Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 2 Disember 2019

80

Bersama Salbinous Saribun.

* Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Datuk Seri Anifah Aman bagi menyemak semula keputusan Mahkamah Pilihan Raya Sabah yang menolak kemenangannya bagi kerusi Parlimen Kimanis dalam Pilihan Raya Umum ke-14, tahun lalu. Dengan penolakan rayuan itu, kerusi Parlimen Kimanis akan dikosongkan dan Pilihan Raya Kecil perlu diadakan.

* Sementara itu, Parti Warisan Sabah menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan itu. Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto S Padua Jr berkata, keputusan ini bukanlah sesuatu yang perlu dimegahkan. Namun ia adalah satu peringatan kepada ahli-ahli parti bahawa sudah tiba masanya untuk membuktikan bahawa sokongan rakyat terhadap Warisan sejak pilihanraya umum yang lalu dapat direalisasikan

* Di Nagoya, Jepun, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal mencadangkan syarikat automotif terkemuka Jepun, Toyota Motor Corporation, Toyota, agar membuka kilang pemasangan komponen kenderaan keluarannya di Sabah. Langkah tersebut bakal mengukuhkan pasaran Toyota di Borneo memandangkan ibu negara Indonesia akan berpindah ke Kalimantan Timur. Manakala Sabah akan menerima manfaat peluang pekerjaan kepada rakyatnya serta limpahan ekonomi.

* Datuk Seri Mohd. Shafie memberikan ucaptama dan mengadakan sesi soal jawab selama lebih sejam dalam seminar yang dihadiri 142 ahli perniagaan dan pelabur dari Jepun di Nagoya. Ketika menjawab satu soalan dikemukakan ahli perniagaan yang hadir, Ketua Menteri berkata, antara sektor yang menjadi pilihan Sabah untuk bekerjasama dengan syarikat dari Jepun adalah penghasilan perabot kerana negeri itu mempunyai sumber kayu-kayan yang cukup. Ketua Menteri turut berjanji kerajaan Sabah akan memberikan segala kemudahan termasuk mempercepatkan kelulusan dalam tempoh 24 jam kepada mana-mana syarikat Jepun yang melabur di Sabah asalkan mereka telah menepati syarat-syarat ditetapkan termasuk Laporan  Impak Penilaian Alam Sekitar,  EIA.

* Sarawak masih menunggu kenyataan pembelaan Petronas berhubung saman yang difailkan terhadap syarikat petroleum negara itu. Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali mengakui kelewatan Petronas berbuat demikian menyulitkan proses penyelesaian kes berkenaan.

* Kementerian Belia dan Sukan akan menganjurkan lebih banyak program dialog atau sesi Townhall khususnya di kawasan luar bandar bagi mengenal pasti permasalahan yang dihadapi anak-anak muda di kawasan berkenaan. Menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata penganjuran sesi dialog bersama anak muda di kawasan masing-masing dapat memastikan permasalahan yang dihadapi di kawasan berkenaan benar-benar difahami.

* Dan menyentuh mengenai anak muda, ini perkembangan yang membimbangkan. Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata  golongan muda  berusia antara 20 hingga 29 tahun adalah paling ramai dijangkiti virus HIV di negeri ini. Sabah berada dalam senarai 5 negeri tertinggi bilangan kes HIV dan Aids di malaysia.

* Usaha membentuk anak muda menjadi pemimpin yang berkaliber di masa hadapan diteruskan menerusi Majlis Perwakilan Kanak-Kanak atau MPKK negeri Sabah sebagai platform kepada pelajar untuk membentuk jatidiri dalam perjalanan menjadi insan yang cemerlang dalam pelbagai bidang kelak.

* Tragedi menimpa seorang kanak kanak di Tawau. Amir Ramli, 7 tahun, maut dirempuh sebuah van di jalan Apas, 5 petang semalam.

* Sekumpulan nelayan melepaskan seekor ikan jerung paus atau nama saintifiknya, Rhincodon typus yang terbelit dengan tali. Kejadian dipercayai berlaku di perairan Bintulu, Sarawak, kelmarin.