Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 19 June 2020

Bersama Norsarahana Zaki.

* Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menuntut bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman membayar balik RM872 juta wang Yayasan Sabah yang hilang ketika mentadbir negeri bermula Mac 2003 hingga Mei 2018.

Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah sebagai plaintif membuat tuntutan selepas mempercayai Musa telah menggunakan jawatannya untuk mengarahkan anak syarikat Yayasan Sabah, Rakyat Berjaya Sdn. Bhd. menjalankan perniagaan balak yang meragukan.

Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Jamalul Kiram Mohd. Zakaria berkata tuntutan mahkamah itu difailkan Selasa lalu menggunakan e-pemfailan melalui tetuan Lind Willie Wong & Chin.

Writ saman akan diserahkan kepada Musa sebagai defendan tunggal dalam tempoh terdekat

Berdasarkan writ saman tersebut, Yayasan Sabah membuat  11 tuntutan terhadap Musa iaitu:

a) membayar balik US$42 juta (RM178,920,000) wang milik Yayasan Sabah yang diberikan kepada UMNO Sabah

b) membayar balik US$90 juta (RM383,400,000) wang milik Yayasan Sabah yang hilang ketika pemerintahan Musa

c) membayar balik US$8.9 juta (RM37,914,000) wang milik Yayasan Sabah yang hilang ketika Musa mentadbir

d) membayar balik US$2 juta (RM8,520,000) wang milik Yayasan Sabah yang hilang disebabkan tindakan Musa melakukan pecah amanah

e) membayar balik RM263,460,962.30 wang milik plaintif yang hilang dan perlu dipertanggungjawabkan kepada Musa

f) membayar balik AUD17,258.85 (RM51,258.79) milik Yayasan Sabah yang dipindahkan oleh Musa kepada dua orang anak lelakinya

g) atas budi bicara mahkamah mengenakan faedah lima peratus setahun bagi semua tuntutan itu bermula dari tarikh kesalahan berlaku sehingga tarikh perbicaraan.

h) faedah berkanun lima peratus setahun bermula dari tarikh perbicaraan sehingga tarikh bayaran penuh tuntutan

i) semua tuntutan yang difikirkan bersesuaian oleh mahkamah

j) tuntutan-tuntutan lain

k) membayar kos mahkamah

* Satu pertemuan di antara AirAsia dan Kerajaan Sabah akan diadakan akhir bulan ini untuk merangka mekanisme menjadikan Sabah sebagai pusat lojistik rantau Asean.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Junz Wong berkata hab berkenaan memanfaatkan kedudukan Sabah yang strategik untuk membolehkan produk dihantar terus ke mana-mana destinasi di dunia selain memudahkan untuk memunggah muat dari tempat lain.

* Menjelang pembukaan semula sesi persekolahan yang dijangka tidak lama lagi, Menteri Belia dan Sukan  yang juga ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe menyampaikan sumbangan 38,950 pelitup muka daripada Kerajaan Sabah kepada 4 sekolah dan 2 Taman Didikan Kanak-Kanak, TADIKA di sekitar Luyang, hari ini.

Sumbangan itu dijangka memberi faedah kepada 8000 guru, kakitangan dan pelajar.

Phoong mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal atas sumbangan ini.

Ia satu daripada inisiatif Kerajaan Sabah untuk membantu rakyat negeri ini pasca Covid-19.

* Tiada kes positif baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini.

Bilangan kumulatif kes kekal 362.

Bilangan kumulatif kes sembuh juga kekal 346 dengan 9 kes masih dirawat dalam wad.

Semalam satu kes Covid-19 dikesan di daerah Penampang membabitkan seorang tahanan kes judi di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang.

Tahanan warga asing berusia 26 tahun itu  telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth Kota KInabalu untuk rawatan lanjut.

Penampang kini mempunyai 16 kes positif Covid-19.

* Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata penjenamaan semula parti itu telah menarik minat rakyat berbilang kaum di Sabah.

Menurutnya, parti itu mulai mendapat keahlian daripada pelbagai kaum termasuk Cina dan Bajau Samah.

Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah menerima 420 borang kemasukan ahli baru di Ibu Pejabat UPKO di Penampang, semalam.

Sebanyak 200 borang keahlian diterima daripada lima cawangan di Pusat Daerah Mengundi, PDM Mengkabong, Nongkolud, Penimbawan, Gayang dan PDM Baru-Baru di Tuaran.

* Pengorbanan dan kecekalan seorang pelajar perempuan Universiti Malaysia Sabah, UMS yang bermalam di atas pokok untuk mengakses liputan telekomunikasi bagi menjawab peperiksaan atas talian di Kampung Sapatalang, Pitas, nyata tidak sia sia.

Susulan video tular yang memperlihatkan kesungguhan Veveonah Mosibin, 18 tahun, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia SKMM telah turun padang dan melakukan pemeriksaan di kampung berkenaan pada 15 Jun.

SKMM dalam satu kenyataan memaklumkan sebuah menara telekomunikasi baharu dirancang untuk dibina di Kampung Bilangau Kecil, Pitas, untuk menambah baik liputan Internet di kawasan sekitarnya.

Menara baharu yang dicadangkan itu akan dibina berhampiran Kampung Sapatalang, dan dapat dioptimumkan untuk meningkatkan liputan Internet di kampung itu sebaik siap.

Menara itu akan dibina di bawah Pelan Gentian Optik Dan Kesalinghubungan Negara, NFCP 1, yang dijangka pada suku kedua tahun hadapan.

* Seorang wanita warga emas rentung dalam kebakaran sebuah rumah kayu di Kampung Namukon, Tongod, malam tadi.

Difahamkan, mangsa,  Yang Gimbo, 76 tahun, tinggal bersama beberapa ahli keluarga, namun tidak sempat menyelamatkan diri dalam kejadian 10 malam tadi.