Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 20 June 2020

Bersama Hikma Juni.

* Keliru dengan keadaan jalanraya yang sedang dalam pembinaan dan ciri keselamatan yang tidak mencukupi seperti kekurangan papan tanda isyarat dan lampu jalan  menyebabkan Jalan Lama Papar – Kota Kinabalu khususnya di kilometer 16 sehingga 22, menjadi laluan maut kepada pengguna jalan raya.

Jalanraya itu adalah sebahagian projek Lebuh Raya Pan Borneo yang masih dalam pembinaan.

Sejak Februari lalu, 8 maut termasuk dalam satu kemalangan ngeri semalam.

2 Februari lalu, tiga lelaki terkorban manakala tiga lagi cedera parah selepas 2 kenderaan pacuan empat roda bertembung di kilometer 19 laluan berkenaan.

Semalam, tiga orang termasuk dua wanita maut manakala dua lagi cedera parah apabila sebuah kereta Honda Civic bertembung dengan sebuah lori tiga tan di Kilometer 22, jalan berkenaan.

Pagi tadi, satu lagi kemalangan berlaku, namun tidak menyebabkan kematian.

Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan menggesa pihak berwajib bertindak segera sebelum lebih banyak nyawa melayang.

* Daerah Kota Kinabalu yang mencatatkan kes Covid-19 kedua tertinggi di Sabah dengan 63 kes, akhirnya menjadi zon hijau apabila kes terakhir dilaporkan pulih hari ini.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata terdapat satu kes baharu dilaporkan di Tuaran hari ini menjadikan bilangan kumulatif kes di Tuaran kini 27 kes dengan dua kes aktif.

Dengan pertambahan satu kes baharu itu, bilangan kumulatif kes Covid-19 di Sabah adalah 363 kes.

Tiga kes pulih dilaporkan hari ini, 2 di Tuaran dan 1 di Kota Kinabalu.

Kes kematian kekal tujuh.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Chritina Rundi berkata sejumlah 70,722 Orang telah selesai menjalani kuarantin di negeri ini.

Hanya tinggal 1,907 orang sahaja lagi individu di Sabah yang masih menjalani perintah kuarantin di rumah dan di 15 pusat kuarantin sehingga semalam.

* Sementara itu Sabah terus  menerima sumbangan peralatan perubatan untuk menjalankan ujian sampel Covid-19.

Semalam, Temasek Foundation, Singapura tampil buat kali kedua menyumbang peralatan perubatan bernilai RM750,000 yang membolehkan 10 ribu lagi ujian sampel Covid-19 dilakukan di Sabah.

* Naib Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Junz Wong menyelar tindakan pemimpin Sabah di Putrajaya yang bersetuju dengan pemberian IMM13 ke atas warga asing di negeri ini.

Empat dekad lalu pemimpin-pemimpin ini berjuang menyatakan masalah pendatang asing tanpa izin, PATI bermula dengan pemberian IMM13.

Kini, semua pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku, STAR, Parti Bersatu Sabah PBS, Parti Bersatu Rakyat Sabah PBRS dan Perikatan Nasional PN bersetuju pemberian IMM13 adalah penyelesaian terbaik.

Junz berkata “Sandiwara kamu paling hebat…permulaan masalah PATI kamu katakan solusi terbaik”.

* Pandangan pemimpin PBS dan STAR yang tidak konsisten berkaitan isu rakyat asing di Sabah termasuk cadangan terbaru kerajaan PN untuk menyeragamkan dokumen rakyat asing kepada hanya IMM13, dikecam.

PBS dan STAR pada mulanya adalah penentang gagasan kerajaan Parti Warisan Sabah untuk menyelaras dokumen-dokumen yang pernah dikeluarkan iaitu IMM13, Kad Burung Burung dan Sijil Banci untuk mengawal selia pemegang dokumen itu supaya tidak mendatangkan mudarat sosial dan keselamatan di negeri ini.

Namun pemimpin PBS dan STAR telah membuat pusingan 180 darjah apabila tiba-tiba sahaja menyokong sepenuhnya rancangan untuk melaksanakan pemberian IMM13 menggantikan Kad Burung-Burung dan Sijil Banci sepertimana diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, 14 Jun lalu.

PBS adalah antara yang cepat memberikan sokongan.

* Bekas Pengarah Tugas-Tugas Khas Parti Keadilan Rakyat, PKR Sabah Datuk Nani Sakam sudahpun bertindak keluar parti sebanyak tiga kali sejak April 2018.

Sehubungan itu tindakan Nani mendakwa ribuan ahli PKR keluar parti, Jumaat lalu adalah retorik politik semata mata.

Pengarah Komunikasi PKR Sabah Adam Fistival Wilfrid berkata taktik sedemikian pernah digunakan sebelum ini.

Adam berkata ketua-ketua cabang PKR Sabah tetap  berdiri teguh dan menyokong

kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Christina Liew, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri.

ia sebagai tanda solidariti bahawa KEADILAN Sabah kekal kukuh dan mendapat sokongan rakyat Sabah.

* Tiga daerah di Sabah iaitu Kinabatangan, Ranau dan Tambunan  yang menunjukkan pencapaian imunisasi vaksin polio bOPV yang mencecah 90 peratus dipilih untuk memulakan pemberian vaksin dos seterusnya, mOPV atau monovalent Oral Polio Vaccine bermula 17 Jun melalui Kempen Imunisasi Polio Sabah.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, liputan imunisasi bOPV bagi dos pertama pada ketika ini sudah mencapai 82.08 peratus.

Perkembangan itu memberi keyakinan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah untuk mencapai 95 peratus imunisasi menjelang pertengahan Julai.