Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 2 Februari 2020

Bersama Hikma Juni.

* Misi bantuan kemanusiaan untuk membawa pulang 108 rakyat Malaysia yang terkandas di Wuhan, China berikutan penularan wabak Novel Coronavirus, dijadualkan esok, tertakluk kepada kelulusan kerajaan China.

* Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal,  yakin industri pelancongan Sabah tidak akan lumpuh dengan keputusan menggantung buat sementara, semua penerbangan dari China ke Sabah. Katanya industri pelancongan Sabah masih berada dalam keadaan stabil dan sebagai alternatif, kerajaan turut berusaha mempromosikan sektor pelancongan negeri ke Eropah bagi menarik kehadiran pelancong dari beberapa negara di benua itu untuk berkunjung ke Sabah.

* Kerajaan Sabah maju selangkah ke hadapan apabila memperkenalkan portal Electronic Planning Permission, ePP yang boleh meluluskan pelan pembangunan dalam tempoh 24 jam. Ketua Menteri berkata, ePP akan mengelakkan projek terbengkalai, rasuah serta mengurangkan kos urustadbir dan bahan binaan berpunca tempoh menunggu terlalu lama sehingga bertahun tahun, ada kalanya  boleh menjangkau sehingga 10 tahun akibat karenah birokrasi. ePP menggantikan Lembaga Pusat Perancang Bandar dan Desa atau Central Board yang dimansuhkan dan banyak menerima rungutan pelabur dan pemaju sebelum ini kerana sukar mendapatkan kelulusan pembangunan selain tempoh menunggu terlalu lama. Melalui ePP, pemaju hanya perlu memuatnaik pelan pembangunan berserta kelulusan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) ke dalam sistem itu dan hanya  menunggu selama 24 jam untuk mendapatkan kelulusan.

ePP akan diperluaskan ke Sandakan dan Tawau menjelang Jun ini. Sistem itu dibangunkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri.

* Kemudahan infrastruktur dan tenaga pengajar yang berkebolehan mengajar dalam Bahasa Inggeris, antara dua perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu, sebelum pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, PPSMI, dilaksanakan kata Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob.

* Parti Keadilan Rakyat, PKR akan terus memberi sokongan kepada Parti Warisan Sabah sekali gus membangunkan negeri ini bersama sama, kata presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

* Sebuah helikopter Bell 206 L3, milik Sabah Air Aviation Sdn Bhd  terhempas di daerah Marudi dekat Miri, petang kelmarin. Juruterbang Kapten Mohd Dom Wahab dan pembantunya, Kapten Muhd Amirul Asyra, hanya cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar di Hospital Marudi dan telah dibenarkan keluar, 11:15 malam tadi. Ketika kejadian, helikopter dengan nombor pendaftaran 9M AZK itu tidak membawa penumpang selepas menurunkan tiga pegawai Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, JUPEM dari Lapangan Terbang Marudi ke Base Camp JUPEM. Sabah Air dalam satu kenyataan berkata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, CAAM dan Biro Siasatan Kemalangan Udara, AAIB, Kementerian Pengangkutan telah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan akan melakukan siasatan.

* Perairan negara yang luas terus dieksploitasi untuk pelbagai kegiatan yang menyalahi undang undang. Di Lahad Datu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berjaya menggagalkan satu cubaan menyeludup rokok bernilai lebih RM20,000 di perairan Telukan, pagi kelmarin.