Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 1st April 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Tunggu di rumah, bantuan akan sampai.  Ya, memang bantuan akan sampai tetapi tidak semua tahu kesengsaraan yang terpaksa ditempuh oleh jentera Parti Warisan Sabah yang telah dilantik bagi memastikan bantuan disediakan sampai di pintu rumah setiap golongan sasar.

Berjalan kaki sejauh lima kilometer melalui denai yang becak, mendaki bukit serta menuruni gaung sambil memikul barangan adalah antara cabaran yang terpaksa dihadapi setiap ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, MPKK untuk sampai ke beberapa buah kampung di Dewan Undangan Negeri Moyog.

Bagaimanapun, demi memastikan penduduk di situ mendapat bantuan yang disediakan, amanah yang diberikan parti dipikul dengan penuh tanggungjawab, malah tiada keluhan sebaliknya hanya kepuasan yang terpancar di wajah masing-masing apabila sampai ke destinasi.

* Bermula dari Tenom, Nabawan, Keningau, Tambunan sehingga ke Papar,

misi menghantar bantuan kepada masyarakat terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan, PKP diteruskan untuk memastikan tiada yang tercicir.

Semalam, penduduk Kota Marudu menerima bantuan berkenaan berupa barangan keperluan seharian yang disampaikan Menteri Pembangunan Infrastruktur merangkap naib presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Peter Anthony.

Di Kota Marudu, SMK Tandek II turut dijadikan pusat kuarantin untuk daerah itu.

Pemasangan paip dan keperluan asas lain telah diluluskan dibawah seliaan Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Air Sabah.

Sumbangan wang turut diberikan kepada sukarelawan Warisan yang bertungkus lumus siang dan malam membantu menjayakan misi kemanusiaan, untuk manfaat penduduk.

* Sebanyak 3,000 pakej bekalan keperluan harian telah pun diagih-agihkan di kawasan Parlimen Sepanggar sejak Perintah Kawalan Pergerakan, PKP berkuat kuasa, sehingga semalam.

Semalam, 500 isi rumah yang memerlukan di kawasan itu menerima bantuan pakej makanan yang disampaikan Parti Warisan Sabah Bahagian Sepanggar.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata hari ini sebanyak 1,500 pakej lagi  diedarkan untuk memastikan setiap keluarga menerima manfaat bantuan daripada kerajaan.

Bantuan disampaikan secara berperingkat-peringkat yang mana bekalan makanan dihantar dari rumah ke rumah bagi mengurangkan pergerakan rakyat khususnya di sekitar Parlimen Sepanggar.

Dalam satu kenyataan semalam, Datuk Mohd Azis berkata bantuan berkenaan disalurkan kepada mereka yang telah mengisi dan menghantar maklumat isi rumah ke pejabat Pusat Khidmat Parlimen Sepanggar.

Beliau berkata, bagi yang layak dan masih belum menerima bantuan bekalan makanan, mereka masih boleh menghantar maklumat mengenai isi rumah masing-masing sama ada melalui kiriman Whatspp kepada pegawai di pusat khidmat atau mengisi borang atas talian yang telah di sediakan.

* Seperti juga petugas kesihatan dan perkhidmatan penting yang lain,  media juga terpaksa berdepan risiko ketika keluar mencari bahan berita terkini berkaitan wabak Covid-19 untuk tatapan umum.

Sebagai menghargai pengorbanan mereka , Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah, SEDCO, menyumbangkan bantuan makanan kepada petugas media yang terpaksa keluar bekerja ketika PKP.

Sumbangan disampaikan Pengurus Besar SEDCO, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir.

* Polis menangkap 15 individu di dua masjid di Sandakan kerana dipercayai menunaikan solat secara berjemaah ketika Perintah Kawalan Pergerakan, PKP.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata mereka di bawa ke Balai Polis Sandakan untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Jika sabit kesalahan, mahkamah  boleh menjatuhkan hukuman denda 1,000 ringgit atau penjara sehingga 6 bulan atau kedua duanya sekali.

Sementara itu, satu lagi lokasi sekatan jalan raya di Sandakan ditambah, menjadikannya lima lokasi bagi mengawal pergerakan dan memastikan orang ramai mematuhi arahan PKP.

* Di Membakut, seorang lelaki bukannya duduk diam di rumah, malah mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan PKP, untuk keluar memburu hidupan luar menggunakan senapang buatan sendiri atau Bakakuk, malam tadi.

Keseronokannya memburu berakhir di lokap apabila ditahan anggota polis yang menjalankan rondaan PKP di kawasan Perkuburan Taman Firdaus Kampung Madang Pimping, jam 11.30 malam semalam.

* Disebalik kesibukan tugas menjalankan operasi Op Covid-19 di seluruh Sabah, kebajikan anggota Pasukan Polis Marin, PPM tidak sedikit pun diabaikan.

Semalam, PPM dengan bantuan Pasukan Gerakan Udara melakukan penerbangan ehsan membawa anggota PPM Semporna yang baru selesai menjalani rawatan pembedahan usus besar di Hospital Tawau ke Kota Kinabalu.

Penerbangan ehsan menggunakan pesawat Cessna Caravan CE208 itu membawa Konstabel Samri Ghani, 28, yang bertugas di PPM Semporna untuk dihantar pulang ke kampung halamannya di Kampung Inunam, Beaufort.