Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 20 Februari 2021

Bersama Hikma Juni.

* Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Bernard Liew Chau Min berkata pada 2016, kerajaan negeri memutuskan pengambilan semua tanah bagi tujuan pembangunan oleh persekutuan perlu dilakukan melalui permohonan tanah negeri dan tidak diberikan geran tanah. Sebaliknya tanah itu diwartakan mengikut Seksyen 28 Ordinan Tanah Sabah Bab 68.

Maka, tanah itu kekal di bawah kerajaan Sabah. Pampasan akan dibayar sepenuhnya oleh agensi persekutuan dimana mereka memiliki pegangan pajakan 99 tahun ke atas tanah tersebut.

Agensi persekutuan perlu membayar premium dan cukai tanah tahunan seperti pemilik tanah yang lain.

Penyerahan geran tanah kepada agensi kerajaan bertujuan untuk membina kemudahan awam seperti sekolah, hospital, balai polis dan pejabat pos untuk manfaat rakyat.

Beliau membuat penjelasan itu berikutan pelbagai dakwaan dilemparkan mengenai penyerahan 177 geran tanah oleh kerajaan negeri kepada agensi persekutuan membabitkan kawasan tanah seluas 519.44 hektar atau 1,283.57 ekar.

* Petroliam Nasional Bhd, Petronas menganugerahkan Blok SB405 di luar pesisir pantai Sabah, kepada ConocoPhillips East Malaysia Ltd, COPEM yang juga anak syarikat ConocoPhillips dan Petronas Carigali Sdn Bhd, PCSB.

Dalam satu kenyataan, Petronas berkata langkah itu dijangka dapat memacu aktiviti penerokaan di luar pantai Sabah berikutan pembukaan lebih banyak peluang pelaburan blok di negara ini.

Kontrak Pengeluaran Bersama, PSC tersebut telah ditandatangani oleh Petronas, PCSB dan COPEM, semalam.

Menurut Petronas, COPEM adalah pengendali bagi Blok SB405 PSC dengan kepentingan penyertaan sebanyak 85 peratus manakala baki 15 peratus dipegang oleh PCSB.

* Kerajaan negeri merancang untuk mewujudkan Yayasan Pendidikan Islam bagi memperkasa pendidikan Islam di Sabah.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Mohd Arifin Mohd Arif meminta agensi agama negeri termasuklah Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah untuk memperincikan maklumat bagi merealisasikan penubuhan yayasan itu.

Sabah juga akan mengadakan perbincangan dan meneliti model dari negeri-negeri lain untuk digabungkan bagi penubuhan Yayasan Pendidikan Islam Sabah.

* Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bercadang memperkenalkan undang-undang khusus berkaitan benih dan baja dalam usaha mengawal selia bahan berkenaan.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata cadangan itu antara beberapa perkara yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah, semalam.

Perkara lain yang dibincangkan ialah mengenai pengeluaran padi dan beras, pelaburan dalam industri ruminan serta mewujudkan agensi seperti Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia di Sabah.

* Dalam perkembangan lain, Ronald yang juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, BERSATU berkata semua parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah, GRS mahupun Perikatan Nasional, PN berhak menyuarakan pandangan mengenai bilangan kerusi yang mahu ditandingi dalam Pilihan Raya Umum PRU akan datang.

Namun, pada akhirnya perkara itu akan dibincangkan secara bersama bagi mencapai kata sepakat demi memastikan kemenangan PN dan GRS dalam PRU ke-15.

* Kes positif baharu di Sabah meningkat dengan 109 kes dilaporkan hari ini berbanding 101 kes semalam menjadikan jumlah kumulatif kini 51, 979 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata 1 kes kematian dilaporkan hari ini iaitu di Hospital Queen Elizabeth, Kota KInabalu melibatkan seorang lelaki berusia 81 tahun.

Satu kluster baharu turut dilaporkan hari ini iaitu Kluster Jalan Pasar di Kota Belud dengan 13 kes kumulatif.

Kluster ini melibatkan kontak keluarga dan sosial pekerja-pekerja sebuah pasar di Kota Belud.

13 daerah di Sabah tidak mencatatkan sebarang kes positif baharu hari ini.

* Sebanyak RM150,000 diperuntukkan bagi membina laluan batu kelikir di Blok 6 dan 7 di Kampung Titingan, Tawau untuk keselesaan serta keselamatan penduduk kampung .

Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata laluan itu bagi menggantikan dua jambatan usang yang digunakan penduduk merentas kawasan paya di kampung berkenaan.

* Sabah FC bakal diperkuatkan lagi dengan kehadiran dua pemain import dari Afrika dan Eropah bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini.

Persatuan Bola Sepak Sabah, Sabah FA dalam laman Facebook memaklumkan pemain kebangsaan Gabon Levy Clement Madinda, 28, dan Risto Mitrevski, 29, dari Macedonia Utara menjadi pilihan pengurusan bagi memperkukuh pasukan Sabah FC.

20th February 2021.