Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 20 Mei 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Kesemua empat kes baharu Covid-19 di Kota Kinabalu semalam adalah kes import, iaitu kes yang mendapat jangkitan di luar negeri Sabah yang dikesan melalui pengambilan sampel di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, keempat-empat kes itu telah menaiki pesawat komersil dari Kuala Lumpur dan berdasarkan maklumat diperoleh, dua kes tinggal di Selangor dan dua kes lagi di Johor.

Kesemua kes itu telah ditempatkan di pusat kuarantin setiba mereka di Kota Kinabalu dan  dimasukkan ke wad Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan selanjutnya pada 18 Mei.

Kes terbaru di Tuaran pula adalah seorang pesakit yang dirujuk oleh Hospital Tuaran dan disahkan positif Covid-19 semasa dimasukkan di Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan

lanjut.

Manakala kes terbaru di Kinabatangan merupakan kontak serumah kepada kes positif sebelum ini. Kes ini telah dimasukkan ke hospital berpakar terdekat untuk rawatan.

*  Kerajaan Sabah memperuntukkan RM2.7 juta bagi menampung sebahagian kos  penerbangan pulang pelajar Sabah yang sebelum ini ditangguhkan.

Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob berkata Ketua Menteri dan kerajaan Sabah mengambil berat kebajikan pelajar dan berusaha mengatur perjalanan pulang mereka ke Sabah.

Pelajar Sabah menjalani persampelan COVID-19 terlebih dahulu sebelum pulang.

Pelajar dengan keputusan ujian COVID-19 negatif dibenarkan meneruskan baki tempoh kuarantin di rumah masing-masing. Keputusan itu adalah jalan terbaik bagi mengatasi masalah kekurangan dan kesesakan pusat kuarantin di Sabah.

Penerbangan membawa pelajar balik ke Sabah beroperasi semula mulai hari ini dengan empat penerbangan dari Kuala Lumpur dan Sarawak yang akan membawa balik seramai 1,027 pelajar.

Esok, empat penerbangan lagi akan membawa seramai 906 orang pelajar sementara penerbangan seterusnya dijadualkan pada 27 Mei sehingga 5 Jun.

* Majlis Fatwa Negeri Sabah membenarkan solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid dan surau terpilih bermula 22 Mei ini namun, solat sunat hari raya Aidilfitri masih perlu dilakukan di rumah masing-masing.

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, berkata kebenaran solat berjemaah hanya diberikan kepada ahli jawatankuasa, AJK masjid dan surau dengan bilangan ahli jemaah tidak melebihi empat orang, kecuali bagi solat Jumaat yang dihadkan kepada 12 orang.

Datuk Bungsu yang juga Pengerusi Majlis Fatwa Negeri Sabah berkata, keputusan itu dibuat dalam muzakarah khas Majlis Fatwa  Sabah bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, JHEAINS pada 11 Mei lalu.

Beliau berkata, kebenaran solat berjemaah ini termasuk mendirikan solat sunat tarawih dan digalakkan dilaksana dengan lapan rakaat sahaja dan selebihnya dilaksana di rumah masing-masing.

Namun, Datuk Bungsu menegaskan, warga emas berusia lebih 70 tahun tidak dibenarkan ke surau atau masjid.

* Kementerian Pembangunan Infrastruktur memperuntukkan RM3.5 juta untuk membaiki dengan segera kerosakan saluran paip pembentungan dan mendapan tanah di Kilometer 7.5 Jalan Inanam, untuk keselamatan pengguna jalan raya.

Menterinya, Datuk Peter Anthony yang meninjau lokasi berkenaan semalam berkata mendapan tanah yang menghalang satu lorong di jalan itu berlaku susulan hujan lebat sejak tiga hari lepas dan keadaan saluran paip pembentungan yang didapati sudah terlalu uzur dan rosak

Sementara itu, Datuk Peter berkata, kementeriannya akan menggunakan kaedah terkini bagi menyelesaikan masalah pembentungan termasuk menggantikan saluran paip baharu di kawasan terjejas di Inanam.

* Menjelang Syawal tidak lama lagi, suasana membeli belah persiapan raya di Kota Kinabalu agak suram dan tidak semeriah berbanding tahun-tahun sebelumnya dek kerana Covid-19.

Tahun ini tiada bazar raya mahupun bazar Ramadan lantaran negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Bukan itu sahaja, selama beberapa minggu, solat jemaah tidak dibenarkan di masjid dan surau termasuklah solat sunat tarawih dan tiada ‘balik kampung’.

Tinjauan BTtv di Segama, Kota KInabalu yang lazimnya menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli belah persiapan raya mendapati, suasana kali ini begitu berbeza.

* Kumpulan 60 ekor gajah Borneo yang menceroboh ladang peneroka di Felda Sahabat 2, Tungku, Lahad Datu sejak minggu lalu, menyebabkan kemusnahan lebih 7,500 pokok kelapa sawit yang diusahakan peneroka di tanah rancangan itu dengan kerugian kira kira RM700,000.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar Sabah, Lahad Datu, Silvester Saimin berkata kerosakan dijangka meningkat jika tidak ditangani dan usaha mengusir gajah perlu dilakukan.

Menurut Silvester, terdapat tiga kumpulan gajah dikenali kumpulan Pelita, Cenderawasih dan Tungku yang habitat semulajadinya di Hutan Rizab Hidupan Liar Tabin yang menceroboh ladang peneroka pada waktu malam kerana terletak berhampiran selain mahu mencari sumber makanan.

* Akibat kesempitan hidup, sepasang suami isteri warga emas menjadikan tempat pembuangan sampah di Jalan Damai, Tawau, sebagai rumah sejak empat tahun lalu.

Kediaman usang Amil Bala, 70-an, dan isterinya Jurrah Abdul Halim, 62 tahun, yang menanti masa untuk rebah menyembah bumi, dibina di persekitaran kotor, tular di laman sosial Facebook dan ramai yang tampil menjenguk keperitan hidup  pasangan ini.

* Pengorbanan petugas barisan hadapan memerangi pandemik Covid-19 di negeri ini, tidak dilupakan.

Pasangan penyanyi Velvet Aduk dan Richael Gimbang mencipta lagu “Dunia Baru” untuk menghargai golongan berkenaan yang bertungkus lumus membendung penularan virus itu di mana sahaja mereka berada termasuk di hospital dan sekatan jalan raya.

Lagu itu juga diharap dapat memberi keyakinan kepada orang ramai untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu kehidupan.