Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 19 November 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Kes positif baharu Covid-19 di Sabah kembali meningkat hari ini.

2 kes kematian dan 660 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini, berbanding 387 kes positif baharu semalam.

Daerah Sandakan mencatatkan kes tertinggi hari ini dengan 316 kes. 218 kes adalah daripada Kluster Penjara Sandakan.

Dengan pertambahan 660 kes positif baharu hari ini, jumlah kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan di Sabah meningkat kepada 24, 929 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes kematian itu dilaporkan di Hospital Lahad Datu membabitkan seorang wanita rakyat asing berusia 47 tahun.

Satu lagi kes kematian dilaporkan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan, membabitkan seorang wanita berusia 29 tahun.

Jumlah kumulatif kes kematian di Sabah kini 183 kes.

Sementara itu, seramai 118 petugas dan 326 banduan di Penjara Labuan disahkan negatif COVID-19, kata Pengarah Pusat Koreksional Labuan Abd Rauf Lang Pasih.

Beliau berkata ujian saringan ke atas semua petugas dijalankan dua minggu lepas manakala banduan pula menjalani ujian pada Rabu.

* Barisan Nasional Sabah menyambut baik keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayattuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen  Batu Sapi, sekali gus membatalkan dan menangguhkan tarikh Pilihan Raya Kecil, PRK kerusi tersebut yang sepatutnya diadakan pada 5 Disember ke tarikh lain.

Pengerusinya Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata keputusan proaktif baginda ini bertujuan untuk melindungi rakyat Sabah khususnya di kawasan Parlimen Batu Sapi dari ancaman Covid-19.

Beliau berkata perkenan Yang di-Pertuan Agong itu dilakukan dengan mengambil iktibar dan pengalaman daripada Pilihan Raya Negeri, PRN Sabah yang menjadi faktor utama gelombang ketiga penularan Covid-19 di Malaysia.

Sementara itu, Parti Warisan Sabah berharap kerajaan Persekutuan dapat mencari jalan terbaik agar hak rakyat Batu Sapi memilih wakil rakyat ditunaikan selepas tempoh pelaksanaan darurat berakhir kelak.

Presiden WARISAN, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Bin Haji Apdal berkata keputusan itu adalah tanda prihatin baginda terhadap rakyat Sabah khususnya di Batu Sapi.

Shafie turut berkata berharap kerajaan dapat mencari jalan bagi memastikan satu tarikh tertentu dapat ditetapkan untuk memaklumkan rakyat Batu Sapi tempoh darurat akan berakhir.

* Kampung Numbak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, PKPD berkuat kuasa 16 November lalu selama 14 hari sehingga 29 November ini, membabitkan 5,700 penduduk.

Tinjauan bersama Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan siang tadi mendapati penduduk Kampung Numbak patuh kepada pelaksanaan PKPD termasuk di kawasan perairan.

Katanya Jika dilihat tiada pergerakan perahu dan kapal di kawasan perkampungan ini.

* Usaha meringankan bebanan petugas barisan hadapan diteruskan dengan menyumbangkan set peralatan perlindungan diri, PPE.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan menyerahkan sumbangan set PPE daripada Kementerian Pertahanan itu kepada pusat kuarantin di Hospital Tentera Laut DiRaja Malaysia, Sepanggar, Politeknik Kota Kinabalu, Kampus INTAN Sabah, Pusat Latihan RELA Sabah, IKM Kota Kinabalu, Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah, Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Queen Elizabeth II.

* Kerajaan bersetuju pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan dan tanah besar Sabah dilaksanakan secara Inisiatif Pembiayaan Swasta PFI, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata kementeriannya dan Kementerian Kerja Raya dalam proses memuktamadkan terma-terma rujukan untuk melaksanakan proses Permohonan Cadangan, RFP yang dijangka dapat dikemukakan kepada syarikat berminat sebelum penghujung tahun ini.

19th November 2020.