Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 20 Februari 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah masih belum menerima maklumat berhubung keputusan ujian makmal sepasang suami isteri yang ditahan di Lapangan Terbang Labuan, malam Selasa lalu kerana disyaki mempunyai tanda jangkitan Covid-19.

* Seramai 813 orang daripada 475 isi rumah di luar bandar akan mendapat faedah daripada pengeluaran geran tanah individu menggantikan geran komunal Tatalaan Dua, di Nabawan.

Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Mashor Mohd Jaini dalam satu kenyataan berkata Syarikat Brilliant Junction Sdn Bhd telah dilantik sebagai pemaju melalui pejabat Setiausaha Hasil Bumi pada 23 November 2018 bagi tujuan pembersihan dan pengambilan sisa-sisa kayu untuk mempercepatkan kerja-kerja pengukuran lot-lot individu bagi pengeluaran

geran individu.

Dalam proses menjalankan kerja-kerja pembersihan, terdapat pokok-pokok yang mempunyai nilai komersil yang boleh dipasarkan bagi menampung kos pembangunan dan pengukuran yang disyaratkan kepada pemaju.

Selain itu, laporan dan kelulusan kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar, EIA telah diperolehi dari Jabatan Perlindungan Alam Sekitar sebagai antara prasyarat kelulusan lesen bertarikh 19 Julai tahun lalu.

Kerja-kerja pembangunan sentiasa dipantau oleh Jabatan Perhutanan Sabah melalui  Pejabat Perhutanan Daerah Nabawan serta Jabatan Perlindungan Alam Sekitar dan agensi penguatkuasa yang berkaitan, untuk memastikan tiada perlanggaran undang-undang dan syarat-syarat yang berkuatkuasa.

* Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji  Mohd. Shafie bin Haji  Apdal hadir memberi sokongan kepada para peserta dalam  Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu, malam tadi.

* Nanas mempunyai potensi dan pasaran yang amat baik sekiranya jenis benih yang ditanam sesuai dan mengikut prosedur yang betul. Atas sebab itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mengambil inisiatif mendapatkan bantuan Penasihat Pertanian Negara, Datuk Yap Yun Fook untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuannya. Menterinya, Datuk Junz Wong berkata langkah menjadikan Ladang Nanas Keningau Diamond Evergreen Eco Agriculture sebagai ladang contoh akan membantu lebih banyak petani di luar bandar menghasilkan tanaman nanas yang berkualiti dan memenuhi kehendak pasaran. Bagaimanapun, petani perlu menanam nanas mengikut Prosedur Operasi Tetap, SOP  agar hasil keluaran mencapai piawaian  pasaran.

* Selain durian Musang King dan nanas, lada hitam akan diperkenalkan  sebagai pertanian bukan komoditi di kawasan Mini Estate Sejahtera, MESEJ bermula tahun ini. Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick berkata, penanaman lada hitam akan mula diusahakan di Mesej Angalor di Kemabong di kawasan  tanah seluas 100 ekar bersama sama durian Musang King, nanas dan sayur-sayuran. Langkah itu membantu masyarakat luar bandar memperoleh pendapatan yang lebih konsisten memandangkan harga kelapa sawit dan getah yang tidak menentu ketika ini.

Datuk Ewon berkata selepas Mesej Angalor di Kemabong, penanaman produk pertanian berkenaan akan diperluaskan ke Mesej Lahad Datu, tahun ini.

* Sebanyak 50 menara telekomunikasi akan dibina di seluruh Sabah dalam fasa pertama projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara, NFCP 1 yang bermula awal bulan ini. Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, SKMM Sabah dan Labuan, Roslan Mohamad berkata kesemua menara telekomunikasi berkenaan dijangka beroperasi awal tahun depan. Dalam pada itu, pemberian dekoder myFreeview secara percuma di Sabah dilihat mampu membantu masyarakat memperoleh maklumat khususnya berkaitan isu semasa. Penerima, Apnah Zainudin, 69, berkata sejak menggunakan myFreeview hampir setahun lalu beliau sekeluarga tiada mengalami sebarang masalah dalam mendapatkan infomasi semasa, malah ia sama seperti saluran berbayar. myFreeview menyediakankan 14 saluran secara percuma dan ia termasuklah program disaluran TV1, TV2 dan TV3.

* Seorang anggota polis dikenal pasti dan disiasat selepas dipercayai menggari dan  mengambil gambar seorang kanak-kanak lelaki Palauh sambil memegang pistol mainan dan menularkannya, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, tindakan tegas akan diambil ke atas anggota tersebut memandangkan kelakuannya salah apatah lagi membabitkan seorang  kanak-kanak.

* Proses penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin, PATI diteruskan dengan pengusiran 587 orang warganegara Filipina  ke negara asal mereka, semalam.

*  Sebuah lori membawa muatan kayu balak, terbabas sebelum terbalik di Batu 7, Jalan Kalabakan-Sapulut, petang semalam, menyebabkan pemandunya cedera ringan.