Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 1st July 2020

Bersama Reetasha Joanes Mijol.

* Kerajaan Sabah akan merombak pengurusan Universiti Kolej Yayasan Sabah, UCSF bagi memastikan institusi pendidikan itu dapat ditadbir urus dengan lebih baik.

Langkah ini diambil susulan tindakan pengurusan UCSF yang difahamkan akan memotong 50 peratus gaji pekerja berikutan keadaan ekonomi yang mencabar akibat wabak Covid-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata, beliau telah meminta permasalahan di UCSF itu diselesaikan secepatnya.

* Kerajaan Sabah membenarkan semua perjalanan masuk pekerja warga asing dari China yang mempunyai permit kerja sahaja ke negeri ini sama ada melalui udara dan laut.

Bagaimanapun, pekerja asing dari China dikehendaki untuk melakukan ujian calitan Covid-19 di tempat masing-masing dalam tempoh tiga hari sebelum masuk ke Sabah dan disahkan bebas daripada Covid-19.

Ketua Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, kebenaran itu berkuatkuasa serta-merta dan tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard, SOP Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, peraturan-peraturan Jabatan Imigresen Malaysia dan pihak berwajib yang sedang berkuatkuasa.

* Ketua Menteri telah mengarahkan pihak berkuasa  seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menyediakan bot di kawasan berisiko banjir bagi memudahkan kerja menyelamat mangsa dilakukan pada setiap masa.

Sehingga 4 petang tadi, 36 mangsa banjir masih ditempatkan di 1 pusat pemindahan sementara di Dewan Masyarakat Tun Said, Kota Belud.

11 daerah terjejas akibat banjir di Sabah, Sabtu lalu iaitu di Kota Belud, Beaufort, Papar, Penampang, Tenom, Kota Marudu, Keningau, Pitas, Membakut, Putatan dan Tuaran.

* Di Beaufort, masalah perparitan menjadi antara faktor banjir kilat, Sabtu lalu.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, sistem saliran yang tidak efisien menyebabkan air tersekat sehingga melambatkan proses penurunan air banjir di beberapa kawasan daerah ini.

* Ketua Menteri yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata beliau akan bercakap mengenai isu bersesuaian dengan kepentingan negara dan rakyat dalam persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan bermula 13 Julai ini.

* Pasar Umum Sandakan ditutup sementara selama tujuh hari bagi membolehkan kerja sanitasi dan nyahkuman dilakukan susulan kes positif Covid-19 yang dikesan di pasar itu.

Pegawai Kesihatan Sandakan, Sundusin Nganro berkata, penutupan itu melibatkan kesemua tiga aras bangunan pasar itu.

* Sabah mencatatkan kehadiran 80 peratus daripada 1,291 murid pra sekolah kerajaan dan swasta yang memulakan sesi pembelajaran hari ini di seluruh negeri.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Dr Mistrine Radin berkata sesi pembelajaran juga berjalan lancar dengan semua guru serta petugas berkaitan pra sekolah, mematuhi prosedur operasi standard, SOP yang ditetapkan.

18 prasekolah di Papar, Kota Belud, Beaufort dan Tenom, belum beroperasi akibat banjir.

* Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB Sabah membina tiga buah bengkel keusahawanan desa di Kuala Penyu bagi melahirkan lebih ramai usahawan kecil luar bandar.

Bengkel berkenaan ialah menjahit pakaian tradisi, pemprosesan makanan berasaskan sagu dan  anyaman kraftangan rumbia.