Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 19 October 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* 3 kes kematian dan 643 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini.

Kes kematian itu dilaporkan di Hospital Tawau, Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan Hospital Duchess of Kent., Sandakan, melibatkan 2 lelaki dan seorang wanita berusia antara 52 hingga 85 tahun.

Tambahan kes kematian itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Sabah meningkat kepada 64 kes.

Daripada 643 kes positif baharu di Sabah hari ini, 183 kes adalah dari kluster-kluster sedia ada, 343 kes dari saringan kontak rapat dan 117 kes dari lain-lain saringan COVID-19.

Mengambil kira perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Sabah termasuk kluster baharu di Penjara Kepayan yang merekodkan pertambahan kes positif, kerajaan menerusi mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara, MKN memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan PKPD di Penjara Kepayan dan kuarters kakitangan penjara di Kg Matambai, Kota Kinabalu mulai 21 Oktober sehingga 3 November.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD itu melibatkan seramai 3,511 orang terdiri 2,914 banduan dan 597 kakitangan penjara Kepayan.

* Dalam sidang media harian perkembangan Covid-19 di Sabah, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata Kota Kinabalu mencatatkan 253 kes positif baharu hari ini dan hampir separuh daripadanya adalah dari kluster Penjara Kepayan dengan 135 kes.

Tambahan 253 kes baharu itu menjadikan keseluruhan kes positif Covid-19 di Kota Kinabalu meningkat kepada 1,243 kes.

19 daerah di Sabah mencatatkan pertambahan kes positif baharu manakala 3 daerah tidak mencatatkan sebarang kes baharu.

Datuk Seri Masidi berkata bekalan makanan di Sabah adalah mencukupi dan orang ramai tidak perlu melakukan pembelian panik.

Katanya bantuan bakul makanan terus diagihkan dan akan diperluaskan kepada golongan memerlukan.

Aktiviti sukan dan rekreasi di Sabah, masih tidak dibenarkan.

Katanya, ketika ini Sabah belum sampai ke tahap Total Lockdown.

Setiap keputusan yang diambil berkaitan pengurusan kes Covid-19 di Sabah harus dilakukan dengan berhati-hati dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

* Pesakit Covid-19 yang berada pada tahap tiga dan ke atas sahaja akan ditempatkan di wad-wad hospital susulan bilangan pesakit yang ramai pada ketika ini.

Bagi pesakit berisiko rendah pada tahap satu dan dua, mereka akan ditempatkan di pusat rawatan di luar yang telah dikenalpasti di seluruh Sabah.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, penilaian perlu dibuat ke atas pesakit bagi menentukan tempat rawatan bersesuaian.

Atas sebab itu, pengurusan kemasukan pesakit mungkin mengambil sedikit masa disebabkan bilangan pesakit yang ramai.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah akan berusaha untuk memastikan pengurusan pesakit bagi tujuan penilaian dan kemasukan ke pusat rawatan atau wad hospital berjalan lancar.

* Hujan lebat tanpa henti beserta angin kencang mengakibatkan kejadian pokok tumbang dan banjir kilat di beberapa  kawasan di sekitar Tuaran pagi tadi.

Antara kawasan terjejas ialah Kampung Bunga, Kg. Suang Bangau, Kg. Napitas, Kg. Minajur Suromboton, Kg. Rani dan Kg. Linsuk di Tenghilan.

Turut ditenggelami air, pekan Tenghilan.

19 October 2020.