Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 19th April 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Pakej Bantuan Covid-19 Sabah.

Kerajaan Sabah akan terus mendekati semua lapisan masyarakat yang layak agar mereka tidak tercicir daripada mendapat bantuan berkenaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata, banyak lagi yang perlu dilakukan dan Kerajaan Sabah tidak boleh bergantung kepada pangkalan data e-Kasih kerana masih ada masyarakat miskin yang tidak tersenarai.

Kerajaan tidak boleh menunggu sehingga kajian dilakukan bagi mendapatkan jumlah sebenar golongan yang layak menerima bantuan.

Atas sebab itu, kerajaan negeri melalui Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat, UPPM dan Pejabat Daerah akan mendekati rakyat yang tidak tersenarai dalam e-Kasih agar mana-mana individu yang layak akan mendapat bantuan.

Tambahnya, peruntukan RM670 juta yang diumumkan dalam Pakej Bantuan Covid-19 Sabah itu bukanlah jumlah keseluruhan.

Peruntukan sejumlah RM53  juta turut digunakan bagi membantu rakyat dari golongan anak yatim, warga tua, miskin tegar serta pelajar Sabah yang berada di dalam dan luar negara.

Ketua Menteri berkata demikian dalam temubual bersama Astro Awani, semalam.

*  Ketua Menteri juga meminta Kerajaan Persekutuan memaklumkan lebih awal sekiranya ada pelajar Sabah dari luar negara yang ingin pulang, bagi memudahkan proses penempatan di pusat kuarantin kerana keupayaan kemudahan kesihatan di negeri ini agak terbatas.

Datuk Seri Mohd Shafie

menjelaskan kerajaan negeri tidak menghalang penduduk Sabah terutamanya dari Indonesia untuk pulang ke kampung masing-masing tetapi wajib menjalani kuarantin di pusat yang disediakan.

* Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata 14,414 permohonan bagi pembayaran Bantuan Covid-19 secara “one-off” berjumlah RM300 seorang kepada rakyat Sabah di Semenanjung Malaysia telah diproses dan telah dikemukakan ke Pejabat Perhubungan Negeri Sabah di Kuala Lumpur.

Kerajaan negeri melalui Pusat Arahan Covid-19 Sabah turut memaklumkan sebanyak 11,347 permohonan telah dibayar dan dikreditkan ke akaun bank masing-masing.

Manakala, 35 permohonan di bayar secara tunai. Sebanyak 1,606 pemohonan ditolak kerana tidak memenuhi syarat B40.

Sejumlah 1,426 pemohonan masih diproses kerana nombor akaun bank tidak lengkap dan tidak aktif.

* Tiga kes baharu positif Covid-19 yang dilaporkan di Lahad Datu dan satu kes di Sandakan semalam merupakan kes sporadik, iaitu kes yang tidak diketahui asal usul dan punca jangkitan.

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah turut menafikan sampel tertunggak di negeri ini mencecah 256,346 seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan.

Oleh itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah berharap akhbar berkenaan bersikap lebih bertanggungjawab dan tidak memanipulasi data untuk tujuan mensensasikan isu Covid-19.

Laporan tidak tepat itu hanya mengelirukan dan  menimbulkan kegusaran masyarakat.

* Majlis Daerah Penampang mempertahankan kabin nyah kuman yang sebelum ini ditempatkan di Pasar Awam Donggongon sebagai percubaan, meskipun Kementerian Kesihatan memaklumkan tiada bukti penggunaan peralatan itu berkesan dalam membendung penularan Covid-19.

Kini, Majlis Daerah Penampang mengadakan usahasama dengan sebuah syarikat produk pembersihan, Extra Well Sdn. Bhd. bagi mencari bahan atau campuran lebih baik untuk digunakan pada kabin disinfeksi berkenaan sekaligus lebih berkesan untuk memerangi COVID-19.

Buat masa ini, kabin disinfeksi itu tidak akan dibuka kepada umum sehingga mendapat lampu hijau Kementerian Kesihatan.

* Pasukan Polis Marin, PPM Wilayah 4 Sabah menggerakkan 170 pegawai dan anggota serta 11 botronda untuk menguat kuasakan fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan, PKP di perairan Lahad Datu, Kunak dan Semporna.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, aset berkenaan diatur gerak untuk membuat pemantauan 24 jam di perairan itu.

* Bukan hanya manusia yang menerima impak penguatkuasaan PKP, malahan juga hidupan liar terlindung.

Di Ranau, Orang Utan mula mendekati kawasan pelancongan di Mata Air Panas Poring ekoran ketiadaan pelancong.

Kehadiran spesies itu disedari melalui kewujudan sarang bersaiz 70 hingga 80 sentimeter  di sebatang pokok pada ketinggian 10 meter berhampiran titian kanopi substesen mata air panas itu.