Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 19 Mei 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Setelah 2 hari berturut-turut tanpa sebarang kes, Sabah mencatatkan 6 kes baharu Covid-19  hari ini.

4 kes direkodkan di Kota Kinabalu, manakala masing-masing satu kes di Tuaran dan Kinabatangan.

Ini menjadikan jumlah kumulatif Covid-19 di Sabah meningkat kepada 337 kes setakat ini.

* Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal mengarahkan semua 300 individu termasuk 34 kanak kanak dan 13 bayi yang dikuarantin di Pusat Kuarantin Program Perumahan Rakyat, PPR Bubul Ria, Semporna agar dipindahkan ke hotel berdekatan yang lebih selesa.

Tindakan pantas Ketua Menteri yang juga Ahli Parlimen Semporna selepas mendengar keluhan mengenai kekurangan kemudahan di PPR Bubul Ria, memberi kelegaan kepada mereka yang dikuarantin di PPR itu.

.

Setiausaha Bahagian Parti Warisan Sabah, Semporna, Husman Mastal berkata, arahan serta-merta yang diberikan Ketua Menteri itu jelas membuktikan keprihatinannya terhadap masalah rakyat di peringkat akar umbi.

Atas dasar tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat, Ketua Menteri mengarahkan kesemua individu termasuk kanak-kanak dan bayi di Pusat Kuarantin PPR Bubul dipindahkan ke Seafest Hotel semalam.

* Jangan samakan pusat kuarantin dengan rumah sendiri atau hotel.

Itu ingatan Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi kepada orang ramai.

Beliau memaklumkan perkara itu susulan terdapat pelbagai aduan di media sosial mengenai keadaan pusat kuarantin di negeri ini.

Dalam satu kenyataan, Datuk Dr Christina berkata pusat kuarantin yang disediakan di Sabah bukanlah dibina khas sebagai pusat kuarantin dan tidak sepatutnya disamakan dengan rumah sendiri atau hotel.

Kebanyakan pusat kuarantin adalah asrama sekolah, tempat tinggal guru pelatih, rumah rehat kerajaan atau rumah Program Perumahan Rakyat, PPR.

Jelasnya, semua pihak yang terlibat dalam pengurusan di pusat kuarantin telah mengambil maklum mengenai aduan-aduan tersebut dan berusaha membuat penambahbaikan.

* Mengulas lanjut isu itu, Datuk Dr Christina berkata pelbagai aduan berkaitan ketidakselesaan di pusat kuarantin antara perkara yang mengganggu kelancaran tugas Jabatan Kesihatan Negeri Sabah untuk  melaksanakan tugas yang jauh lebih penting seperti melakukan siasatan dan menganalisa penularan wabak itu di Sabah.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang ditempatkan di pusat kuarantin supaya melihat keperluan menjalani kuarantin daripada sudut pandangan yang lebih luas dan bukannya berpaksikan kepada ketidakselesaan individu semata-mata.

Menurutnya, setiap individu perlu bermuhasabah diri dan bertanya apakah sumbangan mereka dalam membantu membendung penularan wabak Covid-19.

* Universiti Malaysia Sabah, UMS menghasilkan  Ruang Persampelan Covid mudah alih dengan kos RM20,000 seunit yang disumbangkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

Reka bentuk ruangan itu yang kedap udara, membolehkan petugas kesihatan untuk mengambil sampel daripada orang ramai dengan menggunakan peralatan perlindungan diri, PPE yang minima.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata kemudahan ini adalah yang pertama dihasilkan UMS dan pihaknya merancang untuk membina empat lagi ruangan persampelan mudah alih untuk digunakan di universiti itu dan diedarkan ke tempat lain.

Katanya adalah menjadi tanggungjawab UMS untuk menghasilkan ruangan sedemikian bagi membantu usaha kerajaan memerangi penularan wabak Covid-19 di negara ini.

* Pergerakan lebih 1,000 pelajar UMS yang masih berada di kampus akan diselesaikan sebelum Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, pelajar akan dihantar pulang ke daerah masing-masing setelah selesai menjalani ujian saringan Covid-19.

Setakat semalam, kluster IPT Sabah merekodkan lima kes termasuk tiga pelajar UMS dan dua kes pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris yang baru pulang ke Sabah dari Semenanjung Malaysia.

* Semua 2, 232 pelajar Kolej Matrikulasi Labuan akhirnya kembali ke kampung halaman masing-masing di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Kumpulan terakhir 154 pelajar menaiki lapan bas ke Tawau, Sabah melalui Terminal Feri Labuan, pagi semalam.

Penghantaran pulang pelajar-pelajar yang terkandas untuk pulang ke rumah masing-masing adalah hasil usaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan, Kementerian Pendidikan dan polis Labuan sejak 2 Mei lalu.

Sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac lalu, Kolej Matrikulasi Labuan mempunyai jumlah pelajar paling ramai yang terkandas di pulau bebas cukai itu, diikuti Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan dengan 1,098 pelajar  dan Institut Latihan Perindustrian  dengan 39 pelajar.

* Ketua Menteri menerima kunjungan hormat daripada pasukan petugas khas negara di pejabat beliau, petang tadi,

Kunjungan berkenaan diketuai Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Yazid Arshad dan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

* Seorang jururawat masyarakat maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di Kampung Nukahan, KM28 Jalan Beaufort-Menumbok, semalam.

Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Azmir Abdul Razak berkata mangsa Siti Zaharah [email protected], 34 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Kuala Penyu.