Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 19 September 2020

Bersama Hikma Juni.

* Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal menjelaskan setiap rakyat Malaysia yang layak mengundi tidak boleh dihalang daripada menunaikan tanggungjawab itu walaupun dalam keadaan kurang sihat.

Ketua Menteri berkata, berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR perlu menyediakan prosedur operasi standard, SOP yang terbaik sekiranya ada mana-mana individu yang dijangkiti Covid-19 mahu mengundi pada 26 September depan.

SPR diminta menyediakan ruang untuk membolehkan pesakit mengundi di pusat kuarantin dengan mematuhi SOP ketat.

* Datuk Seri Mohd Shafie akan melihat keperluan untuk menetapkan 26 September ini sebagai cuti umum bagi memudahkan orang ramai keluar mengundi pada PRN Sabah ke 16.

* Ketika berucap dalam Majlis Bersama Rakyat di Bongawan, Datuk Seri Mohd. Shafie berkata PRN Sabah ke 16 adalah peluang untuk rakyat Sabah menamatkan segala kemungkaran Persekutuan terhadap Perjanjian Malaysia 1963, MA63.

Tegasnya, Malaysia tidak akan wujud sampai bila-bila tanpa Sabah dan Sarawak tetapi Persekutuan tidak pernah mengiktiraf perkara itu apabila hak-hak negeri ini terus dirampas.

Katanya, jika parti-parti Malaya diberi peluang sekali lagi mentadbir Sabah, maka hasil-hasil bumi yang ada akan terus dihantar ke Semenanjung menyebabkan negeri ini kekal mundur sampai bila-bila.

Presiden Parti Warisan Sabah, Warisan itu berkata pemimpin parti Malaya dan Kerajaan Persekutuan tidak harus dibiarkan untuk terus menikmati 95 peratus daripada hasil minyak Sabah, manakala hanya 5 peratus diserahkan kepada negeri ini.

* Datuk Seri Mohd. Shafie menjelaskan Pakej Bantuan Covid-19 Sabah yang dilancarkan sebelum ini adalah bantuan khas yang ditujukan kepada golongan sasar.

Katanya, bantuan tunai ‘one off’ RM300 dan RM500 hanya diberikan kepada mereka yang berdaftar dengan e-kasih, namun bantuan beras adalah untuk semua. Datuk Seri Mohd. Shafie berkata beliau akan memastikan bantuan Covid-19 termasuk makanan diteruskan bagi memastikan tidak ada golongan yang tercicir.

* ‘Saya tidak takut dengan bayang siapa-siapa pun’.

Itu jawapan ringkas Datuk SerI Mohd Shafie ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Tan Sri Musa Aman yang mengatakan Presiden Parti Warisan Sabah itu seolah-olah takut dengan bayang-bayangnya.

* Selain sasaran untuk mencapai kemenangan bagi menyumbang kerusi pembentukan kerajaan Warisan Plus, calon Warisan DUN Bongawan, Dr. Daud Yusof mempunyai misi lain iaitu mematikan terus karier politik Datuk Seri Anifah Aman.

Anifah yang juga bekas Menteri Luar, kini mengambil alih kepimpinan Parti Cinta Sabah, PCS untuk kembali ke dalam arena politik dengan misi utama menjadi Ketua Menteri, meneruskan legasi keluarga Aman untuk menguasai Sabah.

Justeru, PRN Sabah ini adalah peluang kepada pengundi Bongawan bukan sahaja untuk memberikan kemenangan kepada Warisan tetapi juga untuk menamatkan secara mutlak karier politik Anifah.

* Dalam kesibukan berkempen, Datuk Seri Mohd Shafie sempat meluangkan masa menziarahi keluarga arwah Dali Ag Yusof yang baru meninggal dunia, petang tadi.

* Parti Bersatu Sabah, PBS akhirnya menyertai PAS dengan gabungan Parti Perikatan Nasional, PN setelah menandatangani perjanjian kerjasama dengan pemimpin PN di Tamparuli, semalam.

Bagi pemerhati politik, PBS nampaknya mudah lupa bagaimana penghinaan pemimpin Pas terhadap masyarakat Kristian. Sebelum ini, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Nik Mohammad Zawawi Salleh pernah mendakwa bahawa alkitab agama Kristian telah dipesongkan.

Kenyataaan itu bukan sahaja menimbulkan kemarahan kepada masyarakat Kristian tetapi juga kepada masyarakat Islam di Sabah kerana pengaruh yang dibawa oleh PAS mampu menggugatkan keharmonian dan perpaduan yang sedia ada di negeri ini.

* Kenyataan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, bahawa UMNO sudah berubah tidak boleh dipercayai kata pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang . Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, jika UMNO sudah berubah, sudah pasti parti itu berjuang untuk semua rakyat Malaysia dan tidak tertumpu pada satu kaum saja.

“Bagaimanakah rakyat mahu percaya yang UMNO telah berubah, sedangkan UMNO, termasuklah UMNO Sabah, masih terpersona dengan mentaliti ‘Cash is King’ sehingga mereka semua terpanggil dengan seruan kempen ‘Malu Apa Bossku’,” katanya. “Saya inginkan katakan kepada Bung Moktar, jangan anggap semua orang bodoh,” tegasnya.

Sementara itu, calon Warisan Plus DUN Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung, berkata Sabahan tidak perlu sehaluan dengan kerajaan Persekutuan untuk tetap bersatu dan maju ke hadapan. Katanya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin silap apabila menyatakan Sabah menjadi lebih gemilang jika dipimpin oleh parti yang sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.

* Calon Parti Warisan Sabah, N 13 Pantai Dalit, Rakam Sijim mahu membangunkan ekonomi masyarakat nelayan di Teluk Mengkabong, Tuaran yang kaya dengan sumber laut, secara lebih terancang agar penduduknya memperoleh manfaat.

Rakam berkata sebelum pembubaran DUN, pihaknya telah merangka rancangan untuk membangunkan penternakan hidupan laut seperti tiram, ketam dan ikan di Teluk Mengkabong agar penduduk di situ tidak perlu berhijrah ke tempat lain untuk mencari rezeki.

19 September 2020.