Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 1st May 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* 24 pelajar Sabah yang terkandas di Semenanjung Malaysia dan Indonesia akibat PKP, selamat tiba di Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, kira kira 11.30 pagi tadi, dengan  menaiki penerbangan ihsan menggunakan pesawat Airbus A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia, TUDM.

* Kedutaan Malaysia di Kaherah mengesahkan kesemua 325 pelajar universiti  dari Sabah di Mesir, selamat dan tidak dijangkiti Covid-19.

Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar berkata, mesyuarat kabinet negeri juga memutuskan agar pelajar-pelajar Sabah di Mesir, kekal berada di universiti masing-masing demi keselamatan dan juga kerana mereka akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi.

Datuk Aidi berkata kos penerbangan akan ditanggung oleh pelajar itu sendiri sekiranya mereka berhasrat  balik ke Sabah.

Kerajaan negeri dan MUIS hanya menyediakan dana untuk pemberian bantuan makanan kepada pelajar-pelajar Sabah di negara Afrika Utara itu.

* Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB akan dilaksanakan membabitkan kebenaran pembukaan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial bermula 4 Mei depan.

Beliau  berkata hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan di Malaysia akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun, semua perniagaan berbentuk hiburan seperti panggung wayang, karaoke, pusat hiburan, kelab malam dan taman tema serta perniagaan yang melibatkan orang ramai antaranya bazar Ramadan, pusat refleksologi dan karnival jualan masih tidak dibenarkan beroperasi.

Aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai seperti sukan bola sepak, ragbi dan renang turut tidak dibenarkan.

Perdana Menteri turut mengingatkan masyarakat agar tidak memandang enteng dan mengambil mudah kebenaran yang diberikan.

Masyarakat perlu terus berwaspada dengan mengamalkan penjarakan sosial, sering membasuh tangan, memakai penutup hidung dan mulut di tempat awam dan segera berjumpa doktor jika bergejala.

* Sepanjang Ramadan ini, ramai peniaga kecil-kecilan yang biasanya berniaga makanan di bazar mengambil inisiatif mengambil tempahan atas talian sebelum dihantar kepada pelanggan di kediaman masing-masing.

Bagaimanapun, segelintir daripada mereka mengeluh kerana ada yang gagal menghantar makanan apabila diarah berpatah balik ketika melalui sekatan jalan raya memandangkan sebelum ini hanya syarikat penghantaran makanan berdaftar seperti Food Panda dan Grab Food sahaja yang dibenarkan.

Keadaan tersebut menyebabkan segelintir peniaga terputus punca pendapatan dan meminta  kerajaan untuk membantu mereka sepanjang PKP.

Keresahan dan keluhan golongan berkenaan akhirnya mendapat perhatian kerajaan.

Kerajaan Sabah semalam membuat keputusan membenarkan khidmat penghantar persendirian setiap hari bagi tujuan penghantaran secara tunai atau cash on delivery,  COD untuk makanan mentah, makanan siap dimasak, hasil tani, tong gas dan ubat-ubatan sahaja dari 6 pagi hingga 6 petang.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata kerajaan negeri juga bersetuju membenarkan kedai komputer, telefon bimbit, kedai fotostat dan kedai alat tulis beroperasi agar pelajar-pelajar mendapat bahan peralatan dan alat tulis bagi tujuan pembelajaran secara atas talian dan sebagainya, bermula 8 pagi hingga 5 petang pada setiap Selasa, Khamis dan Sabtu .

Kedai yang menjual peralatan keagamaan turut dibenarkan beroperasi pada waktu dan hari yang sama.

Pihak berkuasa tempatan akan mengenal pasti kedai yang dibenarkan beroperasi.

* Kes positif Covid-19 di Sabah kekal 315, apabila tiada kes baharu dilaporkan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata

47 peratus kes positif COVID-19 di Sabah adalah kontak kepada kes positif tidak bergejala pada peringkat awal jangkitan.

12 peratus daripada kes positif COVID-19 di Sabah adalah pelajar.

Sehubungan itu, Datuk Dr Christina berkata semua pelajar  yang pulang setelah terkandas di universiti masing-masing perlu menjalani kuarantin sebelum dibenarkan kembali ke pangkuan keluarga, untuk mengelakkan penularan COVID-19.

Dalam konteks ini, beliau memohon kerjasama ibu bapa untuk memahami prosedur kuarantin 14 hari yang dikenakan ke atas pelajar sebelum mereka dibenarkan pulang ke rumah masing masing.

Ini kerana pergerakan pulang pelajar dalam jumah yang besar boleh mendatangkan risiko jangkitan kepada golongan yang mudah dijangkiti seperti kanak-kanak, warga emas, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit kronik kerana sistem imun yang lemah.

Golongan mudah dijangkiti ini adalah masyarakat yang berbeza dengan komuniti kampus yang rata-rata terdiri daripada golongan muda yang mempunyai sistem pertahanan badan yang baik katanya.

* Sebuah organisasi kerajaan, Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah, MPMS mengambil inisiatif mengutip dana sebanyak RM180,000 untuk meringankan beban golongan terjejas akibat PKP yang disalurkan kepada  Persatuan Bulan Sabit Merah, PBSM Sabah.

* Polis menahan 11 lelaki termasuk seorang pelajar tahfiz  kerana ingkar PKP dengan menunaikan solat sunat tarawih berjemaah di sebuah  surau di Kampung Binsuluk, Membakut, petang malam semalam kata Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abdul Razak.