Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 19 Februari 2021

Bersama Beverly Anastacia Lim.

* Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin hari ini mengumumkan sesi persekolahan bagi murid prasekolah, murid tahun satu dan tahun dua akan bermula pada 1 Mac.

Sesi persekolahan murid tahun tiga, empat, lima dan enam pula bermula 8 Mac.

Pelajar sekolah menengah akan memulakan sesi persekolahan pada 4 April ini bagi sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Manakala sekolah di negeri lain akan memulakan sesi persekolahan pada 5 April ini, selepas cuti pertengahan penggal.

* Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmey Yahya berkata, vaksin Covid-19 yang bakal diterima pada 26 Februari ini akan diberikan kepada petugas barisan hadapan, golongan berisiko seperti warga tua serta pemimpin dan wakil rakyat.

Beliau berkata, wakil rakyat yang sentiasa turun padang turut terdedah kepada risiko jangkitan yang tinggi, oleh itu adalah wajar untuk semua wakil rakyat menerima suntikan vaksin pada peringkat awal.

* Semua masjid dan surau di Sabah dibuka untuk solat berjemaah lima waktu dan solat Jumaat bermula hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata kebenaran itu selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB di negeri ini.

Sementara itu, kes positif baharu di Sabah menurun dengan 101 kes dilaporkan hari ini berbanding 114 kes semalam menjadikan jumlah kumulatif kini 51, 870 kes.

Tiada kes kematian dilaporkan di Sabah hari ini.

Satu kluster baharu dilaporkan iaitu Kluster Singgahmata di Lahad Datu dengan 11 kes kumulatif.

* Bakul makanan diagihkan kepada 2,654 ketua isi rumah yang terdiri daripada golongan B40 di kawasan Dewan Undangan Negeri, DUN Kundasang.

* Sekretariat Penyelidikan Jawatankuasa Pilihan Raya UMNO Sabah, JUARA masih menjalankan kajian mengenai bilangan sebenar kerusi yang akan ditandingi parti itu dalam Pilihan Raya Umum, PRU ke 15, akan datang.

Pengerusi JUARA, Ir Shahelmey Yahya berkata, kenyataan yang dibuat sebelum ini hanya merujuk kepada bilangan kerusi yang ditandingi UMNO semasa PRU-14.

* Petani di Sabah digesa memanfaatkan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia, MyGAP untuk menjana kualiti pertanian dan pemeliharaan alam sekitar yang lebih baik.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata skim yang disediakan oleh Jabatan Pertanian itu berjaya meletakkan petani Sabah antara yang paling ramai dalam senarai pensijilan myGAP di Malaysia.

MyGAP adalah penjenamaan semula bagi Skim Amalan Ladang Baik Malaysia sejak 2002.

* Sederet blok kuarters enam pintu di Hospital Tuaran musnah 100 peratus dalam kebakaran, 1.45 pagi tadi.

* Tiga pemain bakal menyarung jersi Sabah FC bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini.

Persatuan Bola Sepak Sabah, Sabah FA, menerusi kenyataan di laman rasmi Facebooknya memaklumkan mereka ialah pemain kebangsaan Indonesia, Saddil Ramdani, bekas pemain kebangsaan, Mohd Amri Yahyah dan bekas pemain bawah 23 Malaysia, N Thanabalan.

  1. 19th February 2021.