Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 20 Disember 2020

Bersama Hikma Juni.

* Kes positif baharu Covid-19 di Sabah menurun sedikit dengan 196 kes dilaporkan hari ini berbanding 199 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 34, 478 kes.

Dua kes kematian dilaporkan di Sabah hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian di negeri ini meningkat kepada 251 kes.

Kes kematian itu dilaporkan di Hospital Tawau dan Hospital Duchess of Kent Sandakan, membabitkan dua pesakit lelaki masing-masing berusia 78 dan 77 tahun.

Daerah Kudat bertukar dari zon merah ke zon jingga manakala daerah Ranau bertukar dari zon kuning ke zon jingga.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata Sabah mencatatkan satu kluster baharu hari ini iaitu Kluster Estate Maju di Kota Kinabalu yang merekodkan 28 kes positif setakat ini.

Kluster ini dikesan melalui saringan kontak rapat dan saringan pekerjaan di sebuah kilang pemprosesan makanan haiwan.

Katanya, 266 pesakit di Sabah telah sembuh hari ini manakala 1,925 pesakit sedang menjalani rawatan.

* Kerajaan Sabah akan bekerjasama erat dengan China dalam usaha memulihkan semula ekonomi serta merombak sektor pertanian di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, Sabah perlu membangunkan semula ekonomi negeri ini selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, memandangkan China berada jauh di hadapan dari segi penggunaan teknologi, Sabah harus memanfaatkan hubungan erat Sabah-China dalam usaha membangunkan sektor pertanian di negeri ini.

* Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin berkata, karya seni di Pillars of Sabah di Kota Kinabalu mampu menjadi tarikan kepada pelancong yang berkunjung ke pusat bandaraya ini.

Sementara itu, Jaffry berkata Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar akan merangka pelan pemulihan jangka pendek dan panjang bagi memacu kembali pembangunan sektor pelancongan di Sabah yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

* Rakyat di negeri ini diingatkan untuk tidak memandang remeh prosedur operasi standard, SOP dalam membendung penularan wabak Covid-19.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim berkata, rakyat harus mengambil iktibar keadaan yang berlaku hingga menyebabkan kes di Sabah meningkat mendadak.

* Tujuh individu termasuk sepasang suami isteri warga emas berusia 80 dan 70 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah sekitar daerah Semporna pada Khamis.

Pasukan keselamatan merampas sejumlah 139.82 gram dadah jenis syabu susulan serbuan ke atas dua rumah tidak bernombor di Kampung Batu, Semporna.

20th December 2020.