Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 20 March 2021

Bersama Hikma Juni.

* Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Richard Lind, 98 tahun, yang memainkan peranan penting di sebalik monumen Batu Sumpah Keningau berkaitan pembentukan Malaysia pada 1963, meninggal dunia di kediamannya di Signal Hill, tengahari tadi.

Lind yang ketika itu Pegawai Daerah Keningau, memainkan peranan signifikan sehingga Batu Sumpah Keningau yang menandakan penerimaan dan taat setia penduduk orang asal di pedalaman Sabah kepada Malaysia, dapat didirikan.

* Keyakinan rakyat harus dipulihkan segera bagi memastikan UMNO terus relevan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15, PRU 15 akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata UMNO perlu terus diperkasa sebagai sebuah parti yang memberi perlindungan dan juga payung kepada bangsa Melayu serta bumiputera demi mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada parti itu.

Beliau berkata, parti itu tidak harus dilihat sebagai sebuah parti yang eksklusif hanya untuk menguatkan individu tertentu memandangkan kekuatan parti itu terletak atas dasar sokongan akar umbi.

* Seramai 787 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri, DUN Pitas dan Bengkoka menerima Bantuan Prihatin Nasional 2.0, hari ini.

Mereka diberikan bantuan secara tunai bagi penerima pedalaman Sabah yang tidak mempunyai akaun bank.

Bantuan disampaikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga ADUN Bengkoka, Harun Durabi di Mini Dewan Pejabat Daerah Pitas.

Menurutnya, sebanyak 18 daerah atau lokasi penyerahan bersepadu dilaksanakan bermula Februari sehingga 31 Mac ini, melibatkan 22,671 penerima tiada akaun bank.

* Selepas lebih dua minggu mencatatkan kes di bawah dua angka, kes positif baharu Covid-19 di Sabah kembali melonjak dengan 102 kes dilaporkan hari ini berbanding 33 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 54, 209 kes.

Satu kes kematian dilaporkan di Sabah hari ini iaitu di Kota Kinabalu.

Tiada kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata Keningau mencatatkan peningkatan mendadak dengan 71 kes dilaporkan di daerah itu hari ini.

Berikutan perkembangan itu, kerajaan negeri memutuskan pasar, pasar malam dan tamu di seluruh daerah Keningau tidak dibenarkan beroperasi berkuat kuasa esok.

Setakat hari ini, secara kumulatif 40, 799 orang telah menerima suntikan vaksin dos pertama di Sabah.

* Seorang ketua jabatan di sebuah jabatan kerajaan negeri di Keningau, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM Sabah kerana disyaki meminta rasuah berbentuk perkhidmatan seks daripada seorang wanita.

Lelaki berusia 51 tahun itu ditahan di sebuah hotel, di Keningau, kira-kira 3.30 petang semalam.

* Polis Penampang menahan dua individu yang didapati memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan, dalam Op Mabuk, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Mohd Haris Ibrahim memaklumkan, 23 saman atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 50 buah kenderaan.

Operasi itu dilaksanakan di kedua-dua arah Jalan Penampang-Kota Kinabalu berhadapan SMK Bahang, Penampang bermula tengah malam semalam hingga awal pagi tadi.

20th March 2021.