyat asing berusia 64 tahun.

300 kes sembuh dilaporkan di Sabah hari ini manakala 2,268 pesakit sedang menerima rawatan.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, PKPD dilaksanakan di tapak pembinaan K Avenue, Mega City, Penampang mulai 22 November sehingga 5 Disember melibatkan 400 orang termasuk pekerja tapak pembinaan.

Manakala PKPD di Anjung Teduh, Felda Sahabat sejak 24 Oktober lalu, ditamatkan hari ini.

Saringan kesihatan jenis RTK – Antigen diwajibkan ke atas semua pekerja asing termasuk di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

* Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata semua kemasukan ke negeri Sabah adalah tertakluk kepada arahan-arahan sekatan kemasukan yang dikeluarkan kerajaan negeri dari masa ke semasa.

Panduan kebenaran masuk ke Sabah bagi penduduk dari Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, berkuat kuasa 3 Oktober sehingga 6 Disember, telah dikeluarkan.

Kerajaan Negeri juga menerima pakai ketetapan Kerajaan Persekutuan mengenai sekatan kemasukan ke Malaysia bagi pemegang Pas Lawatan Jangka Panjang dari 23 negara-negara berisiko tinggi termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Filipina dan Indonesia dengan pengecualian kepada kategori tertentu termasuk diplomat serta kru dan pekerja professional dalam industri minyak dan gas.

Tahap pematuhan prosedur operasi standard, SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB di Sabah ialah 97.63 peratus.

Setakat ini, 197,839 bakul makanan telah diagihkan.

* Isu melibatkan tawaran perjawatan tetap jururawat dan doktor di Sabah antara perkara yang dibangkitkan pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 berkenaan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, semalam.

Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis) menggesa Kementerian Kesihatan, KKM untuk meningkatkan jumlah tawaran perjawatan itu, bagi memaksimumkan sumber manusia bidang kesihatan di Sabah.

Beliau mendakwa berlaku lambakan pelajar kejururawatan dan doktor di Sabah berikutan tidak ada penawaran perjawatan tetap sehingga KKM terpaksa menghantar pegawai perubatan dari Semenanjung untuk membantu pasukan perubatan Sabah mengawal penularan COVID-19.

* Penglibatan KD Keris dalam Op Benteng amat signifikan apabila kapal Tentera Laut Diraja Malaysia, TLDM itu berjaya mengesan sebuah bot nelayan yang mencurigakan di perairan 10.6 batu nautika barat Pulau Mantanani semasa sedang melaksanakan rondaan Op Benteng Laut Timur, 11 November lalu.

* Mayat seorang lelaki berusia 20an ditemui tergantung pada batang paip, berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata maklumat mengenai kejadian itu diterima daripada anggotanya kira-kira 9 pagi.

* Proses menjalani kuarantin selama 14 hari dirasakan amat panjang dan menguji emosi pesakit Covid-19 kerana terpaksa menahan kerinduan terhadap keluarga serta kebebasan yang dikecapi selama ini.

Sehubungan itu, pelbagai aktiviti menarik dilakukan bagi menghilangkan rasa bosan dan memastikan pesakit sentiasa bersemangat ketika dalam tempoh kuarantin.

Di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, PKRC di Pusat Kebudayaan Sabah, di Penampang, petugas kesihatan melakukan aktiviti riadah bersama pesakit, menggunakan terapi muzik dan tarian.

20th November 2020.