Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 19 March 2021

Bersama Beverly Anastacia Lim.

* Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan Gua Gomantong, Sandakan yang ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP sejak 13 Januari lalu akan kembali menerima pengunjung apabila dibuka 1 April ini.

* Kes positif baharu Covid-19 di Sabah kembali menurun dengan 33 kes dilaporkan hari ini berbanding 73 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 54, 107 kes.

Tiada kes kematian dan kluster baharu dilaporkan di Sabah, hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata daripada 33 kes baharu hari ini, Keningau mencatatkan 8 kes positif berbanding 29 kes semalam.

19 daerah lagi tidak merekodkan sebarang kes baharu dalam tempoh 24 jam lalu.

Setakat hari ini, secara kumulatif 39, 359 orang telah menerima suntikan vaksin dos pertama di Sabah.

* Warga kerja Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, KPMKR perlu menerapkan proses pembelajaran sepanjang hayat untuk menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran dengan memberi penekanan kepada amalan nilai-nilai murni serta integriti yang tinggi.

Menterinya, Ir Shahelmey Yahya berkata menerusinya mereka akan mampu mencapai kecemerlangan, seterusnya memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Katanya, integriti dalam sesebuah kementerian boleh membawa visi kementerian jauh ke hadapan.

* Seramai 141 pasangan pengantin baharu di kawasan DUN Kuamut menerima insentif RM1,000 sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah bagi tempoh Jun 2018 sehingga Mac tahun ini.

Masiung berkata, sumbangan itu adalah manifestonya semasa Pilihan Raya Umum pada 2018.

Katanya sumbangan itu akan diteruskan sehingga pilihan raya negeri akan datang sebagai antara agenda domestik untuk anak-anak muda di kawasannya.

Selasa lalu, 20 pasangan pengantin baharu telah diraikan dalam satu majlis tradisi dan menerima insentif berkenaan iaitu masing-masing 10 pasangan di Tongod dan Penangah.

* Sebanyak 85 buah rumah haram yang dihuni warga asing telah dirobohkan dalam satu Operasi Bersepadu ‘Ops Roboh’, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, DBKK di Kampung Cenderakasih, Kolombong.

Tindakan itu dibuat kerana DBKK sering menerima aduan daripada penduduk sekitar mengenai masalah sosial dan jenayah seperti mencuri elektrik dan air, penyalahgunaan dadah jenis syabu dan judi di kawasan penempatan haram ini.

19th March 2021.