Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 1st August 2020

Bersama Hikma Juni.

* ADUN Moyog, Jenifer Lasimbang berkata bukti yang ada padanya mengenai dua lelaki yang memintanya melompat parti telah diserahkan kepada polis.

Beliau meminta polis menghubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM untuk tindakan selanjutnya.

Tegasnya, laporan polis yang dibuatnya sebelum ini sudah cukup kerana membabitkan unsur jenayah.

* DAP Sabah akan memberi keutamaan kepada penyandang sedia ada untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri kerana mereka tidak dapat menghabiskan khidmat sepanjang satu penggal.

Setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin berkata muka lama yang dikekalkan itu adalah untuk membolehkan kesinambungan pembangunan di kawasan mereka demi manfaat rakyat di kawasan itu.

* DAP Sabah menyifatkan tindakan ADUN dilantik, Ronnie Loh yang melompat parti bagi menyokong Tan Sri Musa Aman, sebagai satu pengkhianatan besar khususnya kepada mendiang Datuk Stephen Wong.

* PKR Sabah akan lebih berhati-hati dalam memilih calon agar tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN lompat parti seperti berlaku baru-baru ini tidak berulang.

Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew menegaskan beberapa faktor akan dinilai sebelum memutuskan siapa calon yang bakal dipilih, termasuk latar belakang mereka secara menyeluruh.

Beliau kesal kerana kepercayaan yang diberikan kepada ADUN Inanam, Kenny Chua dibalas dengan tindakan lompat parti dan berpaling tadah menyokong Tan Sri Musa Aman.

Christina juga kesal kerana mengesyorkan Jaffari William sebagai ADUN dilantik.

* Parti Warisan Sabah membidas tanggapan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman bahawa mengadakan Pilihan Raya Negeri hanya membazir dan tidak selamat.

Bendahari Agung Warisan, Terrence Siambun mempersoalkan apa yang cuba disampaikan oleh ADUN Sungai Sibuga itu kerana semua tindakan politik ini diatur oleh Musa untuk menggulingkan kerajaan negeri dengan sokongan daripada wakil rakyat yang tidak boleh dipercayai.

Keadaan itu memaksa Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal bertindak membubarkan dewan undangan negeri.

Musa katanya hanya mahu menjatuhkan kerajaan negeri sahaja, ketika Datuk Seri Mohd Shafie berdepan dengan banyak isu yang perlu ditangani seperti wabak COVID-19, banjir dan pemulihan ekonomi.

Sehubungan itu Terrence berkata, dengan pembubaran DUN itu, biarlah rakyat Sabah memutuskan sendiri siapa yang harus diberikan mandat untuk mentadbir negeri ini.

* Belumpun ada rundingan mengenai soal pengagihan kerusi, dua parti dari Malaya, awal-awal lagi sudah menuntut kerusi untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri Sabah.

Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia hari ini menyatakan hasrat mereka untuk meletakkan calon dalam pilihan raya negeri yang akan datang, yang berkemungkinan menyebabkan pertembungan antara Umno dan Bersatu di Sabah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengatakan bahawa parti itu telah mengenal pasti 45 daripada 73 kerusi untuk ditandingi calon Bersatu.

Sementara itu, Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyatakan partinya akan mempertahankan semua 32 kerusi DUN yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke 14 lalu selain bersedia meletakkan calon di beberapa kerusi baharu pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

32 kerusi itu termasuk di lapan kawasan DUN yang diwakili oleh wakil rakyat Umno yang telah menyertai Bersatu.

* Akibat silap percaturan politik, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Sugut, Datuk James Ratib seolah olah telah mengangkat bendera putih berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah.

Dalam keterangan gambar yang dimasukkan di laman Facebook dipercayai miliknya iaitu YB Datuk James Ratib, beliau memberi bayangan untuk tidak akan mempertahankan kerusi itu dalam Pilihan Raya Negeri Sabah kelak.

“Selamat tinggal politik, berebutlah kamu jadi YB (Yang Berhormat),” katanya dalam gambar berkenaan.

1st August 2020.